AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

Hantar mayat teman wanita ke rumah dengan motosikal

Kongsikan kepada yang lain
Share

AKIBAT terlalu takut, seorang remaja sanggup menghantar teman wanitanya yang sudah meninggal dunia ke rumahnya di Felda Keratong 5 di Muadzam Shah, selepas terbabit dalam kemalangan dengan seekor kerbau, awal pagi tadi.

Suspek berusia 17 tahun itu dikatakan membawa mayat mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala itu sejauh 15 kilometer selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan kilang sawit Felda Keratong 3 kira-kira 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskun berkata, hasil siasatan mendapati suspek bersama mangsa berusia 17 tahun itu dikatakan keluar berjalan-jalan menaiki motosikal jenis Yamaha LC.

“Bagaimanapun sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dinaiki mangsa bertembung dengan seekor kerbau yang baring di tengah jalan.

“Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan peha dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, suspek bertindak membawa mayat dengan menaiki motosikal yang sama menuju rumah remaja perempuan itu di Felda Keratong 5 sebelum meninggal mangsa di garaj.

“Suspek tidak memaklumkan kepada keluarga mangsa berkaitan kejadian berkenaan kerana terlalu takut sebelum terus beredar selepas kejadian.

“Kira-kira jam 10 pagi, datuk mangsa yang sedang meletakkan kenderaan di garaj berkenaan menemui mayat cucunya yang dibungkus dengan kain sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, mangsa adalah anak sulung dari empat orang beradik dan siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata.

“Polis sudah menahan remaja lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut dan kita turut merampas motosikal Yamaha 135 LC berkenaan.

“Mayat dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat,” katanya.

Kredit: MyMETRO

AM: Ambillah iktibar. Ikutlah arahan kerajaan. Bila diarah ‘duduk di rumah’, janganlah keluar kecuali keperluan sahaja. Wajib taat arahan pemerintah selagi tidak disuruh berbuat maksiat. Kematian boleh datang bila-bila dan di mana sahaja. Moga ketika kematian menjemput kita, kita dalam keadaan taatkan Allah, takut dan cintakan-Nya.

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *