Kesan Perang
Salam ceria.
Alhamdulillah, Anjang dah dalam pesawat Aegean Airbus A320-200. Tadi transit 2 jam lebih. Sekarang menghala ke Istanbul. Bukan tak penat 2 hari berjalan kaki ziarah sekitar Damascus, pastu balik Amman berhadapan segala birokrasi pihak keselamatan, imigresen dan kastam, tak sampai 24 jam terus ke Turki. Tapi bila fikirkan team GISBH yang travel jalan darat dari Paris ke Samara, malu nak kata penat. Mereka hadapi cabaran entah berapa ratus kali lebih tough.
Berdebar-debar nak masuk Syria kerana Hafiz, Wadud, Faah masuk sebelum ni kena tanya macam-macam. Antraranya, pegawai imigresen tu tanya Hafiz: “Dah berapa kali masuk Syria?” “Kali pertama,” kata Hafiz confiden.
Pegawai tu spontan kata sambil melihat di skrin komputernya yang berhabuk itu: “Ni kamu pernah masuk. Pergi Turki lalu Syira!” Jangan kata negara perang begitu tak simpan data lama kita. “Ooo, maksud aku kali pertama masuk sejak selepas perang. Dan kali pertama dengan paspot ni.” Allah bantu Hafiz menjawab spontan. Alhamdulillah mereka menerimanya.”
“Ni nak terus pergi utara Syria ke untuk perang Fi Sabilillah?”. Pegawai tu provoke tapi dengan nada gurau.
“Kami nak pergi Souq Hamidiah beli-beli barang keperluan dan ziarah Masjid Umawi je.” Ujar Hafiz.
Souq Hamidiah ialah deretan lot-lot kedai berbumbung panjang, di tengahnya lorong yang luas untuk pejalan kaki, kiri kanannya pula berlorong-lorong dengan kedai-kedai yang bersambung-sambung, yang telah ada sejak dahulu lagi tempat pelancong dan warga tempatan membeli belah. Macam-macam keperluan ada di situ khasnya pakaian dewasa, kanak-kanak, bayi, barang kemas, attar, mainan kanak-kanak dll. Pelancong pasti akan singgah ke sini.
Di hujung lorong utama kita akan temui Masjid Umawi yang terkenal. Sejarah asalnya ia merupakan sebuah kuil zaman dahulu, apabila datang agama Nasara, penduduk Damascus memeluk agama nasara, ia bertukar menjadi gereja. Apabila Islam masuk ke Syam dan Damascus menjadi pusat pemerintahan Islam Bani Umaiyah, sebahagian bangunannya menjadi masjid, sebahagian lagi kekal sebagai gereja. Seterusnya ia dijadikan masjid sepenuhnya tetapi ada kesan sejarah yang dikekalkan antaranya tempat baptis.
Pastu giliran Wadud pula kena tanya. Jawapannya pun sama. Kantoi lagi. Tapi, kalau Allah nak mudahkan, semua jadi mudah. Alhamdulillah mereka semua lepas masuk. Cerita begini lah yang sedikit mencemaskan apabila nak masuk negara-negara yang seperti ini. Asalnya mereka meminta Wadud balik Amman untuk apply visa. Setelah diterangkan yang Malaysia tidak perlukan visa untuk masuk Syria, baru mereka lepaskan. Terima kasih semua pihak, terutama kepada Allah Taala yang menjadikan rakyat Malaysia sangat mudah berurusan di mana-mana negara dibanding dengan ramai pemegang paspot negara Islam yang lain. Orang Syria nak masuk Jordan pun kena visa. Tak boleh on the spot visa on arrival. Kita yang jauh ribuan KM dari sini pula dimudahkan, bangsa Melayu pula, bukan sama bangsa dengan mereka.
Udara Syam yang berkat tempat yang pernah Nabi Muhammad SAW sampai sewaktu mudanya sangat terasa bila memasuki negara Syria, walaupun sampah sarap dan kekotoran merata-rata. Ada satu perasaan sayu di hati yang tak mampu digambarkan dalam patah kalimat dan kata-kata. Bukan aku seorang begitu. Rata-rata semua yang pernah ke sini terasa begitu. Tak percaya cuba tanya Cikgu Suhaimi, Cikgu Megat dan yang bukan cikgu-cikgu pun…
Dulu, pejabat imigresennya nampak lebih berwibawa. Memang dalam bangunan formal, ada kaunter-kaunter. Tapi kali ini, pejabat imigresennya hanya kontena dua meja. Ada terperuk di sudut kontena, kerusi yang telah patah tak diuruskan. Hampir semua berurusan di pintu kontena. Beberapa orang sahaja yang dibenarkan masuk. Ada seorang yang menjaga di pintu untuk mengambil paspot. Kalau nak cepat, ketika hulur paspot, kena hulur ‘duit kopi’ sekali. Ya, ‘duit kopi’ bermula sebaik sahaja masuk ke sini. Tapi kami nekad tak beri rasuah. Kalau dari awal dah beri rasuah, nanti semua orang Malaysia masuk selepas kami, mereka akan tertunggu-tunggu ‘duit kopi’. Cuma yang driver beri, kami tak boleh buat apa-apa.
Bila tak beri rasuah, kerja agak lambat sebab mereka kena masukkan semua data sebenar ke dalam komputer. Sejak 2012 anjang tinggalkan Syria, anjang tengok mereka menaip guna 2 jari telunjuk, 2019 ni masih macam tu juga. Lambat la bila menaip guna 2 jari je, macam key pad hand phone. Moga Allah wibawakan seluruh umat Islam.
Satu lagi adalah pengetahuan am dan terbuka dengan budaya orang sepatutnya ada pada kita semua. Oleh kerana mereka mempunyai nama keluarga (Family Name) mereka nak paksa kita sebut nama keluarga kita. Walhal bukan semua ada nama keluarga seperti Nik, Wan, Tengku, Tuan dll. Jenuh nak fahamkan. Bukan apa, semuanya kerana dalam borang kena tulis nama family, jadi kena isi juga. Aduuuhhh. Lebih-lebih lagi orang Malaysia biasa mempunyai nama ‘murakkab’ seperti Muhammad Ali. Bukan satu nama je seperti Ahmad, Ismail, Majid dll. Kalau di Jordan; Muhammad Salim Ali Al Qudha. Muhammad itu nama dia, Salim itu nama ayah, Ali itu nama datuk dan Al Qudha itu family name. Kena orang Malaysia Muhammad Emir Hasan Al Fatih semua tu ‘borong’ nama seorang, pening Pak Arab nak faham.
Melihat suasana awal masuk Syria yang kotor penuh sampah, botol-botol plastik, tin minuman kosong, plastik dan bungkusan jajan bersepah-sepah tak dibersihkan. Ditambah berurusan dengan pegawai-pegawai kerajaan dan keselamatan yang tiada wibawa dll teringat madah guru.
Kalau sesuatu bangsa itu
jika miskin tiada siapa yang membela, kaya yang bakhil banyak orang tidak suka, yang pandai sombong pula, para pemimpin ditakuti saja, pihak keselamatan tidak dipercaya, berjalan seorang tidak terjamin keselamatan ertinya bangsa itu sudah tiada wibawa.
Baru mendarat, nanti sambung lagi.
Airport Istanbul baru
9.33 am Okt 4, 2019