AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

***Pakai Kupiah vs Tak Pakai Kupiah***

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria.
Lumrah manusia, dia akan sentiasa mencari hujah dan alasan untuk membenarkan sikap dan perbuatan mereka. Agar orang lain menerima dan mempercayai mereka walaupun sikap dan perbuatan mereka itu diselubungi persoalan dan tanda tanya.

Peminat bola akan mengatakan bolasepak baik. Menyatukan antara bangsa. Walaupun tertinggal Asar, Maghrib dan Isyak. Orang makan gaji kata hidup mereka lebih terjamin. Lupa Tuhan beri rezki sebab rasa hujung bulan mesti dapat. Bisnesman kata kalau nak kaya, niaga sebab 9/10 rezki itu dari perniagaan. Walaupun menipu dalam berniaga. Penentang vaksin kata, anak saya 10 orang tak pernah ambil vaksin, so far ok je! Dah beso panjang, ada dah kawin pun. ‎Fanatik muzik kata, muzik memecahkan tembok agama dan bangsa. Pejuang mahar kahwin murah kata, yang penting tak menyusahkan kedua pihak khususnya kedua bakal mempelai. Pejuang mahar tinggi kata, sapa nak tanggung belanja kenduri kahwin? Takkan tak jemput semua kawan-kawan? Geng pokeman Go kata, dulu tak keluar fatwa tak terasa nak main, dah keluar fatwa ni, baik aku download. Kawan aku yang Ustaz pun main. Dia kata, yang penting jaga keselamatan.

Bahkan ada orang yang ada ilmu agama yang sanggup mencari hujah membenarkan sesuatu yang memudahkan kehidupan mereka, demi periuk nasi mereka atau dengan kata-kata yang lain sesuai dengan nafsu mereka. Kalau mereka merokok, mereka akan mencari hujah mengatakan rokok itu tidak haram atau makruh. Kalau mereka kaki MLM, mereka akan berhujah dengan bermacam-macam dalil membenarkan MLM walaupun yang diniaga bukan barang tetapi sistem. Kalau dia pelabur Forex, ke mana-mana dia pergi, Forex lah yang dia kempen. Tuhan dan Rasul entah ke mana! Kalau anak perempuannya artis, dia sanggup membela kerjaya anaknya walaupun jelas membuka aurat dan bergaul bebas. Kalau dia kaki politik demokrasi, dia tak akan menerima hujah kita mengatakan politik ini ciptaan kafir. Kalau dia dah termakan hujah IS, dia hanya percaya Jihad mesti perang dan bunuh.

Begitulah juga dalam isu tidak menutup kepala dan menutup kepala dengan kupiah, songkok atau serban di atas kupiah. Mereka yang terbiasa tak menutup kepala teruslah berhujah menafikan kata-kata ulama terdahulu yang menuqilkan dalam kitab-kitab mereka bahawa antara ciri-ciri orang fasik itu sentiasa atau melazimi tidak menutup kepala ketika berjalan di merata tempat. Di dalam kitab disebut berjalan di pasar. Lihatlah sendiri kitab Matla’ul Badrain yang suatu ketika dahulu menjadi teks wajib Sekolah Agama Negeri Johor. Juga kitab Sirrus Salikin. Pengarang kitab-kitab turath ini adalah ulama yang sangat dipercayai, ikhlas dan tiada kepentingan. Berbeza dengan alim ulama sekarang yang ramai mempunyai nawaitu yang bermacam-macam.Tak payah cakap tentang ustaz-ustaz muda yang baca kitab Arab tak berbaris pun tak tahu, malah ustaz-ustaz mereka, doktor-doktor dan pensyarah mereka dah beberapa generasi dah kurang keikhlasan dan keberkatan. Masing-masing dah jual muzakirah dan kitab untuk menambah pendapatan selain dari makan gaji. Bahkan ramai yang takut isteri dan rumahtangga tak menjadi contoh! Mengapa kita tolak ulama dahulu semata-mata nak membenarkan kata-kata kita yang penuh kepentingan.

Lebih-lebih lagi bila kita bermursyid, percayalah didikan mursyid. InsyaAllah ada keberkatan. Sebenarnya memang benar, tak memakai kupiah itu ciri-ciri orang fasik. Kesaksian mereka tidak boleh diterima. Budak-budak tadika pun tahu, masuk tandas pun kena tutup kepala, inikan pula di luar tandas. Inikan pula berjumpa orang ramai. Berjalan-jalan ke sana, ke sini. Bahkan, inikan pula bertemu Allah, mengadap Tuhan dalam sembahyang. Sebab itulah Ibnu Umar pernah memarahi hambanya yang bersolat tanpa memakai penutup kepala.

Korang fikirlah, ketika ihram haji dan umrah tidak dibenarkan memakai penutup kepala samada songkok atau kupiah, kenapa? Cuba fikirkan. Wajib buka. Kalau pakai, kena dam. Ini menunjukkan selain waktu ihram kena pakai. Tak kan datang hukum wajib buka, kalau memang dah terbuka. Ini menunjukkan orang Islam sentiasa memakai kupiah dan serban atau seumpamanya. Walaupun Ulama tidak mengatakan wajib tapi mereka mengatakan ia sangat dituntut. Meninggalkannya menghilangkan wibawa. Lebih-lebih lagi kalau meninggalkannya kerana ingin mengikut style orang kafir, maka jelas haramnya. Juga haram bila meninggalkannya kerana malu memakai pakaian sunnah.

Sebab itu ketika nak nikah, semua orang pakai songkok. Pakai kupiah. Bukan pengantin je. Tapi bila tak ada ilmu, pakai sebab semua orang pakai. Bukan nak kesaksian diterima. Lepas tu, dengan penuh hikmah, jurunikah ajak beristighfar beramai-ramai kerana apa? Kerana ramai yang dah jatuh fasik kerana berbuat dosa besar. Fasik kerana istiqamah buat dosa kecil. Atau melakukan perkara yang menghilangkan wibawa sebagai seorang muslim yang adil seperti tak pakai kupiah. Maka Imam ajak beristighfar beramai-ramai. Moga Allah terima sebagai seorang muslim yang adil. Kemudian Imam atau jurunikah mengajak semua yang hadir mengucapkan 2 kalimah syahadah? Kerana apa? Kerana umat Islam Akhir Zaman ni mudah jatuh kafir. Kadang-kadang dengan niat. Atau kata-kata dan perbuatan. Pagi muslim, petang kafir. Petang muslim, malam kafir. Jadi bila bersyahadah, kembali pada Islam.

Kerana pernikahan adalah majlis terpenting dalam membina masyarakat Islam. Jika majlisnya tepat, ikut syariat dan sunnah, wali dan saksi‎-saksi adil-adil belaka. Semuanya dalam suasana Ibadah, insyaAllah zuriat yang dilahirkan soleh dan solehah. Sebaliknya jika program pertama dalam membina institusi paling kecil dalam masyarakat iaitu menyatukan dua pengantin itu penuh dengan maksiat dan kemungkaran, wali, saksi, jurunikah, pengantin dan semua yang hadir tak takut Tuhan, jangan salahkan generasi yang lahir nanti lebih jauh dari Allah.

Itulah pentingnya kupiah. Ulama dah gariskan, malah mengatur kehidupan masyarakat dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya tapi malangnya yang menentang tradisi ulama itu di kalangan orang yang dikatakan ulama juga kerana mempunyai sijil. Walhal syarat ulama bukan pada sijil tetapi mesti ada ilmu, beramal dengan ilmunya dan takutkan Allah. Kalau ada ilmu saja, ramai lagi orang-orang yahudi yang lahir ilmu Islam. Kalau beramal ilmu yang kita suka je dan menentang yang terkena atas kepala kita, inikah ulama? Kena takut Tuhan sebab Allah sebut dalam Al Quran tentang ulama itu takutkan Allah.

Kemudian, kupiah yang dipakai mestilah sentiasa istiqamah dan tidak bermusim. Boleh dibasuh dan sucikan. Ternafilah memakai songkok kalau tak boleh menjaganya dari najis. Malah kalau lama dipakai, tentulah busuk. Makruh. Nak basuh tak boleh. Mereka pakai pula di masa-masa tertentu pula. Antaranya kerana mudah nak buat maksiat di waktu lain. Kalau tak pakai pula, orang akan kata, dah tukar Parti ke? Ini semua memakai penutup kepala kerana adat semata. Tak jadi ibadah.

Yang paling baik, kepala di cukur botak, pakai kupiah dan serban. Kalau tak mampu, pakai kupiah atau songkok yang boleh dibasuh. Songkok ikhwan contohnya. Bukan kempen tapi sebagai contoh! Jangan sensitif pula. Memang bergunting pun Sunnah tetapi Mursyid memilih Sunnah bercukur, maka sebagai murid, pilihlah bercukur. Guna pisau cukur bukan mesin rambut no 1 atau 2. Tentu ada hikmahnya. Sebenarnya bila botak licin, ia lebih rasa hamba berbanding cuma bergunting dengan berfesyen-fesyen. Remaja 6 orang yang pergi tengok wayang pada 1 Syawal, yang lelakinya tanpa berkupiah tentu rambutnya tidak botak. Kalau botak, rasanya mereka tak akan buka kupiah. Kalau pakai kupiah, dengan keberkatan, Allah akan kawal mereka dari maksiat.

So, yakinlah kata-kata orang yang telah membuktikan hidup matinya untuk Islam. Sanggup dicaci, dihina, difitnah, diperlakukan apa saja demi mempertahankan keyakinannya daripada orang yang hanya pandai bercakap tentang Islam sedangkan peribadinya dan keluarganya tidak boleh dijadikan contoh.

Sekarang semua orang kena bertindak. Semua orang kena beramal. Cukuplah kata-kata yang dah terlalu banyak, kita nak berbuat. Mulakan dengan bertaubat. Dosa-dosa kita yang terlalu banyak dengan Allah dan sesama manusia. Sebenarnya jatuhnya kembali kita ke lembah dosa atau mengulangi dosa yang lama adalah kerana taubat kita belum diterima. Mungkin kerana belum bertaubat atau taubat yang tidak serius serta tak cukup syarat. Bila mengulangi dosa, prestasi kita merudum, bantuan terhijab dan keberkatan tidak turun.

Kalau semua orang bertaubat, sanggup meminta maaf. Bayar balik apa yang pernah dihutang dengan manusia. Qadha’ segala kewajipan yang pernah ditinggalkan seperti solat, puasa dll. Baiki diri dan keluarga. Cari dan belajar dari masyarakat yang sama cita-cita untuk Takutkan Tuhan dan rindu Nabi, insyaAllah keberkatan akan turun mencurah-curah kepada seluruh rakyat. Rakyat akan menjadi baik sebab Tuhan merahmati mereka. Jika majoriti rakyat sanggup lakukan semua ini dan berubah menjadi baik, Allah akan datangkan pemimpin yang baik. Itu janji Tuhan. Tuhan tidak pernah mungkiri janjiNya. Pemimpin yang baik, untuk rakyat yang baik.

Nanti seluruh negara menuju keampunan Tuhan.
(( بلدة طيبة ورب غفور ))

Bilik Rumah Tepekent,
7.34pm, Ogo 12, 2016

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

  • https://www anjangmuor com/2016/08/13/pakai-kupiah-vs-tak-pakai-kupiah/ (2)

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

2 thoughts on “***Pakai Kupiah vs Tak Pakai Kupiah***

  • Tuan, apakah nasib kami orang2 biasa ini yang tak mengamalkan sistem islam sbnr spt GISB buat. tengok wayang sekali dah bimbang cemas, kami dah jadi aktiviti mingguan lepak tgk wayang. pergi pulak berbondong2 sekeluarga. pakai kopiah? nnt dituduh pak lebai tak ikut fesyen terkini. Sunnguh kami cemburu. tapi kami tiada dorongan utk berubah. Biarlah tiada harta benda tapi hati penuh dgn Allah dan Rasul.

    Reply
    • Kekalkan rasa berdosa. Sesiapapun kita, GISB atau bukan, tiada jaminan selamat. Tapi kita kena terus berusaha baiki diri…

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *