AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

Kisah makanan untuk 10 orang, cukup untuk lebih 1000 orang

Kongsikan kepada yang lain
Share
Syi’ab Bani Haram

Salam ceria.

Petang semalam En Ikrimah bawa anjang melawat lagi sekitar Madinah. Kali ini ke kawasan perang Khandak. Banyak peristiwa berlaku dalam peperangan Khandak atau Ahzab ini. Di antaranya ialah kisah keajaiban yang berlaku di rumah Saiyidina Jabir bin Abdullah RA.

Dalam satu riwayat hadis dari Jabir disebutkan bahawa beliau berkata, “Sebelum Perang Khandaq kami menggali parit. Dalam penggalian itu kami terhalang oleh batu yang sangat keras. Mereka datang menemui Rasul dan berkata, “Ini adalah batu yang sangat keras yang menghalangi penggalian.”

Masjid Bani Haram tapak rumah Saiyidina Jabir bin Abdullah RA, Sahabat yang pemurah yang ingin menjamu Nabi SAW

Aku akan segera turun,” sabda baginda SAW. Dalam keadaan berdiri baginda mengikat perutnya dengan batu. Selama 3 hari kami tidak akan merasai apa-apa. Lalu batu yang keras itu dipukul oleh nabi yang kemudian hancur berkeping-keping. Sesudah itu aku berkata kepada Rasulullah SAW. “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku pulang ke rumah.”

Baginda pun mengizinkan aku pulang. Sampainya di rumah aku berkata kepada isteriku, “Aku melihat sesuatu pada diri Nabi, yang bila saja aku melihatnya tentu aku tidak mampu sabar. (Aku tak sanggup melihat Nabi lapar) Apakah kamu mempunyai sesuatu?”

Masjid Bani Haram dari luar pintu

Aku punya gandum dan anak kambing betina,” jawab isteriku. Anak kambing itu langsung aku sembelih dan gandumnya kumasak. Dagingnya ku letakkan dalam periuk lalu aku menemui Rasulullah SAW. Isteriku berkata, “Janganlah kau membuatkan aku malu di hadapan Rasulullah dan orang-orang yang bersamanya kerana makanan yang dibawa hanya sedikit”.

Signboard kecil tanda Masjid Bani Haram

Setelah bertemu aku berbisik pada Rasul, Wahai Rasulullah SAW kami telah menyembelih haiwan kami dan memasak satu takar gandum kami. Kemarilah Tuan bersama satu orang bersamamu, asal jangan lebih dari sepuluh orang.”

Dalam riwayat lain disebutkan, “Kami mempunyai sedikit makanan yang telah kami buat. Kemarilah Tuan wahai Rasulullah bersama seorang atau dua orang sahaja.”

Ruangan depan dan mihrab Masjid Bani Haram

Sabda baginda SAW, “Katakanlah kepada isterimu agar periuknya jangan diangkat dulu dari tungku begitu adunan rotinya sampai aku datang. ” Sesudah itu baginda melaungkan, “Wahai semua penggali parit, sesungguhnya Jabir telah membuat makanan. Marilah semuanya segera ke mari!”

Setelah aku bertemu isteriku aku berkata kepadanya, Sungguh teruklah kamu, nabi datang bersama semua orang Ansar dan Muhajirin.”

Masjid ini asalnya rumah Saiyidina Jabir. Di salah satu ruang inilah Rasulullah SAW dan para sahabat duduk menikmati hidangan setelah 3 hari tidak makan.

Apakah baginda bertanya berapa banyak makananmu?” tanya isteriku.

Ya”, jawabku.

Allah dan rasul lebih mengetahui. Kita membuat roti apa yang ada pada kita sahaja.”

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Jabir berkata, “Aku pulang ke rumah. Rasulullah SAW pula datang bersama semua orang. Isteriku mengeluarkan adunan roti, lalu baginda meludahi adunan itu lalu memberkatinya. Kemudian Rasulullah SAW menuju ke periuk kami, meludahinya dan berdoa agar diberkati. Sesudah itu, baginda bersabda kepada Jabir, “Panggillah tukang pembuat roti agar dia membuatnya bersama isterimu.”

Baginda SAW juga bersabda kepada isteriku, “Ceduklah isi periuk ini, tetapi periuknya jangan engkau turunkan.”

Mereka datang bersama Rasulullah SAW seramai kira-kira seribu orang, didudukkan sepuluh-sepuluh, lalu mereka semuanya makan. Aku bersumpah demi Allah, mereka semua dapat makan. Aku bersumpah demi Allah, mereka semua dapat makan. Sampai akhirnya mereka meninggalkan makanan, maka periuk kami dan adunan roti kami masih seperti mula-mula tadi. Baginda SAW bersabda, “Makanlah dan hadiahkanlah.” Sehingga pada hari itu kami dapat memakannya dan memberikannya kepada jiran tetangga.

Dan dalam riwayat lain disebutkan “Kami dapat makan dan memberikannya kepada tetangga. Dan setelah Rasulullah SAW keluar, maka makanan itu pun habis.” Di ambil dari hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Ada yang mengatakan Rasulullah SAW sendiri yang menceduknya menggunakan tangan baginda yang mulia tanpa membuka periuk itu kecuali sedikit di tempat senduknya sahaja.

Rumah Saiyidina Jabir ini terletak di Syi’ab Bani Haram bersebelahan dengan sebuah bukit yang di sebaliknya adalah Medan Perang Khandak.

Alhamdulillah dengan keberkatan, petang semalam anjang berpeluang menziarahi Syi’ab Bani Haram dan melihat tempat rumah Saiyidina Jabir RA yang telah dibangunkan masjid di situ. Menurut En Ikrimah, kalau bukan kerana dibangunkan masjid di situ, kemungkinan tempat itu akan dimusnahkan kerana dikatakan bid’ah bila umat Islam seluruh dunia menziarahinya.

Moga kita semua mendapat keberkatan baginda di akhir zaman ini seperti umat Islam terdahulu. Benarlah yakin itu sebagai benteng utama ketakwaan kerana dengan keyakinan Saiyidina Jabir dan isterinya maka mukjizat baginda berlaku pada makanan dan minuman di rumahnya. Makanan untuk sepuluh orang cukup untuk lebih 1000 orang. Luar biasa. Sangat luar biasa. Anjang pula dapat menziarahi tapak rumah Saiyidina Jabir RA yang penuh keberkatan ini. Terima kasih Tuhan dan seluruh kepimpinan GISBH yang memberi peluang anjang menyaksikan sendiri tapak rumah ini. Moga seluruh GISBH diberkati. Aamiin.

Pantai Yanbu’, Saudi.

5.20pm, Nov 24, 2019

KISAH MUKJIZAT NABI MUHAMMAD SAW TERHADAP MAKANAN DI RUMAH SAIYIDINA JABIR RA

  • https://www anjangmuor com/2019/11/24/kisah-makanan-untuk-10-orang-cukup-untuk-lebih-1000-orang/ (100)

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *