Pembangunan Pusat Latihan Akhlak Mulia Ikhwan, Jelebu.
Pembangunan Pusat Latihan Akhlak Mulia Ikhwan, Jelebu.
Salam ceria.
Dah banyak kali Pak Latip pelawa anjang ke rumahnya. Anjang sendiri pun dah sebut kepada Pak Latip beberapa kali nak ziarah rumahnya. Sejujurnya Pak Latip ialah antara sosok tubuh yang anjang kagumi. Kemampuan beliau menghasilkan novel-novel sejarah yang bermutu dan ‘hidup’ anjang kira memang anugerah Tuhan.
Melihat latar belakang hidupnya, persekitarannya dan keterampilannya yang simple siapa sangka beliau telah menulis berpuluh-puluh buah buku. Selalunya kita tidak lihat beliau terlalu mengambil catatan tetapi bila diluahkan di tulisan, Pak Latip seperti ingat semua fakta yang didengar.
Tapi semua itu belum cukup hebat dibandingkan kehendak yang kuat dari Pak Latip untuk menyertai perjuangan Islam bersama GISBH secara praktikal setelah melihat sendiri kehidupan staf-staf GISBH. Atas jemputan Tuan PLP, Pak Latip pernah tinggal bersama kami beberapa ketika di Istanbul. Pak Latip bawa Mak Cik dan Balqis sekali.
Pak Latip serius ingin membantu perjuangan setakat yang beliau mampu. Maka diserahkan sebidang tanahnya agar dimajukan oleh GISBH menjadi pusat pendidikan. Pak Latip bukan jenis orang yang bising dalam media sosial, bila GISBH nak buat pasaraya di tempat kami? Buatlah Pasaraya di kawasan kami? Troli kena tambah ni! Produk banyak tak ada, kenapa tak buat produk itu? Kenapa tak buat produk ini? GISBH patut dah ada rangkaian pengedaran yang efektif!
Pak Latip tahu semua persoalan membangunkan Fardhu Kifayah bukan tanggung jawab GISBH semata-mata, ia tanggung jawab bersama. Kalau tak buat, semua berdosa. Semua dalam kemurkaan Allah. Semua sedang menuju neraka. Di samping inginkan pahala amal jariah, Pak Latip nak beri saham kepada bidang pendidikan khususnya para remaja sebab itu Pak Latip sedia menyerahkan tanahnya untuk dibangunkan. Ia juga termasuk Fardhu Kifayah seperti membangunkan Pasaraya juga.
Berkat sungguh tanah di Jelebu. Ia dinamakan PUSAT LATIHAN AKHLAK MULIA IKHWAN.
Mana tak berkat, ia hadiah dari seorang yang ingin membela pendidikan anak bangsanya. Mana tak berkat, ia dibangunkan secara gotong royong oleh para remaja yang insaf dan ingin menebus segala kelalaian dalam kehidupan di alam remaja. Mana tak berkat, ia dibangunkan dengan rintihan para pemimpin dan petugas yang ingin melihat sebuah pusat pendidikan yang benar-benar mengutamakan ‘Modal Insan’ bukan orang politik yang hanya bercakap… lidah tak bertulang!
Tanah ini Pak Latip serahkan pada tahun 2016. GISBH mula meneroka pada bulan 2 tahun 2017.
Lokasinya menarik iaitu di tanah yang agak tinggi tetapi keadaan tanahnya tidak semua rata. Ada yang curam dan lembah. Keluasan tanahnya 7.5 ekar.
Dengan tenaga yang ada di kalangan RPU Jelebu setakat ini yang telah siap dibina:
1. Penempatan Homestay sebanyak 4 Unit.
2. Kandang Kambing.
3. Reban Ayam.
4. Gazebo.
5. Kolam ikan hiasan.
6. Lapang memanah.
7. Pertanian Fertagasi.
Ada beberapa bangunan yang sedang giat dibina iaitu:
1. Surau.
2. Rumah Staf.
3. Rumah Tetamu
4. Dapur Bandar.
5. Penempatan Muslimah.
6. Kolam Renang berkeluasan 40kaki x 40kaki.
Rumah Pak Latip tak jauh dari sini. Pak Latip sangat sayangkan para remaja di Jelebu ini yang dipandu oleh Tuan Fadhil agar bermasyarakat. Selain beribadah di masjid, mereka selalu memberi khidmat kepada masyarakat.
RPU Jelebu selalunya kalau kenduri akan datang dari awal sampai habis. Bukan sahaja orang kampung suka, pihak keselamatan pun suka bila semua RPU bermasyarakat. Moga Pak Latip terus mendoakan pembangunan Pusat Latihan ini agar terus mendapat bantuan Allah Taala.
Pembangunan Pusat Latihan Akhlak Mulia Ikhwan, Jelebu.
Villa GISBH Istanbul
6.37 pm, Okt 14, 2019