BN pertahan DUN Chini
PEKAN: Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini apabila calonnya, Mohd Sharim Md Zain memperoleh kemenangan dengan majoriti 12,650 undi.Beliau menewaskan dua calon Bebas, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli dalam pertandingan tiga penjuru Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.
Pengumuman rasmi dibuat Pegawai Pengurus PRK DUN Chini, Datuk Zaliza Zulkipli di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan sebentar tadi.Mohd Sharim mendapat 13,872 undi, menewaskan Tengku Zainul yang mendapat 1,222 undi dan Mohd Shukri yang memperolehi 137 undi.
PRK DUN Chini adalah PRK ke-11 diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
AM: Pilihanraya adalah cara untuk memilih pemimpin. Cara atau jalan. Ia bukan matlamat. Matlamat di sini adalah melantik pemimpin. Pemimpin semata-mata pula bukanlah satu matlamat dalam hidup bermasyarakat. Matlamat sebenarnya bagaimana suatu masyarakat itu nak hidup aman, damai, adil dan saksama. Masing-masing mendapat kebahagiaan hidup kerana keadilan pemimpin. Dalam Islam, matlamat sebenar tercapai bila pemimpin berjaya membawa rakyatnya mendapat keredaan Allah Taala. Selamat dunia akhirat.
Oleh itu bila matlamat telah tercapai sepatutnya hentikan perebutan. Kalau dengan pimpinan kerajaan yang ada, kelihatan majoriti rakyat setuju kerana nampak kesungguhan dalam membantu rakyat ketika satu dunia diserang wabak Covid-19, teruskan je la. Tak payah pening-peningkan rakyat dengan perebutan yang tidak berkesudahan. Hampir 14 ribu menyokong kali ini sepatutnya dah memahamkan para ahli politik agar hentikan segera perbalahan. Kelak orang dah tak percaya dengan orang politik dan sistemnya kerana asyik bergaduh tak habis-habis. Apa pendapat korang?