SIDANG MEDIA PM 23 MAC 2020 berkaitan COVID-19
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA
23 MAC 2020
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
Sebentar tadi saya telah selesai mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi. Dalam mesyuarat ini saya telah diberikan penerangan terperinci mengenai situasi terkini kewangan negara. Ini termasuk penurunan mendadak harga minyak mentah dunia dan penularan wabak COVID-19 yang memberi kesan ke atas pertumbuhan ekonomi dan kedudukan semasa kewangan negara.
Saya sedar pada waktu ini antara perkara utama yang sedang bermain di fikiran sebahagian besar rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, ialah bagaimana untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Saya tahu dalam keadaan krisis yang sedang kita lalui ini, ramai yang kehilangan sumber pendapatan. Peniaga-peniaga kecil terpaksa tutup kedai, pemandu teksi dan grab kehilangan pelanggan, pekerja bergaji harian tidak menerima gaji, malah para majikan pun ramai yang menanggung kerugian kerana perusahaan dan perniagaan mereka terpaksa ditutup buat sementara waktu.
Oleh sebab itu, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada hari ini telah memutuskan beberapa inisiatif utama yang saya harap dapat membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh anda semua ketika melalui waktu yang sukar ini. Inisiatif- inisiatif yang akan saya umumkan ini adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif yang akan saya umumkan dalam masa terdekat.
Inisiatif-inisiatif yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada hari ini ialah:
Pertama, kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM40 billion. Menerusi kemudahan ini, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan. Permohonan boleh dibuat bermula 1 April 2020. Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP, dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion.
Saya berharap inisiatif ini dan juga pengurangan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak 4% yang berkuatkuasa pada bulan April 2020 akan membolehkan para pekerja mempunyai lebih wang dalam poket masing-masing untuk membeli barang- barang keperluan harian.
Nasihat saya kepada anda semua yang akan menerima manfaat ini, gunalah wang ini sebaik mungkin. Beli barang- barang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini. Yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga. Mungkin juga wang ini sebahagiannya boleh digunakan untuk menampung bayaran bil air atau bil elektrik atau sewa rumah mengikut keperluan masing-masing.
Walaupun jumlahnya mungkin tak seberapa, tetapi inilah wang hasil titik peluh anda sendiri yang sepatutnya digunakan untuk hari tua, tetapi kerajaan benarkan wang ini digunakan pada masa ini memandangkan ada dalam kalangan saudara-saudari yang memerlukan. InsyaAllah, jika wang ini digunakan secara berhemah akan ada keberkatannya untuk saudara dan saudari seisi keluarga.
Kedua, kerajaan juga bersetuju untuk menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha menangani COVID-19. Peruntukan ini antara lainnya akan digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan ICU, peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan COVID-19. Untuk menyegerakan pembelian barangan kritikal, kerajaan telah meluluskan tatacara perolehan secara darurat.
Selain itu, peruntukan sebanyak RM100 juta juga disediakan kepada Kementerian Kesihatan untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat. Ramai jururawat dan kakitangan hospital yang amat keletihan pada masa ini kerana mereka terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat saringan kes COVID-19 dan merawat mereka yang disahkan positif. Saya berharap pengambilan kakitangan baharu ini dapat dibuat dengan segera supaya semua hospital di negara kita mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menangani penularan wabak COVID 19.
Ketiga, kerajaan juga telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM130 juta kepada negeri-negeri untuk membantu kerajaan negeri menangani krisis COVID- 19. Peruntukan ini boleh digunakan untuk memberi bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat krisis COVID-19, bantuan kepada pesakit COVID-19 dan ahli keluarga mereka serta menyediakan keperluan kepada petugas-petugas di peringkat kerajaan negeri yang terlibat dalam menangani krisis ini.
Peruntukan sama rata akan diberi kepada setiap negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan. Krisis yang sedang kita hadapi ini memberi kesan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan politik. Sebab itulah saya berpandangan semua pihak tanpa mengira fahaman politik mestilah bersama-sama berganding bahu dan bersatu-padu untuk menangani krisis yang sedang kita hadapi ini. Menjaga keselamatan rakyat, kesihatan rakyat dan nyawa rakyat adalah tanggungjawab kita bersama yang melangkaui batas politik.
Keempat, kerajaan juga telah bersetuju untuk memberikan lanjutan masa dari 3 bulan kepada 6 bulan bagi penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM750 juta. Penangguhan ini yang berkuatkuasa serta-merta pada hari ini sehingga 30 September 2020 dijangka akan memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam PTPTN.
Selain daripada inisiatif-inisiarif yang saya umumkan ini, kerajaan juga sedang mengkaji langkah-langkah tambahan untuk membantu rakyat menghadapi keadaan yang agak sukar pada waktu ini. Langkah-langkah komprehensif sedang diteliti oleh Kementerian Kewangan yang akan mengambil kira kepentingan setiap kelompok masyarakat di negara ini. Samada anda peniaga kecil, pemandu teksi, petani, nelayan, penternak, pekerja kilang, kakitangan swasta, kakitangan kerajaan, semuanya akan diberi perhatian oleh kerajaan. InsyaAllah, jika diizinkan oleh Allah s.w.t. saya akan umumkan Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif pada 30 Mac 2020.
Kesemua langkah yang bakal saya umumkan nanti akan mengambil kira usaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara kita dalam jangka masa sederhana. Saya berharap dengan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan, kehidupan saudara-saudari akan lebih terjamin dan ekonomi negara kita juga akan kekal kukuh.
Dalam situasi krisis yang sedang melanda negara kita pada waktu ini, yang paling penting kita hendaklah sentiasa bermuafakat, berganding bahu dan cekal dalam mencari penyelesaian kepada setiap masalah yang kita hadapi.
Bulat air kerana pembentung Bulat manusia kerana muafakat
Berat sama dipikul Ringan sama dijinjing