Dahsyatnya taubat Saiyidina Abu Lubabah Al Ansori RA
Saiyidina Abu Lubabah Al Ansari RA adalah sahabat yang makamnya berada di benua Afrika.
Beliau adalah salah seorang Qahtanian Penduduk Madinah, (Yathrib) yang berasal dari Yaman sebelum Islam.
Beliau adalah salah seorang tokoh utama Madinah dan juga pedagang besar yang berani yang banyak berurusan dengan orang-orang Yahudi Bani Quraizah. Ia adalah satu hubungan yang kemudiannya akan mempunyai kesan dalam perjalanan hidupnya.
Saiyidina Abu Lubabah masuk Islam semasa muda remaja, di malam Bai’ah Aqaba di Mekah di tangan Saiyidina Musab bin Umair. Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, beliau adalah salah seorang naqib/ketua yang dinamakannya Nabi pada malam itu.
Saiyidina Abu Lubabah menyertai banyak peperangan dengan Nabi, seperti Uhud dan Futuh Mekah pada tahun 8 hijrah, di mana dia membawa bendera kaumnya, Bani Amr Ibn Auf. Saiyidina Abu Lubabah sangat rapat dengan Rasul dan dia diamanahkan dengan banyak tugas yang sukar.
Saiyidina Abu Lubabah menyertai penuh perhatian dan semangat dalam menyebarkan Islam ke pelbagai negara dan wilayah di luar Semenanjung Arab. Untuk itu, beliau bergabung dengan tentera perisikan, yang dibentuk oleh Khalid bin Al-Walid, seperti para sahabat yang terkenal. Beliau pergi bersamanya ke Iraq, Syria, Palestin dan Mesir. Selepas itu beliau ke Tunisia dan negara-negara Afrika.
Saiyidina Abu Lubabah adalah seorang ahli perniagaan yang kaya prihatin dan pemurah. Selain keberaniannya dan kekuatan keperibadiannya, yang disahkan oleh penyertaannya dalam peperangan dan pencerobohan, dia dipercayai dan dihormati dan mempunyai tempat di kalangan rakyatnya dan di kalangan banyak orang lain.
Untuk menggambarkan ini, kita menyebutkan dua peristiwa yang penting, yang pertama ialah ketika pemergian Rasulullah SAW ke Medan Perang Badar, baginda menyerahkan pentadbiran kota Madinah kepada Saiyidina Abu Lubabah sedangkan beliau telah mengiringi Rasulullah ke Medan Badar. Apabila sampai di tempat bernama Ar Rauha’, baginda memerintahkannya kembali ke Madinah untuk menyelesaikan urusannya dan menjaga kebajikan penduduknya dan dia dikira menyertai peperangan Badar dan mendapat pahalanya.Hal yang sama juga dilakukan dengannya dalam penaklukan Qainuqa’ dan As-Suwaiq dalam dua tahun Hijrah.
Peristiwa kedua pula adalah ketika orang-orang Yahudi Bani Quraizah mengkhianati perjanjian mereka, pada tahun 5 Hijrah dengan membantu kaum Musyrikin lalu Rasulullah dan tentera Islam melakukan penyerbuan ke perbentengan Yahudi Bani Quraizhah, Saiyidina Abu Lubabah ikut bersama baginda dan pemimpin pemerintahan di Madinah diserahkan kepada Abdullah ibnu Ummi Maktum. Rasulullah bersama para sahabatnya mengepung benteng Bani Quraizhah selama 25 malam, sehingga mereka hidup dalam kekurangan dan ketakutan.
Mereka kemudian mengirim seorang utusan kepada Rasulullah, meminta Saiyidina Abu Lubabah bin Munzir dikirimkan kepada mereka untuk dimintakan pendapatnya. Rasulullah memerintahkan Saiyidina Abu Lubabah pergi menemui mereka.
Sebelumnya, Rasulullah meminta pendapat mereka (yahudi) agar yang akan memberikan keputusan adalah Saiyidina Sa’ad bin Muaz RA. Apabila anak-anak dan isteri-isteri mereka melihat Saiyidina Abu Lubabah datang, mereka menangis meraung-raung, memohon belas kasihannya. Sudah tentu, Abu Lubabah sebagai manusia tidak mampu menyembunyikan rasa hiba dan terharu kepada mereka kerana beliau biasa berurus niaga dengan mereka.
“Kami sudah mengatakan bahwa penduduk Madinah pada umumnya berhati lembut dan berjiwa pemaaf. Kasih sayangnya kepada sesamanya sangat besar,” kata mereka.
Tentu saja Saiyidina Abu Lubabah, sebagai manusia, terpengaruh dengan ucapan ini. Mereka bertanya, “Wahai Abu Lubabah, bagaimana pendapatmu, apakah kami akan ikut kepada cadangan Rasulullah bahawa keputusan di tangan Saiyidina Sa’ad bin Muaz?”
Saiyidina Abu Lubabah lalu mengisyaratkan kepada mereka dengan tangannya yang diletakkan ke lehernya, bahawa jika Saiyidina Saad yang memberi keputusan, mereka akan disembelih. Maka ia menyuruh mereka agar tidak mahu menerima.
Saiyidina Abu Lubabah menyedari kesalahannya. “Demi Allah, kedua kakiku belum beranjak dari tempatku melainkan aku mengetahui bahwa aku telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya.”
Setelah ayat Suci Sural Al-Anfal (27) turun: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan mengkhianati kepercayaanmu, sebagaimana yang kamu ketahui.”
Ia kemudian pergi ke masjid Nabi dan mengikatkan tubuhnya pada salah satu tiangnya. Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum hingga mati atau Allah mengampuni dosaku itu,” ujarnya lembut.
Tujuh hari lamanya ia tidak makan dan minum sehingga tak sedarkan diri, kemudian Allah mengampuninya dengan turun Ayat Al-Quran surah At-Taubah: 102
(Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.)
Lalu ada yang menyampaikan berita itu kepadanya, “Wahai Abu Lubabah, Allah telah mengampuni dosamu.”
Ia berkata, “Tidak. Aku tidak akan membuka ikatanku sebelum Rasulullah datang membukanya.”
Tak lama setelah itu, Rasulullah pun datang membukanya. Saiyidina Abu Lubabah berkata kepada baginda, “Kiranya akan sempurna taubatku, kalau aku meninggalkan kampung halaman kaumku, tempatku melakukan dosa. Dan aku akan menyumbangkan seluruh hartaku.”
Rasulullah SAW menjawab, “Kau hanya dibenarkan menyumbang sepertiganya saja.”
Begitulah. Abu Lubabah mendapat ampunan, baik dari Rasulullah SAW maupun dari Allah SWT. Dia pun meneruskan jihad, seperti yang disebutkan kepada Nabi dan berpindah dari Madinah ke tanah Afrika untuk memenuhi tebus dosanya dan komitmennya terhadap apa yang dijanjikan.
Beliau datang ke Tunisia, sebuah negara di bumi Afrika ketika pemerintahan Saiyidia Othman bin Affan RA dan meninggal dunia di masa pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib Karamallah Wajhah pada tahun 40 Hijrah ketika berumur di antara 75 dan 80 tahun.
Beliau meninggal dunia di kawasan Wadi El-Ghiran di Ahwaz, Gabes, selatan Tunisia, di mana jenazahnya dibawa ke kota ini di mana dia dikebumikan di bukit sebelah oasis Gabes dan kini menjadi tempat tumpuan orang Islam berziarah mengambil keberkatan.
Mari kita contohi taubat Saiyidina Abu Lubabah. Taubat yang sungguh-sungguh hingga mendapat respon Allah dan Rasul. Taubat yang disertai usaha menyakitkan nafsu. Taubat yang bukan sahaja disertai tebus dosa dengan harta benda, malah berhijrah meninggalkan tanah tumpah darahnya tempat ia terlibat dengan dosa.
Ampunkan kami Tuhan. Tuhan yang rezkikan kami menziarahi Saiyidina Abu Lubabah di utara Afrika sedangkan kami dari Timur yang jauh. Anugerahkanlah juga kami hati yang benar-benar bertaubat seperti beliau, agar kami selamat dunia dan akhirat.
Apartment pinggir Tunis
10.52am, Nov 8, 2019