AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

Tawaf Wada’

Kongsikan kepada yang lain
Share

hiSalam ceria.

Hari ini gerak ke Madinah. Tadi pergi Tawaf Wada’. Shidi drive sampai ke bawah hotel-hotel menara jam. Naik GMC warna Black Rose. Tak ada di Malaysia ni. Polis Saudi dan Pengawal Keselamatan Hotel tak tahan sangat sebab kategori kereta mewah. Kalau tahan pun, mudah lepaskan. Lumrah manusia, nilai yang lahir. Lagipun duduk di Retaj Al Bait Hotel. 5 bintang. Porter yang angkat bagasi pun demand Beb. Tak main la 5-10 Riyal. 20 Riyal tips sekali angkat. Dalam ekonomi Malaysia yang teruk ni, pandai-pandailah meminta dengan Allah agar dicukupkan keperluan.

Shidi dan Ikrimah turun. Aku stay dalam GMC. Tak sampai 5 minit Polis Saudi dah ketuk-ketuk cermin minta alih kereta. Call Shidi, speaker dalam GMC yang berbunyi. Bersambung Bluetooth la tu. Tak lama kemudian Shidi sampai. Ketika nak adjust untuk keluar, Alhamdulillah bagasi pun sampai untuk loading. Kalau tak kena keluar dan pusing jauh. Siap loading bagasi, kami tinggalkan Shidi bergerak. Kami terus ke Masjidil Haram menunaikan Tawaf Wada’.

Tawaf Wada’ Tawaf Selamat Tinggal. Untuk mereka yang ingin keluar dari Kota Mekah. Lambang memuliakan Baitullah Al Haram. Ketika sampai kita lakukan Tawaf Qudum. Begitulah hati kita sepatutnya, bila ingin menghadap Allah, kena buat persiapan dan penghormatan. Nak keluar pun begitu.

Tawaf macam biasa, kena ada wudhu’, bahu kiri menghala ke Kaabah. Bermula dari penjuru Hajarul Aswad. Berjalan mengelilingi Kaabah. Tawaf itu dalam BM, mengelilingi. Bila sampai ke tempat bermula di penjuru Hajarul Aswad, dikira satu pusingan. Kalau terbatal wudhu’, kena ambil semula. Berkaitan bersentuh dengan perempuan, ambil pendapat yang marjuh dalam Mazhab Syafie, tak batal wudhu’ jika tanpa syahwat. Jangan bertukar qasad seperti mencari-cari orang yang hilang.

Kalau ragu bilangan, ambil yang kurang. Cukupkan bilangan sampai yakin. Jangan memegang kelambu Kaabah kalau dalam tawaf Umrah sebab ada minyak wangi yang disapu di situ. Boleh kena dam. Jangan masuk ke Hijir Ismail, tak sah pusingan itu kerana Hijir Ismail sebahagian dari Kaabah. Jangan bersesak-sesak hingga mengasari orang lain. Malulah dengan Allah, tetamu-tetamu bergaduh di rumah Allah. Banyakkan tasbih, tahmid, takbir, istighfar, selawat dan doa-doa. Selesai tawaf, sembahyang sunat tawaf.

Lepas Tawaf Wada’, minum air zam-zam, solat sunat, terus bergerak keluar. Tak dibenarkan lakukan perkara kecuali berkaitan permusafirannya. Tak boleh baru nak bergambar, posing bagai. Nak beselfielah. Nak beli tasbih, cincin, attar, patung unta lah. Nak bayar hutang la. Ketika tu la nak bersedekah seriyal, seriyal agar di kira 100 ribu pahalanya. Selama beberapa hari ni kenapa tak sedekah? Yang boleh atau dibenarkan ialah beli makanan untuk bekal musafir atau buang air. Kalau langgar larangan-larangan, kena ulang tawaf Wada’.

Lepas tawaf Wada’, kami terus ke hentian kereta dan bas di bawah terowong depan bangunan Dar Tawhid yang bakal diruntuhkan. Tak lama lepas itu Shidi pun sampai untuk bawa kami ke Villa GISBH. Sampai di Villa turunkan Shidi, Ikrimah ambil alih memandu menuju Madinah. Tak kurang 4 hingga 5 jam baru kami akan sampai ke Madinah. Naik GMC ni dah kira beruntung sangat. Selesa, boleh berhenti bila perlu dibanding naik bas hingga 7 jam. Zaman Nabi SAW dahulu ketika berhijrah ambil masa 12 hari, naik unta lagi. Berpanas di siang hari, sejuk pada malamnya. Di kejar pula oleh musuh-musuh. Bayangkan betapa cemas, mendebarkan, penat dan letihnya.

Bila lihat susah payah orang mengerjakan ibadah umrah, rasa rugi sangat kalau Allah tak terima ibadah kita. Tanda ibadah kita diterima ialah semakin baik akhlak kita terhadap Allah dan sesama manusia. Mari kita kongsi panduan mengenal diri sendiri, baik atau jahatnya diri kita agar tepat kita buat penilaian dan bersungguh-sungguh membuat perubahan.

Dewan Makan Hotel Huda Toiyibah, Madinah

7.41 pm, Dis 17, 2019

Ukuran Baik Jahatnya Manusia

Setiap orang Islam itu tidak boleh diukur yang dia baik

waktu datang bersembahyang di masjid sahaja

Belum boleh diukur yang dia baik sering sembahyang berjemaah di rumah Allah

Jangan lagi dilabelkan dia baik selalu naik haji dan buat umrah berulang kali

Tasbih di tangan, wirid dan zikir tidak lekang

Kerana itu semuanya ibarat berladang, baru menanam pokok

Tidak semestinya menanam pokok, pokok itu berbuah lebat dan banyak

Tidak semestinya menanam pokok, mendapat hasil yang memuaskan

Orang yang beribadah tadi kita lihat dahulu di dalam pergaulannya, bagaimana?!

Bagaimana sikapnya di dalam pergaulan mereka?

Mereka berkasih sayang atau tidak?

Mereka bertimbang rasa atau sebaliknya?!

Bagaimana dia menggunakan lidahnya?!

Mereka menyakiti orang? Menghina orang? Menfitnah orang?

Dengan orang miskin dan susah mereka menolong?

Atau buat tidak tahu sahaja kesusahan orang?!

Adakah mereka pemaaf? Meminta maaf, pemurah? Sabar dengan ujian?

Redha dengan takdir Tuhan?!

Mereka mengutamakan diri?! Atau mengutamakan orang lain?

Apakah mereka merasa susah dengan kesusahan orang?

Senang pula dengan kesenangan orang?

Kalau kita dapat menjawab dengan baik dan tepat,

memang kita kenal orang baik dan orang jahat

Ibadah mereka berbuah, orang yang ibadahnya berbuah itulah orang baik

Kalau ibadah sahaja banyak, tapi tidak berbuah, itu bukan orang soleh

Mengukur orang baik bukan dengan banyak ibadahnya

Tapi diukur berbuahkah ibadahnya?

Tinggikah peri kemanusiaannya oleh ibadahnya?!

Selepas Zuhur

26.05.2003

  • https://www anjangmuor com/2019/12/17/tawaf-wada/ (38)

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *