AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

GISBH NAK MENUNJUK-NUNJUK?!!

Kongsikan kepada yang lain
Share

Bas 2 tingkat baru GISBH ini masih sedang giat disiapkan.  Design bas ini, khasnya bahagian dalaman adalah dari  idea YBhg Tuan Pengarah Eksekutif GISBH sendiri, Tuan Nasiruddin Mohd Ali.

Semalam Tuan Nasir membuat lawatan untuk melihat sendiri kemajuan pembinaannya. Setiap bahagian beliau tengok sendiri dari steering, engin, body dan lain-lain untuk memastikan semuanya memuaskan hati.

Seperti bot mewah Ikhwan, bas ini juga berfungsi sebagai kenderaan untuk membela agama ini degan membawa mereka yang ada cita-cita Islam melawat ke pusat-pusat perniagaan GISBH juga ke pusat latihan pertanian dan penternakan atau ke mana-mana destinasi yang sesuai di Malaysia, Thailand dan Singapura. Juga kepada sesiapa yang hatinya sedang dijinak-jinakkan dengan agama yang mulia ini.

Sila klik

Yang paling penting ialah di dalamnya boleh diadakan siri perbincangan perniagaan, kursus-kursus yang sesuai atau apa-apa meeting di antara pelbagai pihak demi menjadikan Islam sebagai cara hidup di Malaysia yang tercinta ini.

Ada orang kata, GISBH ni nak menunjuk-nunjuk bila tayangkan bas dua tingkat, coaster, kenderaan Alphard, Vellfire, Lexus, Porsche, Audi, Mercedes, ambulan, food truck, bot laju, bot mewah, jet-ski dll.

Sebenarnya ada perbezaan di antara ‘nak menunjuk-nunjuk’ dan ‘nak tunjukkan, nak tontonkan, nak bagi orang nampak’.

GISBH bawa deretan kenderaan ini memang nak bagi orang nampak. Memang nak tunjukkan pada orang ramai. Khasnya umat Islam. Islam ni kena diperlihatkan gagah, wibawa, terkini. Membela dan menaungi. Sebab memang Allah yang suruh buat kebaikan secara terang-terangan atau sembunyi. 

Contohnya amalan sedekah, Allah sebut dalam Al Quran:

الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara tersembunyi atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

Al-Baqarah: 274

Allah sendiri yang memuji orang yang membuat kebaikan samada cara tersembunyi atau terbuka. Ertinya tunjukkan pada orang ramai itu suatu kebaikan. 

Allah juga berfirman:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan;

At-Taubah: 105

Dalam ayat ini, Allah perintahkan beramallah, berbuatlah, lakukan, adakan sesuatu… Nanti Allah, Rasul dan orang-orang Mukmin akan melihat apa yang kamu kerjakan. Jelas di sini, berbuat nanti akan dapat dilihat. Allah tak suruh cakap sahaja, teori sahaja tapi arahkan berbuat dan beramal. Nanti ianya dapat dilihat. Dapat ditunjuk.

Sebab itulah GISBH berbuat kemudian tunjuk-tunjukkan. Kenapa diperlihatkan?

Sabda Nabi SAW:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَلَهُ أَجْرُهَا، وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ، وَمَنْسَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Barangsiapa yang membuat sunnah hasanah (perbuatan, amalan yang baik) dalam Islam maka dia akan memperoleh pahala dan pahala orang yang mengikutinya, dengan tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Dan barangsiapa yang membuat sunnah sayyi’ah (perbuatan/amalan yang jahat) dalam Islam maka ia akan mendapatkan dosa dan dosa orang yang mengikutinya, dengan tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun”

-Imam Muslim

Tunjukkan sesuatu itu agar ditiru. Kalau GISBH tak buat, siapa nak buat? Sedangkan ianya Fardhu Kifayah. Sebab itu dahulu Al-Arqam buat mi kuning, kicap, sos, taucu, tauhu dll agar umat Islam tiru. Bila dah ramai yang usahakan, Alhamdulillah agak terjamin keperluan makanan halal orang-orang Islam.

Begitu juga Bas 2 tingkat ini, kita buat untuk pakai sendiri dan tunjukkan yang orang Islam mampu buat seperti ini. Designkan dalamannya sesuai untuk mesyuarat. Kita pelawa mana-mana pihak yang ingat berbincang dengan GISBH sama-sama gunakan bas ini. Dapatkan pengalaman baru ber’meeting’ sambil bergerak dan melawat di pusat-pusat perniagaan GISBH. Selesai meeting, kita terus boleh berbuat secara praktikal. Bukan hanya cakap semata-mata tanpa berbuat. Allah sangat marah dengan orang yang hanya berkata-kata tidak mengkota. 

Firman Allah yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan

Surah Al-Soff: 2-3

Lebih-lebih lagilah hanya membuat komen negatif atau kecaman dan sindiran. Sanggupkah kita berhadapan dengan kemurkaan Allah hanya kerana tak mampu mengawal mulut kita? 

Sabda Nabi SAW:

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – « مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْلِيَصْمُتْ » .

Saiyidina Abu Hurairah RA berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia mengatakan yang baik atau hendaklah ia diam.” Riwayat Imam Bukhari.

Nak menunjuk-nunjuk untuk berbangga agar dipuji itu memang mazmumah yang dilarang oleh agama tetapi nak tunjukkan agar menjadi contoh kepada orang lain, ia sifat yang dipuji. GISBH adakan semua ini agar menjadi contoh kepada masyarakat supaya orang Islam tiru dan buat seperti itu atau lebih baik lagi.

Mari kita berusaha menjadi orang-orang yang bertakwa dan buktikan bahawa Allah adalah pembela bagi mereka yang bertakwa. Di antara sifat mereka itu, saling bertolong bantu di dalam perbuatan kebaikan dan ketakwaan bukan bekerjasama dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Kalau nak viral, viralkan berita kebaikan dan ketakwaan bukan sebaliknya.

Jumpa lagi.

Bilik 2, Ikhwan Inn PPI BCH

4.37 PM, Okt 7, 2020

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *