Masjid Quba’ dan Bi’r Khatim
Meninggalkan Bustan Mustazall kami menuju ke Masjid Quba’. Semua kita maklum, inilah masjid pertama dibangunkan dalam Islam. Istimewanya ia dibangunkan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat. Apabila sampai di Quba’, Rasulullah SAW turun dari kenderaan Baginda. Rasulullah SAW terus memerintahkan para sahabat untuk membina sebuah masjid di situ.
Demikianlah kepentingan sebuah masjid dalam Islam. Rasulullah SAW berada di Quba’ selama empat hari. Ketika itu Sayyidina Ali telah sampai dari Mekah. Dalam tempoh itu juga para sahabat telah berjaya menyiapkan sebuah masjid di Quba’.
Mereka membinanya secara gotong royong sambil bernasyid:
اللهم لا عيشَ إلا عيشُ الآخرة،
فاغفر للأنصار والمُهاجرة،
“Ya Allah, tiadalah kehidupan melainkan kehidupan di Akhirat, ampunkanlah para Ansar dan Muhajirin.”
Di situlah Rasulullah SAW menerima kunjungan penduduk Madinah. Baginda juga mula menyusun masyarakat Islam khususnya kaum Muhajirin. Rasulullah SAW berada di Quba’ dari hari Isnin sehinggalah hari Khamis. Pada hari Jumaat, Rasulullah SAW bergerak dari Quba’ memasuki Kota Madinah.
Di waktu-waktu selepas itu, Rasulullah SAW akan datang bersolat di masjid ini setiap hari Sabtu samada dengan menunggang unta atau berjalan kaki. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bererti:
“Sembahyang di Masjid Quba’ sama pahalanya seperti mengerjakan umrah.”
Istimewanyamu wahai Masjid Quba’. Sedangkan mengerjakan umrah memerlukan seseorang niat dan berihram di miqat. Menjauhi larangan ihram yang bukan sedikit. Tawaf, Saie dan bercukur yang memerlukan daya dan tenaga. Sudah tentu solat itu kena dikerjakan dengan khusyu’ barulah Allah anugerahkan pahala umrah.
Ia telah banyak kali diperbaharui dan ditambah-baikkan sejak zaman Saiyidina Uthman bin Affan RA, zaman Saiyidina Umar Abdul Aziz, zaman khalifah-khalifah seterusnya hinggalah zaman Khalifah Abdul Majid di era Empayar Uthmaniah juga di zaman kerajaan Saudi.
Yang penting bagi kita ialah keberkatan yang sangat besar di sini kerana ia dibina oleh Penghulu Nabi dan Rasul, Saiyidina Muhammad SAW dan para Sahabat yang di asaskan dengan takwa.
Firman Allah SWT:
لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا۟ ۚ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُطَّهِّرِينَ
“kerana sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”
Ya, asasnya takwa. Modalnya takwa. Bukan duit, bukan sumbangan, bukan derma, bukan peruntukan mana-mana kerajaan. Ini menunjukkan takwa adalah sebenar-benar modal, darinya datang pelbagai bantuan Allah seperti:
1. Jalan keluar dari sebarang masalah.
2. Rezeki dari sumber yang tidak diduga.
3. Ilmu yang Allah ajarkan. Allah cerdikkan diri kita.
4. Amalan diterima.
5. Dosa diampunkan.
6. Amalan diperelokkan dan lain-lain.
Bi’r Khatim
Di tepi jalanraya di sebelah masjid Quba’ ini terdapat tiga batang pohon kurma. Di bawah pokok-pokok kurma inilah asalnya terdapat sebuah telaga yang bernama Bi’ru Khatim. (Satu pendapat lagi mengatakan ia terletak di bawah kawasan air pancut)
Diriwayatkan, Rasululllah SAW pernah duduk-duduk sambil berjuntaian kaki ke arah dalam telaga bersama Saiyidina Abu Bakar, Umar dan Uthman RA.
Lihatlah indahnya kehidupan baginda dengan para sahabat, bukan hanya di program rasmi seperti kuliah-kuliah semata-mata tetapi hidup bersama para sahabat khasnya team dengan suasana indah sambil berbual-bual dengan keadaan berjuntai-juntai kaki di bibir telaga.
Di zaman Saiyidina Uthman RA, beliau pernah tanpa sengaja terjatuhkan cincinnya ke dalam telaga ini. Cincin itu pula sangat berharga baginya kerana ia perolehi dari Saiyidina Umar RA yang beliau dapat dari Saiyidina Abu Bakar RA. Saiyidina Abu Bakar pula menerimanya dari Nabi SAW. Ya, ia sangat bernilai kerana ia cincin Nabi Muhammad SAW.
Para sahabat semuanya sangat menjaga barang-barang berkat, kerana ia menjadi sebab mendapat kekuatan dari Allah seperti kisah Saiyidina Khalid yang membawa rambut Rasulullah SAW ke medan perang, Saiyidina Abu Ayub membawa barang berkat baginda ke Kontantinopel dan lain-lain.
Oleh itu, para Sahabat terlah berusaha mengeringkan telaga ini untuk mencari cincin tersebut. 3 hari mereka berusaha mencarinya tetapi tidak bertemu. Ia menjadi bukti barang berkat boleh hilang dengan sebab-sebab tertentu. Tidak lama selepas itu Saiyidina Uthman mati syahid terbunuh dan berakhirnya kekhilafahan beliau. Rupa-rupanya kehilangan cincin itu memberi isyarat akan berakhirnya pemerintahan Saiyidina Uthman RA. Moga Allah anugerahkan mati syahid untuk kita juga. Aamiin ya Allah.
Villa GISBH Madinah.
11.44am, Nov 23, 2019
- https://www anjangmuor com/2019/11/24/masjid-quba-dan-bir-khatim/ (80)