Agong sudah minta Tun M tak letak jawatan, tetapi gagal
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan baginda sudah meminta Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak meletak jawatan Perdana Menteri pada Febuari lalu.
Menyorot kembali peristiwa pada 24 Februari itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, dalam pertemuan dengan Dr Mahathir pada jam 5 petang hari berkenaan, baginda cuba memujuk Perdana Menteri ketujuh itu agar mengubah keputusan berkenaan, tetapi gagal.
“Dalam pertemuan itu, beta telah meminta Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak meletak jawatan, namun beliau tetap dengan keputusannya. Beta dengan hati yang sedih terpaksa akur dan menghormati keputusan beliau.
“Oleh yang demikian, beta bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.