Penduduk AS protes langkah pencegahan Covid-19
WASHINGTON – Tanpa mempedulikan penjarakan sosial, ribuan penduduk berhimpun di beberapa lokasi di ibu negeri seluruh Amerika Syarikat (AS) kelmarin bagi mendesak penarikan semula perintah berkurung yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).
Di Michigan yang merekodkan 1,900 kematian, lebih 3,000 penunjuk perasaan berhimpun di bangunan Capitol sekali gus mengingkari perintah duduk di rumah yang diumumkan Gabenor Gretchen Whitmer.
Lebih mengejutkan, perhimpunan itu disertai kumpulan pencinta senjata api dengan membawa raifal.
Mereka turut melaungkan slogan anti Whitmer selain menyamakan anggota Demokrat itu dengan pemimpin Nazi, Adolf Hitler.
Selain Michigan, protes sama turut diadakan di Minnesota, Kentucky, Utah, Carolina Utara dan Ohio dengan kebanyakan peserta ialah penyokong tegar Presiden Donald Trump.
Penunjuk perasaan memberi alasan perintah berkurung yang dilaksanakan di hampir kesemua 50 negeri di AS sebagai satu bentuk penganiayaan, membelakangi perlembagaan selain mendakwa ia lebih berbahaya berbanding Covid-19.
Sementara itu, Trump menzahirkan perasaan simpati dan memahami kehendak rakyatnya yang mahu bergerak bebas.
Setakat ini, AS masih sebagai negara dengan kes jangkitan tertinggi di dunia dengan 671,425 kes dengan 33,286 kematian. – Agensi
Kredit: https://www.sinarharian.com.my/article/79392/GLOBAL/Penduduk-AS-protes-langkah-pencegahan-Covid-19
AM: Bukan mudah mendisiplinkan rakyat yang telah terbiasa bebas malah menjadi ideologi mereka bahawa kebebasan itu satu bentuk hak asasi yang tidak boleh dicabuli walaupun ia diakui ramai sebagai mengundang bala bencana yang lebih besar.
Cuba bayangkan sebuah negara moden dengan teknologi yang tinggi di semua bidang, dengan bilangan penduduk yang ramai terbukti sekarang menjuarai carta paling ramai terkena jangkitan covid-19 malah mencatat paling tinggi kematian hampir mencapai 40 ribu jiwa ketika diusahakan kawalan pergerakan betapa kalau dibenarkan bebas bergerak. Logiknya rantaian penyakit ini tidak akan putus bahkan bertambah berganda-ganda lagi.
Kalau dengan kematian hampir 40 ribu orang dan di ICU lebih 13 ribu orang masih tidak menginsafkan sebahagian besar penduduk AS untuk merendah diri tetapi kekal mengingkari larangan yang dibuat malah keluar membawa senjata sedangkan peraturan dibuat demi kebaikan bersama, tidak mustahil akan mempercepatkan AS jatuh dari dalam.
Sampai kepada kita video seorang jururawat yang menangis hiba mengenangkan nasib mereka yang bergelimpangan mati tanpa dapat diuruskan oleh oleh keluarga bahkan tanpa dapat memberi penghormatan terakhir tetapi bagi mereka yang telah memakai pakaian pentingkan diri sendiri atau ingin bebas tanpa diganggu semua itu tidak langsung meruntun jiwa mereka. Fitrah mereka telah rosak.
Saat beginilah sebenarnya dunia sangat memerlukan penyelamat untuk menyelamatkan seluruh manusia agar kembali kepada Allah Taala, Tuhan yang Maha Segala-galanya.