AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

Pentingnya Merapatkan Saf Sembahyang

Kongsikan kepada yang lain
Share


Hari ini banyak berlaku perpecahan di tengah masyarakat dari sekecil-kecil institusi iaitu kekeluargaan hingga ke peringkat negara dan antarabangsa. Tidak ada sesiapa yang dapat menafikan keinginan hati kecil manusia untuk melihat semua orang hidup rukun damai, aman bahagia tetapi tak kunjung tiba.

Bagi umat Islam, kita sangat yakin asas kesatuan sesama umat Islam bermula dari hubungan dengan Allah, Pencipta manusia. Allahlah sumber dan punca kasih sayang sesama manusia. Mereka yang sama-sama cinta dan takutkan Allah, secara automatik akan berkasih sayang.

Secara lahirnya ia mesti bermula dari sembahyang berjemaah. Sembahyang jemaah yang dijaga seluruh disiplinnya lahir dan roh pasti akan mengikat hati-hati pendirinya untuk berkasih sayang.

Antara disiplin lahir yang sangat perlu dijaga ialah lurus dan rapatnya saf. Sebab itu para sahabat, tabien dan salafus soleh sangat menjaga lurus dan rapatnya saf. Pernah berlaku dalam satu peperangan yang berlarutan di antara tentera Islam dan kafir tidak nampak tanda-tanda kemenangan bagi pihak tentera Islam. Apabila diadukan kepada khalifah maka perkara pertama yang dikoreksi ialah bab sembahyang khasnya lurus dan rapatnya saf serta penggunaan kayu sugi. Setelah diambil serius dua perkara ini, Allah anugerahkan kemenangan kepada tentera Islam. Lihatlah pentingnya menjaga saf sembahyang.

Kalaulah begitu pentingnya menjaga saf, apakah hukum merapatkan saf ketika sembahyang berjemaah?

Para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum merapatkan saf dalam solat berjemaah:

  1. Ada yang mengatakannya sunat.
  2. Ada pula mengatakannya wajib.
  3. Ada yang mengatakan batal sembahyang dengan saf yang tidak rapat.

Umum para ulama mengatakan merapatkan saf adalah sunat, bukan wajib. Inilah pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Syafi’I dan Imam Malik. (‘Umdatul Qari, 8/455)

Bahkan Imam An Nawawi mengatakan para ulama telah ijma’ bahawa ianya sunat sepertimana kata-katanya dalam kitab Al-Minhaj:

‎وَقَدْ أَجْمَعَ الْعُلَمَاء عَلَى اِسْتِحْبَاب تَعْدِيل الصُّفُوف وَالتَّرَاصّ فِيهَا

“Ulama telah ijma’ (sepakat) atas istihbab (sunat)nya meluruskan saf dan merapatkan saf.” (Al Minhaj Syarh Shahih Muslim, 2/384. Mauqi’ RuhiIslam)

Apa yang dikatakan Imam An Nawawi ini, dipersetujui oleh Imam Ibnu Batthol dengan kata-katanya:

‎تسوية الصفوف من سنة الصلاة عند العلماء

“Meluruskan saf merupakan sunat sembahyang menurut para ulama.” (Imam Ibnu Bathol, Syarh Shahih Al Bukhari, 2/344)

Alasannya, menurut mereka meluruskan saf adalah penyempurna dan pembagus sembahyang sebagaimana diterangkan dalam riwayat yang sahih. Hal ini direkod oleh Imam Al ‘Aini, dari Ibnu Batthol, sebagai berikut:

‎لأن حسن الشيء زيادة على تمامه وأورد عليه رواية من تمام الصلاة

“Kerana, sesungguhnya membaguskan sesuatu hanyalah tambahan atas kesempurnaannya dan hal itu telah ditegaskan dalam riwayat tentang kesempurnaan sembahyang.” (‘Umdatul Qari, 8/462)

Riwayat yang dimaksudkan itu ialah:

‎أقيموا الصف في الصلاة. فإن إقامة الصف من حسن الصلاة

“Aqimush saf (tegakkan/luruskan saf) kerana tegaknya saf merupakan diantara pembagusnya sembahyang.” (HR Imam Bukhari No. 689. Imam Muslim No. 435)

Imam An Nawawi mengatakan, maksud aqimush saf ialah meluruskan, menyeimbangkan, dan merapatkan saf. (Al Minhaj Syarh Shahih Muslim, 2/177. Maktabah Misykah)

Berkata Al Qadhi ‘Iyadh tentang hadis ini:

‎دليل على أن تعديل الصفوف غير واجب، وأنه سنة مستحبة .

“Hadis ini adalah dalil bahawa meluruskan saf tidak wajib, dia adalah sunat yang disukai.” (Al Qadhi ‘Iyadh, Al Ikmal, 2/193. Maktabah Misykah)

Adapun antara ulama yang mengatakannya wajib ialah Imam Bukhari dan Imam Ibnu Hajar. Imam Bukhari dalam kitab Shahihnya telah menyusun bab Bab Ithmi Man Lam Yutimma As Sufuf (berdosa bagi orang yang tidak menyempurnakan sof).

Imam Bukhari mengatakan hadis ini menunjukkan bahawa merapatkan saf adalah wajib, sebab hanya perbuatan wajib yang jika ditinggalkan akan menyebabkan dosa.

Ia juga berdasarkan hadis-hadis tentang meluruskan dan merapatkan saf menggunakan bentuk kalimat perintah (fi’il amr): sawwuu… (luruskanlah!). Dalam kaedah Feqah disebutkan:

‎الأصل في الأمر الوجوب إلا إذا دلت قرينة على غيره

“Hukum asal dari perintah (fi’il amr) adalah wajib, kecuali jika adanya petunjuk yang membawa kepada selain wajib.” (Imam Al ‘Aini, ‘Umdah Al Qari, 8/463. Maktabah Misykah)

‎عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلَاةِ

Dari Saiyidina Anas bin Malik, dari Rasulullah bersabda : “Lurus rapatkan saf kalian, kerana lurus rapatnya saf adalah sebahagian dari kesempurnaan tegaknya sembahyang.” (HR. Bukhari No. 690. Muslim No. 433)

Dari Saiyidina Nu’man bin Basyir, bahwa Rasulullah SAW bersabda:

‎لَتُسَوُّنَّ صُفُوفكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّه بَيْن وُجُوهكُم

“Benar-benarlah kalian dalam meluruskan saf, atau (jika tidak) niscaya Allah akan membuat perselisihan di antara wajah-wajah kalian.” (HR. Muslim No. 436)

Hadis riwayat Imam Muslim ini menunjukkan ancaman keras bagi mereka yang meninggalkannya, Allah akan siksa mereka dengan adanya perselisihan di antara wajah-wajah mereka. Maksudnya kata Imam An Nawawi adalah permusuhan, kebencian dan perselisihan hati. (Al Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/178. Mawqi’ Ruh Al Islam)

Imam Ibnu Hazm pula menyatakan batal sembahyang orang yang tidak merapatkan saf. Namun, Imam Ibnu Hajar menganggapnya keterlaluan:

‎وأفرط ابن حزم فجزم بالبطلان

“Ibnu Hazm telah melampui batas ketika menegaskan batalnya (sembahyang).”(Fathul Bari, 2/210. Darul Fikr)

Imam Al Karmani mentarjih dengan mengatakan:

‎الصواب أن يقول فلتكن التسوية واجبة بمقتضى الأمر ولكنها ليست من واجبات الصلاة بحيث أنه إذا تركها فسدت صلاته

“Yang benar adalah yang mengatakan bahwa meluruskan saf adalah Wajib sebagai kesan dari perintah (Fi’il Amr) yang ada, tetapi ia bukan termasuk kewajiban-kewajiban sembahyang yang jika ditinggalkan akan merosakkan sembahyang.” (‘Umdatul Qari, 8/455)

Yang pastinya merapatkan dan meluruskan saf adalah tradisi sembahyang pada zaman terbaik Islam hinggakan Saiyidina Umar pernah memukul kaki Abu Usman Al Hindi untuk merapatkan saf. Begitu pula Saiyidina Bilal bin Rabbah telah memukul bahu para sahabat yang tidak rapat. Ini diceritakan oleh Al Hafiz Ibnu Hajar dalam kitabnya (Fathul Bari, 2/210), dan Imam Al ‘Aini (‘Umdatul Qari, 8/463. Maktabah Misykah)


Bagaimana caranya?

‎فَرَأَيْتُ الرَّجُلَ يَلْزَقُ مَنْكِبَهُ بِمَنْكِبِ صَاحِبِهِ وَرُكْبَتَهُ بِرُكْبَةِ صَاحِبِهِ وَكَعْبَهُ بِكَعْبِهِ

“Maka, aku melihat ada seseorang yang merapatkan bahunya dengan bahu kawannya, lututnya dengan lutut kawannya, dan bukulalinya dengan bukulali kawannya.” Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud.

Paling kurang pun untuk mendapatkan erti rapatkan saf, hendaklah bersentuhan kaki (hujung kaki) setiap orang dengan jemaah yang berada di kiri dan kanannya dan merapatkan bahunya. Ianya berlaku sepanjang berdiri, rukuk dan iktidal. Ertinya, setiap kali bangun dari sujud atau tahiyyat awal, untuk berdiri, hendaklah setiap orang memerhatikan kedudukan kakinya dan memastikan ianya dirapatkan kembali dengan jemaah di sebelahnya. Sebab itu digambarkan dalam kitab-kitab tentang saf sembahyang para sahabat nabi SAW:

صفوفهم في الصلاة كصفوفهم في القنال

Saf-saf mereka ketika sembahyang seperti saf-saf mereka dalam peperangan.

Malangnya di akhir zaman ini, rata-rata saf sembahyang tidak rapat kerana kejahilan. Ramai yang tidak tahu pentingnya merapatkan saf ketika sembahyang. Lebih malang dari itu, ada yang menyimpan perasaan ego, tidak mahu merapatkan kaki dengan orang lain walaupun tahu ilmunya. Setiap kali jirannya merapatkan hujung jari kelingkingnya ke hujung jarinya, ia akan berganjak menjauhkan diri. Usaha untuk mendekatkan hati sesama umat Islam dengan merapatkan kaki ketika berhadapan dengan Allah disia-siakan. Walhal kalau sunnah ini dipertahankan, ia akan menguatkan ikatan ukhuwah dan kasih sayang sesama kita. Kalaulah untuk merapatkan anggota lahir pun sukar dilakukan betapalah menyatukan fikiran dan jiwa raga. Kalaulah di dalam majlis rasmi depan Allah pun tidak ingin mendekatkan diri adakah di luar sembahyang boleh bersatu hati?

Oleh itu disarankan agar kita mempertahankan tradisi yang mulia ini agar sembahyang jemaah yang didirikan benar-benar memberi kekuatan kepada umat Islam.

Bilik bawah tepi kolam
Vila GISBH Pusat
5.59pm, Sep 5, 2020

P/s Pos ini berkaitan solat jemaah dalam suasana biasa, bukan di waktu Covid-19. Atau di waktu Covid-19 tetapi didirikan sesama ahli keluarga di rumah.

  • https://www anjangmuor com/2020/09/05/pentingnya-merapatkan-saf-sembahyang/ (25)

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *