Mahkamah Persekutuan putus anak tak sah taraf tidak boleh dibinkan, binti nama bapa
Putrajaya: Mahkamah Persekutuan hari ini dalam keputusan majoriti 4-3, memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh dibin atau dibinti dengan nama bapanya.
Panel tujuh hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf membenarkan sebahagian rayuan dikemuka Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Rayuan pada 2017, memutuskan anak orang Islam yang tidak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa, sebaliknya perlu ‘dibin atau binti Abdullah.’
Hakim Rohana yang menyampaikan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan itu berkata, Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak terpakai bagi pendaftaran kelahiran anak orang Melayu kerana orang Melayu tidak menggunakan nama keluarga.
Beliau berkata, Seksyen 13A tidak diguna pakai dalam sistem nama orang Melayu dan tidak membolehkan anak-anak dibin atau dibinti dengan nama peribadi orang yang diketahui ialah bapa kepada anak itu (responden pertama dalam kes rayuan ini).
Hakim Rohana, bagaimanapun mengeluarkan perintah penting bagi Ketua Pengarah JPN untuk mengeluarkan ‘bin Abdullah’ daripada sijil kelahiran kanak-kanak itu.
“Nama responden pertama (kanak-kanak) tanpa ‘bin Abdullah’ perlu kekal,” katanya.
Hakim Rohana berkata, Ketua Pengarah JPN tidak boleh menggunakan fatwa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terhadap kanak-kanak itu kerana tiada fatwa tentang bagaimana memberi nama pada kanak-kanak tidak sah taraf yang diwartakan di Johor.
Fatwa Kebangsaan menyatakan bahawa anak tidak sah taraf Islam hendaklah ‘dibin atau binti Abdullah’.
“Pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atau sesuatu fatwa itu akan menjadi undang-undang di negeri Johor dan mengikat di sisi perundangan jika ia diwartakan dalam Warta Negeri selaras dengan Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003,” katanya.
Dalam penghakimannya, Hakim Rohana berkata, Ketua Pengarah JPN bertindak secara tidak munasabah dalam menggunakan fatwa tertentu ke atas kanak-kanak itu serta ibu bapanya, dan dengan berbuat demikian, Ketua Pengarah JPN telah merampas kuasa Sultan Johor.
Beliau berkata, Ketua Pengarah JPN, dalam melaksanakan pendaftaran kelahiran anak-anak orang Islam, boleh merujuk dan bergantung pada Seksyen 111 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 mengenai pewarisan harta pusaka.
Katanya, tindakan Ketua Pengarah JPN tidak membenarkan permohonan bapa agar kanak-kanak itu dibin dengan namanya betul dari segi undang-undang.
Tiga lagi hakim iaitu Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Tan Sri Idrus Harun bersetuju dengan Hakim Rohana, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nallini Pathmanathan menentang.
Dalam penghakiman menentangnya, Hakim Nallini berkata, Seksyen 13A terpakai dalam pendaftaran kelahiran anak-anak orang Islam yang membolehkan mereka dibin atau dibinti dengan nama peribadi individu yang mengaku sebagai bapa kanak-kanak itu.
Beliau berkata, BDRA terpakai kepada semua orang di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama.
Sementara itu, peguam Datuk Ikbal Salam yang mewakili Majlis Agama Islam Johor memberitahu pemberita bahawa fatwa berkaitan anak tidak sah taraf dibin atau dibinti Abdullah bagi negeri Johor hanya diwartakan pada 21 Mei 2018.
Beliau berkata, meskipun fatwa itu diwartakan selepas kes berkenaan bermula, namun pada masa akan datang, kedudukan seseorang individu akan jelas kerana sudah terdapat fatwa yang diwartakan di Johor yang berkaitan dengan anak tidak sah taraf.
Responden dilahirkan kurang enam bulan selepas pernikahan ibu bapanya, yang disifatkan sebagai anak tidak sah taraf di bawah undang-undang syariah.
Ibu bapa kanak-kanak (yang identiti mereka dirahsiakan oleh mahkamah) itu memohon kepada JPN mengikut Seksyen 13 BDRA untuk kanak-kanak itu dibin dengan nama bapanya di dalam sijil kelahirannya, tetapi JPN enggan menggantikannya dengan nama bapa atas alasan kanak-kanak itu tidak sah taraf.
Ibu bapa itu kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi tetapi ditolak pada 4 Ogos 2016.
Pada 25 Mei 2017, Mahkamah Rayuan membenarkan semakan kehakiman mereka untuk mengarahkan Ketua Pengarah JPN menggantikan nama keluarga kanak-kanak berkenaan, iaitu ‘Abdullah’ dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran. – BERNAMA
AM:
Risiko jika binkan atau bintikan anak yang tidak sah kepada bapa kanak-kanak tersebut dari sudut syara’ sangat banyak. Ia perlu dihalusi kerana akan melibatkan keturunan generasi demi generasi. Mungkin melibatkan pembahagian harta pusaka. Maka akan berlaku penzaliman kerana mengambil sesuatu yang bukan haknya. Neraka balasannya. Bila jadi makan minum, ia menjadi darah dan daging yang akan juga membawa seseorang ke neraka. Ia juga membentuk hati dan perasaan akhirnya membina peribadi seseorang.
Jika anak perempuan pula, ia tidak boleh dinikahkan oleh bapa biologinya kerana anak luar nikah. Maka kena gunakan wali Hakim. Wali dari pemerintah. Jika ingin disorokkan kerana malu, malu dengan manusia, tak malu dengan Allah maka terkorban hukum syara’ malah lebih malang lagi nikah tersebut tidak sah maka akan berpanjangan keturunan zina tidak berkesudahan.
Tapi akhir zaman ini ramai yang berhakimkan akal dahulu. Letakkan akalnya lebih dari Allah dan Rasul lantaran tidak dapat didikan
أول الدين معرفة الله
Awal-awal agama mengenal Allah. Lalu mereka merasakan semua yang akal kata benar, baik, bagus, tepat itulah sebenar-benarnya kebenaran, baik, bagus, tepat dll tanpa merujuk kepada Al-Quran dan As Sunnah.
Seorang Syeikh, ada Phd lagi, jumpa dengan anjang memberitahu, anak perempunnya yang sudah meningkat 20’an berkata, dia tak mahu berkahwin sebab kalau berkahwin pun nanti bila corona virus merebak seluruh dunia, ada anak ramai, akan mati semuanya. Buat apa berkahwin, merugikan sahaja. Tengok, celah-celah masyarakat ni ada yang berfikiran begini. Lebih 1000 kali pelik, dia adalah pelajar di universiti dalam bidang Syariah Islamiyah. Ayahnya juga di bidang yang sama.
Begitulah watak akhir zaman, kekuatan umat Islam sangat rapuh hampir tiada. Pendidikan yang membesarkan akal semata-mata walaupun dalam bidang syariat hanya melahirkan mereka yang bila-bila masa boleh menjadi musuh agama samada sedar atau tidak. Cuba perhatikan 3 hakim yang menentang itu salah seorangnya orang Islam juga.
Cuma kita beruntung ada janji Tuhan untuk umat Islam dimenangkan di akhir zaman. Moga dengan keberkatan janji Allah semuanya akan jadi positif kepada Islam dan umatnya walaupun pada permulaannya nampak sangat negatif. Seperti penindasan terhadap etnik Ughyur yang sangat tidak boleh diterima seluruh alam tetapi apa yang Allah nak buat lebih besar dari itu apabila tersebarnya virus corona yang membuatkan semua orang InsyaAllah akan mencari kebenaran, mencari Allah. Moga semua penganut Komunis China beralih kepada agama Islam yang suci. Aamiin.
Villa GISBH Irbid
9.27AM, Feb 14, 2020