Catatan Ringkas di Algiers
Salam ceria.
Setelah 6 hari kami berada di Algiers rombongan GISBH yang diketuai oleh YBhg Tuan Mohd Rasidi, Tuan Nasiruddin, Dato Lokman Hakim dan Para ALP GISBH dalam siri Kembara Silaturrahim; Dakwah.Ziarah.Tijarah. sempat menziarahi:
1. Makam Syeikh Abd Rahman Ats Tha’labi. Seorang ulama Wali Allah. Ahli Tafsir. Salah seorang Syeikh Tareqat Syazaliah. Sangat terkenal dengan karamahnya hingga orang-orang bukan Islam pun menziarahi makamnya seperti Queen Victoria dan Queen Elezabeth ii. Kain makamnya sekarang dihadiahkan oleh Presiden Erdogan. Menziarahi makamnya menjadi program kebanyakan orang-orang sufi seluruh Algeria paling kurang sekali setahun. Kami sempat bertemu seorang tua yang datang dari kawasan sejauh 700 km dari Algiers untuk menziarahi makamnya.
2. Masjid Ketchaoua Uthmaniyyah. Seni binanya dari zaman Uthmaniyyah. Masjid yang indah ini terletak di tengah-tengah Algiers di kawasan yang dinamakan Kasbah. Ketika Perancis menjajah Algeria, mereka mengubahnya menjadi sebuah gereja. Ketika Perancis keluar Algeria pada tahun 1962, ia kembali dijadikan masjid semula. Yang paling penting kita ketahui ketika ingin menziarahi masjid di Algeria khasnya jika ingin melihat bahagian dalam masjid kena datang waktu sembahyang. Kebanyakan masjid di Algiers di tutup selain waktu solat. Masa lawatan anda hendaklah pada waktu solat. Selepas itu masjid akan ditutup. Kerajaan Turki telah memulihara masjid ini agar kekal keindahannya. Masjid Bersejarah ini mempunyai view Laut Mediterranean dan pemandangan luar yang cantik. Kami tak dapat melihat kawasan dalaman kerana datang pada masa yang tidak tepat. Ia terletak di hujung pasar lambak kawasan Kasabah yang sangat sibuk.
3. Selepas melihat suasana pasar yang sibuk kami mencari-cari tandas awam. Anjang bertanya pada seorang di tepi jalan yang serius mukanya tetapi sangat sedia berkhidmat dan dia membawa kami ke sebuah bangunan terus menuju ke sebuah toilet lama. Rupanya bangunan yang kami masuk itu adalah istana lama. Patutlah dinding, tiang-tiang, kolah air pancut, pintu-pintunya semua nampak kesan rekabentuk yang indah. Di buku pelancongan ia dipanggil Palais des Rais. Dalam Bahasa Arab ia dipanggil Qasr Aziziyah. Istana puteri Sultan. Ia tidak kelihatan menarik dari luar tetapi sangat cantik di dalam.
Ia merupakan salah satu istana paling indah di Algiers. Dibina oleh orang-orang Uthmaniyah semasa pemerintahan mereka yang panjang di rantau ini, ia mempunyai pengaruh moor, Perancis dan Itali.
Tiang-tiang batu dan dindingnya diukir oleh arkitek Yahudi yang diupah khas. Yahudi tetap mempunyai cita-cita di mana sahaja mereka berada. Bayangkan dalam membina istana dalam kerajaan orang Islam yang ada ciri-ciri seni bina Islam seperti lambang bulan sabit di akhir kerjanya dia sempat meninggalkan tanda bintang Yahudi. Sangat licik.
4. Tugu Peringatan Syahid. Tugu ini dibina untuk peringatan dan memuliakan para Syuhada’ dalam peperangan mereka menentang Perancis yang mengorbankan lebih 1 juta 500 ribu rakyatnya. Memorial ini terletak di dataran tinggi, oleh itu menjadikannya mudah dilihat dari arah laut dan sebahagian dari bandar Algiers.
Terdapat banyak tentera yang mengawalnya. Asalnya kenderaan kami yang banyak tak dibenarkan parking di depan kawasan tugu, tetapi setelah berbincang pihak tentera membenarkannya untuk sementara waktu. Kami tidak masuk ke dalam muzium kerana tidak bercadang lama di situ.
Dakwah tetap dijalankan secara perbuatan, bermesra dengan pengunjung yang lain di kalangan masyarakat tempatan. Ada pelancong-pelancong dari China yang mengajak Tuan Nasir bergambar bersama mereka. Para RPU sempat mempersembahkan nasyid bersama iringan alat perkusi yang mendapat sambutan dari para pengunjung. Sebenarnya di sini menjadi tumpuan mereka yang ingin melihat view matahari terbenam, pemandangan laut, pemandangan panorama sebahagian dari bandar. Yang penting kita ambil keberkatan para syuhada’ yang sanggup mati mempertahankan agama, bangsa dan negara.
5. Kami juga sempat melawat kawasan nelayan di bandar ini. Menurut staf restoran makanan laut di tepi jeti nelayan, biasanya para nelayan keluar pagi dan balik petang. Atau keluar pagi, tinggalkan pukat mereka di laut dan kembali mengambilnya di waktu petang.
Oleh kerana kami datang ke situ waktu tengahari, kami hanya bertemu kaki pancing yang ingin turun ke laut sahaja. Tak berpeluang berjumpa nelayan yang sedang naikkan hasil laut.
6. Program kami di Zawiah Mufti Jelali akan anjang kongsi di pos yang lain InsyaAllah.
Semua yang berlaku ini ada hikmah dari Allah untuk memberi peluang kami mengenali diri kami sendiri, sejauh mana kasih sayang, kerjasama, kepekaan, memburu keberkatan, bertolak ansur, mengaku salah, saling mengutamakan orang lain. Pendek kata peluang untuk menukar baju atau pakaian M (Mazmumah) kepada baju atau pakaian M (Mahmudah) kerana dalam hidup ini perkara yang paling utama sekali adalah bekalan kita untuk bertemu Tuhan.
Firman Allah:
وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَيْرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقْوَىٰ ۚ وَٱتَّقُونِ يَٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَٰبِ
dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah sifat takwa dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal.
Al-Baqarah: 197
Baertakwa itu wajib. Banyak ayat Al Quran memerintahkan orang Mukmin agar bertakwa.
Firman Allah lagi:
وَلِبَاسُ ٱلتَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ
dan pakaian taqwa itulah yang sebaik-baiknya.
Al-Aa’raf: 26
Wajib menukar pakaian M kepada pakaian M untuk mendapat pakaian takwa kerana takwa itu umpama gudang sifat-sifat Mahmudah.
Di samping itu kami dapat melihat sendiri masyarakat Islam Algeria yang nampak terkawal kerana kurang terdedah. Banyak lagi nilai-nilai baik yang mereka amalkan. Orangnya cintakan Islam tetapi tiada pimpinan. Zawiah-zawiah sufi sangat banyak tetapi tiada yang memperjuangkan Islam sebagai cara hidup. Mereka inginkan orang Malaysia untuk menjadi contoh kepada mereka. Bukan seorang yang cakap begitu. Anjang dengar sendiri ramai di kalangan mereka meluahkan dari hati mereka, Umat Islam Malaysialah sebaik-baik orang yang mengamalkan Islam.
Kalau kita terima pendapat mereka, ingin anjang ajukan soalan, golongan Umat Islam dari Malaysia yang mana yang boleh menjadi contoh ke seluruh dunia? Adakah yang saling salah menyalahkan? Saling membuka aib dan kesalahan orang? Seperti sebahagian penganut-penganut politik yang tak pernah kenyang dengan cacian, makian, fitnah, janji palsu, pembohongan, tikam kawan, rasuah, pecah amanah dll.
Atau para agamawan yang bekerja waktu rasmi sahaja, 8am-4am. Masa lain amat berkira untuk berkhidmat kepada umat. Dah berada di kedudukan tinggi di bidang agama tetapi jiwa masih kuat dengan sukan yang ada berpuluh orang menayangkan aurat. Tak malu-malu menyokong sukan tayang aurat lebih dari suara nak bela BMF, apa lagi nasib Umat Islam di Kashmir. Cukup masa pencen, hilang suara untuk agama, hanya bermain-main dengan cucu-cucu.
Islam perlu pejuang yang peruntukkan hidup matinya kerana Allah 24 jam sehari semalam, 7 hari seminggu seperti yang dia janjikan setiap kali menyembah Allah:
“Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan sekelian alam.”
Dekat Ain Al Hadra, Algeria
8.07pm, Okt 30, 2019