19 kali keluar masuk penjara, 10 kali menghuni Pusat Serenti, GISBH tetap terima seperti saudara sendiri
KAJANG: Dia pernah menjadi penagih tegar dengan 19 kali keluar dan masuk penjara serta 10 kali pernah bergelar penghuni di pusat pemulihan dadah.
Pengalaman pahit itu dilalui bekas banduan, Zainal Ahmad, 40, menyebabkannya sama sekali tidak pernah menyangka kehidupannya mampu berubah menjadi insan yang lebih baik.
Zainal berkata, dia mula terjebak dengan dadah pada usia seawal 13 tahun akibat terpengaruh dengan ajakan rakan sehingga menjerumuskannya ke dalam penjara buat kali pertama pada usia 17 tahun.
“Sepanjang 26 tahun saya terjerumus dengan dadah, saya sama sekali tidak pernah menjangkakan mampu berubah menjadi lebih baik kerana hidup saya terumbang-ambing disebabkan kerap kali keluar masuk penjara serta pusat pemulihan.
“Apabila saya hampir dibebaskan pada Ogos tahun lalu, saya ditawarkan oleh pegawai penjara untuk program penempatan pekerjaan dan terus bersetuju dengan tawaran itu,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis penyampaian sijil penghargaan kepada syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit dalam Program Penempatan Semula Banduan (PPSB) Penjara Kajang.
Zainal yang kini mempunyai syarikat pembekal barang mentah yang beroperasi di Kepong berkata, dia ditempatkan untuk bekerja dengan Global Ikhwan Holdings Sendirian Berhad (GISB) sebagai pembantu restoran di Petaling Jaya.
“Selepas empat hari bekerja dan disediakan tempat tinggal di tempat kerja, saya memaklumkan perkara itu (bekerja) kepada abang sulung yang tinggal di Kepong.
“Hasil bantuan pihak GISB, mereka membantu saya untuk membuka perniagaan sendiri yang membekalkan bahan mentah kepada kedai runcit dan restoran sekitar Petaling Jaya dan Kepong.
Malah, saya turut dibantu abang sulung yang membantu menguruskan perniagaan itu sejak ia mula beroperasi pada Oktober tahun lalu,” katanya.
Katanya, dia amat bersyukur apabila kehidupannya kini sudah bebas sepenuhnya daripada dadah selain perubahan ketara hidup ke arah lebih baik.
“Sebelum ini, saya akui agak sukar untuk berubah menyebabkan saya kerap kembali menjadi penagih. Namun, siapa sangka saya boleh bangkit semula menjadi insan lebih baik.
“Lebih membanggakan adalah kehadiran saya dalam masyarakat diterima apabila tiada tanggapan sinis diberikan rakan sekerja, majikan mahupun pelanggan,” katanya.
Sementara itu, abang sulung Zainal, Zulkifli Ahmad, 59, dari Selayang, berkata, perubahan adik bongsunya itu amat membanggakan kerana arwah ibu bapa mereka mahu dia berubah.
“Kami sekeluarga sentiasa menerima dia walaupun banyak kali dia terjebak dengan masalah dadah. Malah, ibu bapa saya tidak pernah putus asa untuk menyokongnya supaya berubah.
“Sebelum ibu bapa kami meninggal dunia, mereka ada memberi saya amanah supaya memastikan adik berubah menjadi insan lebih baik dan impian itu kini sudah tercapai,” katanya ketika ditemui di tempat kerja Zainal di Petaling Jaya.
Zulkifli berkata, antara perubahan ketara yang dilihat pada adiknya itu adalah rutinnya menunaikan solat lima waktu.
“Jika dulu, hidupnya hanya bergelumang dengan dadah sepanjang masa. Namun kini, dia hanya fokus kepada pekerjaan, perniagaan serta amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Melihat kepada perubahan itu, saya amat berbangga dengannya dan sanggup berhenti kerja bagi membantunya menguruskan perniagaan supaya dia terus bermotivasi untuk mengekalkan kehidupan lebih baik ini,” katanya.
Bagi majikan Zainal pula, Jalil Mat Jedin, 54, yang juga penyelia restoran, berkata, pihaknya menganggapnya sebagai ahli keluarga sendiri.
“Zainal seorang yang cepat belajar menyebabkan saya yakin dia mampu berjaya dalam perniagaannya,” katanya.
AM: Di ketika orang politik sibuk dengan kerusi, kuasa, siapa PM, pilihan raya; GISBH lebih selesa bertani, menternak, berniaga, berkhidmat kepada masyarakat, membantu berbagai golongan termasuk banduan dan penagih dadah.