Covid-19: Kabinet setuju ‘darurat’
Kabinet bersetuju dengan pelaksanaan “darurat” bagi menangani penularan Covid-19.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Putrajaya.
“Tunggu pengumuman,” kata seorang menteri yang enggan namanya didedahkan ketika dihubungi
Langkah itu diambil susulan ketidaktentuan berterusan dalam negara dan ketika Muhyiddin berdepan desakan daripada luar dan dalam.
Sementara itu, memetik sumber, The Malaysian Insight melaporkan perkataan “darurat” itu harus dipakejkan semula supaya tidak mencetuskan rasa panik di kalangan rakyat.
“Mereka tak akan panggil darurat, tetapi nama baru lain. Sesuatu yang berkaitan dengan Covid-19,” menurut sumber itu.
Malaysiakini difahamkan Muhyiddin dijangka mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan baginda. Bagaimanapun, perkara ini masih tidak dapat disahkan.
Sementara itu, PN BBC Portal melaporkan kerajaan akan mengumumkan “darurat kesihatan” dalam tempoh terdekat bagi lebih tumpuan kepada usaha menangani isu penularan Covid-19.
Memetik sumber, portal rasmi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) itu berkata Muhyiddin sudah mendapatkan pandangan polis, tentera, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Peguam Negara, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia bukan perintah berkurung dan mereka masih boleh keluar dari rumah untuk membeli barangan keperluan harian seperti biasa dengan syarat perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya.
Kredit: Malaysiakini.com
AM: Di bulan Maulidur Rasul ini, marilah kita gandakan doa kita agar Allah turunkan rahmatNya kepada seluruh negara ini, bermula dengan perbanyakkan istighfar dan taubat agar dosa-dosa kita diampunkan.
Percayalah, segala ujian yang berlaku ini, samada wabak Covid-19 atau caca merbanya politik negara sebenarnya kerana dosa-dosa kita.
Firman Allah:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)
Ar-Rum: 41
Hentikan pergaduhan, permusuhan, hina menghina, keji mengkeji, buruk memburuk, umpat mengumpat, kata mengata, bersangka buruk, fitnah memfitnah… Hiduplah berpandukan syariat Islam. Kata nak perjuangkan agama, bangsa dan negara.
Ikhwan Cafe, Krubong
6.25pm, Okt 23, 2020