Mujahid tuntut MAIS jelaskan pengharaman SIS
Mujahid tuntut MAIS jelaskan pengharaman SIS
Adam Abu Bakar | Nov 4, 14 1:11pm
Adakah pihak MAIS telah berdialog dengan pihak yang dikatakan mengamalkan pluralisme dan liberalisme sebelum sesuatu tindakan diambil ke atas mereka.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menuntut supaya pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memperjelaskan fatwa berkenaan liberalisme dan pluralisme yang telah diwartakan.
Pihaknya dalam masa yang sama yakin tindakan yang dilakukan oleh pihak MAIS itu telah mengambil kira serta mempertimbangkan dengan sewajarnya cabaran yang dihadapi oleh umat Islam hari ini.
Namun demikian, Mujahid dan juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad serta Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin menuntut supaya pihak MAIS memberikan penjelasan yang lebih terperinci dengan takrifan liberalisme dan juga pluralisme tersebut.
“Takrifan liberalisme dan pluralisme itu tidak dijelaskan kerana ia terlalu umum. Adakah ia merujuk kepada menyatakan semua agama adalah sama atau merujuk kepada kepercayaan bahawa kebenaran itu adalah kebenaran relatif dalam membuat perbandingan antara agama.
“Adakah liberalisme dan pluralisme merujuk kepada kepercayaan semua aspek agama bersifat inklusif dalam hubungan antara agama atau inklusif dari sudut moral tetapi eksklusif dari sudut aqidah masing-masing?” soalnya kepada pihak MAIS sewaktu sidang media di Parlimen, hari ini.
Bukan itu sahaja, pengertian berkenaan isu pluralisme dan liberalisme itu tidak dizahirkan dalam fatwa yang telah diluluskan.
Selain itu, Ahli Parlimen PAS itu turut mempersoalkan adakah pihak MAIS telah berdialog dengan pihak yang dikatakan mengamalkan pluralisme dan liberalisme sebelum sesuatu tindakan diambil ke atas mereka?
“Saya ingin tahu, apakah implikasi fatwa ini kepada pandangan-pandangan berbagai dalam memahami hubungan antara agama boleh disalahertikan sebagai pluralisme dan liberalisme tanpa satu pentakrifan yang mantap dan membuka ruang untuk berbeza pandangan dalam lingkungan yang diizinkan,” katanya lagi.
Ketiga-tiga ahli parlimen itu turut mendesak supaya pihak yang membuat fatwa tidak terburu-buru tanpa satu muzakarah dengan pihak yang dikatakan mengamalkan pluralisme dan liberalisme supaya ada ruang untuk dibetulkan salahfaham mereka melalui dialog dan persefahaman.
“Kami turut bersedia untuk membantu dan menyokong proses dialog dijalankan dengan pihak terlibat,” kata Mujahid lagi.
Fatwa Selangor pada Julai 2014 menggazetkan Sisters In Islam (SIS) dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Selain itu, mana-mana terbitan yang berunsur pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.
Fatwa itu juga mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak.
Manakala individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam, menurut fatwa tersebut.
Jelas Mujahid lagi, fatwa yang diluluskan itu, secara khusus telah menyatakan bahawa SIS adalah haram.
“Sifat fatwa ini diluluskan adalah ditujukan kepada umum dan menyeluruh bukannya ditujukan kepada satu-satu pihak seperti yang ditujukan kepada SIS serta untuk mematikan semangat,” ujarnya.
View comments