PENGHAYATAN DAN MUHASABAH 15 HARI RAMADHAN
PENGHAYATAN DAN MUHASABAH 15 HARI RAMADHAN
Hari ini kita masuk hari ke 16 Ramadhan. Ruginya jika kita masih gagal menghayati Ramadhan. Kita masih ulang kelemahan tahun-tahun sebelum ini. Kita hanya puasa lahir semata-mata, batin kita tak puasa, mazmumah disuburkan. Yang berpuasa hanya perut, sedangkan nafsu yang buas kita bagi makan. Kita berlapar dahaga meletihkan tubuh, tetapi masa yang sama kita layan selazat-lazat makanan kepada mazmumah, akhirnya nafsu yang subur dan membesar. Jauh menyimpang dari tujuan kita berpuasa kerana kita belum rasa besarnya Ramadhan. Sepatutnya sepanjang Ramadhan ini ruh kita makin disuburkan, ruh kita makin bertaqwa, makin ada rasa takut dgn Allah, makin beradab dgn Ramadhan.
Bagaimana penghayatan dalam mengisi Ramadhan dengan amal taqwa? Bagaimana dengan:
SOLAT?
Solat kita besarkan atau kita rasa malas dalam nak kerjakan solat? Kalau rasa malas, patut kita rasa cemas dan bimbang sebab Quran menyatakan itulah sifat orang munafiq iaitu ketika nak mengerjakan solat dia bermalas-malas.
وَلَا يَأْتُونَ ٱلصَّلَوٰةَ إِلَّا وَهُمْ كُسَالَىٰ
mereka tidak mengerjakan sembahyang melainkan dengan keadaan malas
At-Taubah: 54
Rasa malas dan rasa terpaksa. Solat tidak dikerjakan dengan hati yang penuh rasa membesarkan solat. Tidak rasa solat itu agung dan hebat. Sepatutnya dengan berkat Ramadhan yang kita hayati dan besarkan, solat kita makin kita jiwai, makin kita rasakan khusyuk dgn Allah, rasa diperhati oleh Allah, rasa takut dan malu dengan Allah, rasa syukur, rasa terima kasih dengan Allah yang kemudiannya dibawa ke mana-mana selepas solat. Jadilah kita orang yang boleh berkasih sayang, saling hormat menghormati dan saling membahagiakan antara satu sama lain.
TARAWIH
Bagaimana kita menghayati solat Tarawih? sepanjang 15 malam yang lalu? Bagaimana rasa kita mahu menghabiskan 20 rakaat setiap malam? Rasa letih, rasa tak kuat, rasa lambat, rasa payah atau sebagai? Kenapa solat tarawih belum dapat dihayati? Puncanya kerana kita tak rasa Ramadhan ini anugerah Allah! Kita tak rasa tarawih ini hadiah dari Allah. Kita hanya bertemu Ramadhan setahun sekali. Solat sunat tarawih setahun hanya sebulan ni saja. Kita belum membesarkan Ramadhan dan Tarawih. Yang kita besarkan adalah nafsu dan sombong serta mazmumah kita. Kita hanya memikirkan soal lahir, soal makan minum, soal persiapan raya. Kita nak cepat-cepat selesai 20 rakaat. Solat tarawih tak rasa indah. Tak rasa diberi ruang yang sangat indah untuk bercakap-cakap dengan Allah. Kita tak rasa lazat ibadah dalam keadaan rintihan kita didengar Allah. Apa saja pengaduan kita, Allah akan balas, Allah akan respon.
MEMBACA AL-QURAN
Bagaimana dengan baca Quran kita? Adakah kita hayati maksud kata-kata Allah di dalamnya? Adakah kita rasakan Al-Quran umpama kiriman surat cinta dari Allah? Apakah kita memberi respon pada setiap ayat yang kita baca. Disebut neraka, adakah kita rasa gerun dan takut? Disebut siksa, adakah kita rasa cemas dengan dosa-dosa kita? Dan kalau disebut tentang keampunanNya, adakah kita merintih menagih memohon Allah ampunkan kita? Bila disebut orang-orang bertakwa, adakah kita berdoa dalam hati mohon Allah pimpin dan pandu kita untuk menjadi orang-orang yang bertaqwa? Inilah cara para salafus soleh membaca Al-Quran. Mereka membaca dengan tadabbur setiap ayat. Hati merintih dan menagih, mengharap dengan Allah.
SEBALIKNYA
Bagaimana keadaan kita bila mendengar lagu raya? Sudah 15 hari kita berpuasa, sekarang lagu-lagu raya kedengaran di mana-mana. Lagu P.Ramlie, Uji Rashid dan lain-lain. Orang-orang soleh akan rasa bersalah memikirkan hari raya sedangkan Ramadhan sedang di depan mata. Ramadhan ini belum pun kita layan sebagai tetamu agung yang datang bertamu setahun sekali, kita sudah mahu sibuk hendak berhari raya. Di mana adab kita dengan Ramadhan? Kalau kita sudah rasa seronok nak berhari raya sedangkan masih dalam bulan Ramadhan, seolah-olah ghairah nak halau Ramadhan pergi.
Ibaratnya Ramadhan sebagai tetamu sedang duduk dalam satu bilik di rumah kita. Tetapi sekarang ada tetamu lain nak datang bertandang 15 hari lagi. Tetamu baru ini yang kita paling suka dan senang. Lalu kita bercakap kepada Ramadhan; “Eh Ramadhan! Ada tetamu istimewa kami nak datang nak masuk ke bilik yang kamu sedang berada sekarang. Bila kamu nak keluar ya? Kami dah rindu sangat dengan tetamu istimewa kami tu, dah lama tak jumpa, setahun sekali saja, meriah sungguh kalau datang tetamu tu!!!”
Itulah sikap kita dengan Ramadhan yang sedang menjadi tetamu kita sekarang. Kita sebaliknya nak halau Ramadhan keluar cepat-cepat. Nak suruh pergi cepat-cepat. Seolah-olah menghalau Ramadhan pergi. Dahsyatnya tak beradab dan kurang ajarnya kita. Orang bertaqwa itu rasa bersalah nak bincang soal berhari raya di bulan Ramadhan. Mereka rasa tak layak pun nak bersuka ria sedangkan Ramadhan tidak dihayati sesungguh hati!!
Ramadhan adalah hadiah dari Allah untuk kita. Ramadhan datang sebagai tetamu agung lagi terhormat. Ramadhan tidak datang melainkan Allah kirimkan bersamanya dulang-dulang anugerah yang sangat bercahaya. Ada cahaya lailatul qadr, cahaya keampunan, cahaya ketaqwaan, cahaya doa dimakbulkan, cahaya kasih sayang Allah, cahaya taubat diterima, pahala digandakan, amalan diterima dan segala bagai anugerah yang tak terhingga banyaknya. Dan cahaya Allah itu tak akan masuk ke hati orang-orang yang berbuat maksiat dan kemungkaran samada yang lahir atau yang batin. Berwaspadalah dengan dosa kerana ianya menghalang kita daripada mendapat rasa kebesaran Ramadhan. Bertaubatlah dan tagihlah keampunanNya kerana semua nilaian kebaikan di Ramadhan adalah berganda-ganda. Kita diminta berdoa sebanyak-banyaknya. Ini peluang mendapat segala yang kita minta, Ini peluang mendapat keampunan atas segala dosa yang kita lakukan selama ini. Ini peluang berganda rahmat dan keampunan Tuhan. Inilah yg sepatutnya kita rasa indahnya Ramadhan.
Kita ukurlah diri kita di sisi Allah dengan melihat bagaimana keadaan kita menghayati Ramadhan. Kita lihatlah diri kita yang masih belum berkasih sayang. Dalam keadaan solat yang fardhu masih lintang pukang, kita terus gagal nak berhalus dalam pergaulan. Bila solat gagal, maka yang lain turut gagal. Bila Ramadhan dan segala pakejnya kita tak hayati, maka kita tak dapat apa-apa dari Ramadhan yang sangat istimewa ini. Puasa kita hanya dapat lapar dahaga sahaja. Sedangkan nafsu kita suburkan dengan maksiat dan dosa yang masih kita lakukan. Maksiat mata, telinga dan mulut. Mendengar yang haram, bercakap yang berdosa, mengumpat, mengeji, menyakitkan hati orang, sangka buruk dengan orang, melihat pula perkara-perkara yang tak selayaknya kita lihat, yang menggelapkan hati, berkrisis, mengadu domba dan sebagainya. Semuanya adalah tanda jauhnya kita dari Allah yang sepatutnya kita rasa cemas dan bimbang.
Kita masih ada baki beberapa hari lagi di Ramadhan 1441H kali ini. Marilah kita muhasabah. Mari kita sama-sama mengambil peluang yang masih berbaki untuk menagih keberkatan Ramadhan. Bacalah sejarah para kekasih Allah yang sangat serius dgn Ramadhan. Mereka melayan Ramadhan dengan penuh hormat, penuh rasa bahagia, rasa indahnya Ramadhan. Mereka sangat takut kalau tak beradab dgn Ramadhan. Takut ‘terbatal’ Ramadhan. Justeru mereka takut hendak mengguris hati orang. Dgn hati pun tak ada sangka buruk dengan sesiapa pun. Sangat dijaga hati dan pandangan mata, telinga dll. Dosa dan maksiat sangat dihindari supaya tak menggelapkan hati dan membutakan hati, samada dosa lahir atau lebih-lebih lagi dosa batin.
Mereka sentiasa rasa hamba yang lemah yang memang tak mampu – maka mereka kuat pergantungan dgn Allah. Di bulan Ramadhan, mereka makin kuat bergantung dgn Allah. Bila solat, tiada yang diingat melainkan Allah. Selain dari Allah tak layak diingati. Bahkan di luar sembahyang pun, tak ada yg layak berada di hati mereka melainkan Allah. Segalanya Allah yang menjadi keutamaan mereka. Ramadhan adalah antara sebesar-besar anugerah Allah pada mereka.
Ramadhan kali ini istimewa dan luar biasa. Kita menyambut Ramadhan dalam keadaan dunia sedang diselubungi wabak COVID-19. Mungkin ianya berlaku hanya sekali ini di sepanjang umur dunia. KITA HANYA TARAWIH DI RUMAH MASING-MASING. Ramadhan di seluruh dunia berbeza dari Ramadhan sebelum ini. Ini Ramadhan yang sangat bersejarah. Apakah rahsianya, kita tidak tahu tetapi yang pasti ianya Ramadhan di akhir zaman. Adakah Ramadhan kali ini adalah peluang terakhir untuk kita?
terima kasih atas ingatan yg sngat besar ini..semoga sentiasa di sihat kn dn berada dalm redho Allah