Perasmian GHC Kaherah, Mesir
Salam ceria.
Tak sempat nak kongsi cerita semalam sebab masa agak terhad dan internet tak kuat. Pagi semalam lepas Subuh berbual tidak rasmi antaranya berkaitan isu pembunuhan Jamal Khashoggi, wartawan Washington Post, warga Saudi di Konsul Saudi, Istanbul. Sebenarnya dunia hari ini berlaku terlalu banyak pembunuhan dengan berbagai cara dan beribu alasan tapi tidak mendapat liputan seluas ini kerana ia mempunyai kepentingan politik banyak negara. Allah jadikan isunya bertambah besar dan makin dibongkar akan semakin terserlah tangan-tangan jahat dan kejam yang menguasai dunia. Allah sedang bongkar dan akan jatuhkan mereka.
Ada pula berita gembira bilamana seorang bukan muslim yang memberi derma atau menjadi sponsor untuk pameran barang-barang berkat Rasulullah SAW dan para sahabat yang akan GISBH anjurkan, didatangi di dalam mimpinya oleh Sahabat Rasulullah SAW, (pemilik pedangnya yang akan dipamerkan itu) mengatakan kepadanya; kami datang untuk selamatkan kamu dunia dan akhirat. Kesan dari itu dia telah memeluk Islam di premis GISBH bersama tangisan keinsafan. Keberkatan mengalir kepadanya hingga berpeluang bertemu sahabat Rasulullah SAW dalam mimpinya. Allahu Akbar! Maha Besar Allah!
Lepas Zohor kami terus menuju ke Hayyu Sabi’ untuk Perasmian GHC. Sampai di GHC rombongan disambut oleh staf GHC dan para simpati seperti Hj Badar dan Syeikhnya yang berumur 100 tahun. Syeikhnya sangat memuliakan Tn PE dan menghadiahkan Tn PE beberapa cenderahati termasuk air Zam-Zam.
Setelah bersalam-salaman dan berpelukan, Trio pimpinan atasan GISBH, YBM Tn Mohd Rasidi Abdullah diiringi oleh Tn Nasiruddin Mohd Ali dan Dato’ Lokman Hakim Pfordten merasmikan GH Corner cawangan Cairo, Egypt dengan pemotongan riben di pintu masuk.
Setelah pemotongan riben, ketiga-tiga orang pimpinan utama GISBH sudi menurunkan tandatangan di plak yang disediakan sempena perasmian ini. Majlis sangat meriah diiringi pukulan kompang dan diakhiri dengan doa.
Setelah itu para pimpinan dan tetamu melawat seluruh ruang GHC ini hingga ke dapur, kaunter, tandas, sinki-sinki, rak-rak jualan, meja display juga bilik VIP. Tn Nasir sangat inginkan GHC ini menjadi contoh bagaimana Islam itu diamalkan dari semua sudut khasnya soal kebersihan kerana semua orang maklum kebersihan sangat tidak dijaga di Mesir. Tn Nasir minta hatta pokok di depan GHC itu pun dimandikan supaya nampak bersih. Tandas GHC Cairo ni sangat cantik, ada kelas tersendiri kalau di Mesir ni pada anjang 7 bintang. Kalau tandas pun dah cantik, yang lain tak perlu tulis la.
Ini adalah Restoran GISBH yang ke 112 dan GHC yang ke 32. Lagi satu GHC je, dah sama dengan bilangan biji tasbih Koka dan Abanus yang 33 tu. Hehehe. Nak beli tasbih, boleh la hubungi kami. Eeeh, hubungi En Abil, kami sibuk.
Ok, lepas tu ada jamuan di bilik VIP untuk sebahagian tetamu; Hj Badar, Sidi Asyraf pun datang, Hj Mamduh, Ammu Regab, Jamal Mansurah, wakil pelajar Singapore, wakil keluarga Malaysia yang tinggal di Mesir dll. Alhamdulillah hilang rindu para simpati bila dapat bertemu para pimpinan khasnya Tuan Rasidi, Tuan Nasir dan Dato’ Lokman. Moga GHC menjadi tempat menjalin Ukhuwah dan kasih sayang walau berlainan bangsa, warganegara, warna kulit dan bahasa dengan menjadikan Allah sebagai sumber berkasih sayang. Aamiiin ya Robb…
Villa GISBH Kaherah
2.18 pm, Okt 25, 2018