AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

DUNIA INI UNTUK SIAPA?

Kongsikan kepada yang lain
Share


Salam ceria.
Kita semua inginkan negara yang aman makmur. Rakyatnya hidup bahagia. Semua orang ada pekerjaan. Tiada yang menganggur. Para pemimpin di semua peringkat bersikap adil dan amat bertanggung jawab. Rakyatnya taat dan rajin. Orang-orang tua menjadi contoh teladan dan sangat dihormati. Kanak-kanak di sayangi. Pemuda-pemudanya aktif dan kreatif bekerja. Para pemudi pemalu tetapi tetap menjadi pembantu yang setia. Orang kaya dalam masyarakat pemurah sikapnya. Yang miskin pula sabar dan redha dengan kemiskinan tetapi tetap gigih berusaha.

Kita berada di zaman ramai para pemimpin tidak hiraukan nasib rakyatnya. Ribuan orang tidak dapat pekerjaan. Ribuan yang lain pula dibuang kerja. Pramugara dah jadi peniaga bomboloni, sushi dan dimsum. Pilot di udara pun kena buang kerja, betapa lagi pekerja-pekerja di darat. Sektor perlancongan memang ‘drop’ teruk.

Sekarang orang nak berbelanja pun berkira-kira. Sebab kewangan semakin menipis. Ramai yang mempunyai 2 pekerjaan untuk menampung perbelanjaan keluarga. Ketika menempah bas 2 tingkat untuk GISBH, kami melihat banyak bas-bas yang telah ditempah sebelum ini oleh syarikat-syarikat pengangkutan batalkan tempahan kerana bank tak ‘approve’ pinjaman.

Lebih-lebih lagi bila jangkitan covid-19 meningkat secara mendadak. Ramai pihak menyalahkan pemimpin politik dalam hal ini. Pada mereka, yang melompat parti sehingga menyebabkan kerajaan Negeri jatuh ialah pemimpin politik.

Yang mengadakan pilihanraya sewaktu musim Covid-19 pun pemimpin politik.

Yang pergi berkempen dalam keadaan risiko penyebaran Covid-19 pun pemimpin politik.

Yang tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari Sabah pun ialah pemimpin politik.

Yang menyebabkan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 sampai 317 kes semalam pun adalah kebanyakkannya berpunca dari keputusan tidak tepat pemimpin politik .

Tetapi jika berlaku semula PKP yang ketat atau dilaksanakan PKPD maka yang susah dan sengsara ialah rakyat.

Yang dibuang kerja, yang tidak cukup makan minum dan dibebani hutang ialah rakyat.

Pemimpin politik? Mereka gaji jalan, elaun puluh ribu. Malah ada yang terlibat dengan rasuah dan punyai simpanan duit berjuta.

Sangat kurang pemimpin politik ini yang betul-betul turun padang menyelesaikan masalah rakyat. Masalah makan, minum, belanja asas, sewa rumah pun mereka tak fikirkan lebih-lebih lagi soal ketakwaan mereka (bagi rakyat yang beragama Islam). Majoritinya hanya memikirkan survival politik masing-masing. Sebab di situ ada beribu peluang keduniaan.

Jika ada di hati mereka belas kasihan mereka terhadap rakyat lebih-lebih lagi para Frontliners nescaya mereka akan membuat perkiraan yang mendalam mengenai nasib rakyat sebelum membuat apa-apa keputusan khasnya semasa penyebaran covid-19 ini.

Ketika rakyat negara ini berhempas pulas bertahan untuk mematuhi PKP dengan memastikan penjarakkan sosial, pemakaian pelitup muka, kerap membasuh tangan dll, terpaksa mengeluarkan wang simpanan, terpaksa menggadaikan harta benda, sanggup dibuang kerja, terpaksa menjadi frontliner demi menghadapi wabak covid19 ini, tetapi para pemimpin politik sibuk merebut jawatan dan menubuhkan parti-parti baru menambah pecah belah umat Melayu.


Belum sampaikah masanya untuk Allah datangkan mereka yang benar-benar layak menjadi pemimpin?

Sebenarnya Allah hendak serahkan kuasa kepimpinan dunia ini kepada orang yang jujur, amanah dan bertanggung jawab. Bukan Allah nak beri mereka satu negeri atau satu negara tetapi dunia ini. Siapakah mereka? Merekalah orang-orang yang baik-baik. Orang-orang yang soleh.

Allah berfirman:

وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِنْ بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh”.
Al Anbiya’: 105

Nanti siapa yang paling jujur, pada merekalah Allah akan serahkan dunia. Siapa yang paling amanah, kuasa akan diberikan pada mereka. Percayalah, Allah ada cara untuk lakukan itu semua. Supaya bila ada kuasa, mereka akan sangat bertanggung jawab menggunakannya demi agama, bangsa dan negara.

Mereka akan didik anak bangsa ini ke arah takutkan Allah. Untuk dapatkan sifat takwa. Diberi latihan kemahiran hidup di semua bidang agar dapat memberi khidmat sebanyak-banyaknya kepada masyarakat.

Mereka akan usahakan projek pertanian dan penternakan berskala besar yang berasaskan kepada membesarkan Allah atau dalam lain perkataan untuk membangunkan Fardhu Kifayah yang Allah perintahkan. Hasil dari itu memberi peluang pekerjaan yang sangat banyak kepada rakyat dan kebahagiaan kepada mereka kerana faham bahawa usaha mereka mempunyai nilai takwa di sisi Allah.

Mereka akan bangunkan kilang-kilang memproses makanan secara Islam demi membekalkan makanan yang bukan sahaja halal malah sangat berkat seperti membangunkan kilang-kilang ‘full automatic’ untuk mengeluarkan mi kuning, bihun, kuetiaw, sos cili, sos tomato, sos tiram, mi segera, air berkarbonat, air minuman, roti, biskut, ubat gigi, kilang coklat dan lain-lain. Semuanya demi melahirkan umat Islam yang bersih hatinya kerana hati itu ditempa dari apa yang kita makan.

Mereka akan bangunkan sebanyak-banyak pasaraya, bakeri, restoran, butik, kedai dobi dan bermacam-macam premis perniagaan demi memberi khidmat kepada umat Islam. Amat malang umat Islam yang telah merdeka lebih setengah abad tapi merempat di bumi sendiri. Semua keperluan disediakan oleh orang lain. Bila-bila masa kemerdekaan itu boleh dirampas.

Mereka akan membina empayar perniagaan ayam, daging dan ikan yang selama ini dimonopoli oleh bukan Islam yang akhirnya nanti bukan Islam pun akan tunduk menghormati mereka lalu lunak hati mereka untuk memeluk agama ini. Selama ini, yang kaya bertambah kaya kekal kufur dengan Allah kerana umat Islam hidup merempat makan gaji malah bergantung hidup dengan tauke bukan Islam. Mereka hilang kepercayaan orang Islam mampu menaungi. ‘Mereka pun aku yang beri makan!’

Semuanya akan berlaku bila telah ada hati yang benar-benar jujur dan amanah dengan Allah dan rasulNya. Nanti, Allah sendiri akan serahkan dunia pada mereka. Mereka adalah orang mukmin yang sebenarnya. Memang orang mukmin diberi jaminan kejayaan oleh Allah.

Firman Allah:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman.
Al-Mukminun: 1

Marilah kita berdoa bersungguh-sungguh agar lahirnya golongan orang mukmin yang begini supaya Islam nampak wibawa dan dimenangkan dengan sebab mereka. Agar seluruh dunia aman makmur dan mendapat keampunan Allah.

Bilik 2, Homestay PPI Enstek
11.01 PM, Okt 4, 2020

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *