AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

Tambahkan Produk Muslim di Pasaran!

Kongsikan kepada yang lain
Share


Salam ceria.

Sekitar awal 1980’an, tepatnya dari 1983-1985 anjang belajar di Sekolah Tinggi Muar. Sekolah beraliran Inggeris yang terpahat di bangunan asalnya didirikan pada tahun 1915. Tapi masa anjang masuk dah jadi aliran Melayu. 

Setiap hari pegi sekolah naik bas kampung. Kami panggil bas Syarikat sebab Syarikat Kerjasama kampung yang usahakan. Dari kampung Tengah Bakri ke Bas Stand Muar naik bas. Dari Bas Stand ke sekolah ‘menapak’. Kadang-kadang dengan Najib Fakeh Zaid. Balik ke Bas Stand selalu dengan Masnawi.

Petang-petang balik tu memang letih dan haus. Ketika itu di bas stand ada peniaga air tebu dan soya guna stall beroda tiga. Teringin juga air-air yang dijual dengan ketulan ais. Lebih-lebih lagi soya dicampur cincau. Tapi bila kenangkan yang jual tu apek-apek, anjang tak lalu nak beli. Ketika itu angin kesedaran telah lama bertiup.

Hari ini dah ramai pengusaha soya dan cincau Melayu Islam. Lebih-lebih lagi air tebu. Kalau produk berasaskan soya tu, di Muar ada Abang Seri, Kino dll. Di Kajang ada Hj Basir, Abg Murfi Rashid dll. Tapi soya yang anjang minum ni dari kilang GISBH, Wak Din yang buat. Dia buat tauhu juga.

Air Soya Ikhwan Muar. Wak Din buat.

Sebenarnya umat Islam boleh berjaya jika ada kesedaran, kesungguhan dan pimpinan. Kalau ada kesedaran sahaja tanpa kesungguhan tak jadi. Kalau dah sedar, ada kesungguhan tapi tak ada pimpinan, tak akan bertahan. Mungkin berjaya tapi digoda oleh dunia, terus hilang dari perjuangan. “Ya Allah! Jauhkan diri kami dari terpengaruh dengan hal-hal keduniaan yang boleh menjatuhkan dan merosakkan iman kami!”

Siapa yang ada kesedaran? Mereka yang belajar ilmu samada di kuliah-kuliah rasmi atau tak rasmi, juga melalui media yang menyentuh tentang tuntutan Fardhu Kifayah terhadap umat Islam khususnya bab makan minum kerana ia membentuk darah, daging dan hati manusia. Sabda Rasulullah SAW:

كل لحم نبت من حرام فالنار أولى به

Setiap daging yang tumbuh dari sesuatu yang haram, maka api neraka lebih utama untuk membakarnya.

Timbul kesedaran ada dua bentuk, yang pertama sedar untuk diri sendiri dan keluarga. Iaitu dia perlu mencari makanan yang benar-benar halal untuk dirinya dan keluarga. Lalu dia hanya memikirkan bagaimana hendak mendapatkan bekalan makanan halal untuk dirinya dan keluarga. Setakat itu sahaja.

Yang kedua ialah orang yang menyedari dirinya tak selamat jika terlibat dengan makanan yang haram dan syubhat. Bukan itu sahaja, dia merasakan, dalam masa yang sama, jika tidak diusahakan keperluan tersebut di tengah masyarakat, ia dikira berdosa kerana tidak membangunkan Fardhu Kifayah. Maka ia berpakat-pakat dan bekerjasama dengan mereka yang sama-sama cita-cita untuk membangunkan projek Fardhu Kifayah ini.

Di tahun 2020 ini kita perlukan mereka yang ada kesedaran tahap kedua ini. Allah uji kita dengan COVID-19 ini antaranya agar kita bersatu padu dan bekerjasama. GISBH amat mengalu-alukan produk-produk Muslim. Sudah sampai masanya umat Islam berpakat-pakat mengeluarkan produk-produk Muslim yang sangat diperlukan di pasaran. Takkan selamanya kita hanya ingin jadi pengguna semata-mata. Bila kita nak jadi pengusaha dan pengeluar?

Kita kena sama-sama mengajak umat Islam berusaha mengeluarkan produk masing-masing untuk memenuhi keperluan kita bersama. Itu sebenarnya yang paling utama.

Setakat ini GISBH hanya mampu mengeluarkan sendiri 500 produk sedangkan di Pasaraya Ikhwan Sg Buloh sahaja terdapat 16,000 item barang. Ya, GISBH hanya dapat sediakan 3.1% dari jumlah jenis barangan tersebut. 3.1% sahaja atau 500 item sahaja, sudah pasti terdapat terlalu banyak lagi kelompongan di situ.

Semua pembaca blog ini khasnya pelanggan pasa raya dan pasar mini Ikhwan, boleh kongsikan data apa produk yang diperlukan kerana semua pasar raya yang diusahakan atas nama Islam ini tanggung jawab kita bersama. Ia berkait dosa pahala. Ia berkait dunia akhirat kita. 

Semua kita, khasnya yang ada peranan di tengah masyarakat, bertanggung jawab mengajak lebih ramai kawan-kawan mengeluarkan produk-produk yang diperlukan. Apakah kita nak biarkan kempen #BMF kita sejuk atau sejuk beku. Nak #BMF kena ada produk dulu. 

Untuk pengetahuan bersama, selain GISBH ramai lagi rakan-rakan kita dari kalangan ahli perniagaan Islam yang punyai rangkaian masing-masing yang juga memerlukan produk Muslim. 

GISBH setakat ini sudah membuka 3 buah pasaraya dan 37 buah mart. Semua rangkaian ini memerlukan banyak produk lagi daripada hasil tangan orang-orang Islam. 

Kalaulah masing-masing ambil tanggung jawab bersama, Insyaaallah kita akan dapat  segera memenuhi rak dan gondola di pasar raya dan pasar mini kita dengan barangan hasil tangan umat Islam yang  halalan toyyiban dan bermutu serta kompetitif.

Antara produk yang simple tapi sangat tidak mencukupi dalam pasaran ialah produk sejuk beku seperti fish ball dan fish cake. Daripada hanya memberi pandangan atau menjadi pengguna tegar, setiap kita boleh juga ambil bahagian dalam memproduksi barangan halal yang berbagai ini.

Malangnya taugeh yang dikira sangat mudah mengushakannya pun orang kita tak buat. GISBH ada buat taugeh tapi hanya boleh  mengeluarkan sekitar 2 ton sehari. Tak mampu menampung permintaan yang terlalu tinggi.

Contoh lain ialah bekalan ayam di pasaran. Sebagai permulaan, GISBH memelihara ayam dan buat makanan ayam sendiri tapi masih tidak mencukupi. Poultry industry ini juga sangat dikuasai oleh kartel-kartel yang bukan Islam sedangkan

permintaannya sangat banyak dan yang lebih penting ia adalah Fardhu Kifayah. Allah akan persoalkan setiap kita yang mukallaf, mengapa ia tidak dibangunkan?

Poultry industry ini pula mesti dibuat dari A to Z untuk memecah monopoli dan memastikan ayam kita 100% halal kerana maklumat sama-sama kita perolehi, ada pengusaha bukan muslim yang tidak jujur kerana hanya mengikuti prosuder untuk mendapatkan sijil halal sebelum memperolehi sijil tersebut tetapi setelah memperolehinya, mereka langgar tata cara pemprosesan halal dengan sengaja. Malah ada yang memberi makan makanan yang jelas haram kepada ayam peliharaan mereka lalu dipasarkan produk mereka sebagai ayam halal. 

GISBH juga baru meneroka usaha di bidang nelayan untuk ‘terjun’ masuk sendiri menangkap ikan di laut dalam sebagai usaha memecahkan monopoli oleh kapitalis. Hari ini sebuah kapal nelayan GISBH bersama 2 bot pengiring mula merentas Laut Cina Selatan untuk kali pertama.

Hasil laut samada ikan, udang, ketam dan sotong lebih teruk dikuasai oleh orang bukan Islam. Mereka mempunyai kapal-kapal persisiran dan laut dalam juga menjadi peraih-peraih besar di daratan. Ikan yang masih di perut kapal telah menjadi milik mereka sebelum sampai ke jeti nelayan lagi. Tak hairanlah mereka mempunyai vila mewah dan rumah agam di bandar tak jauh dari jeti perikanan sedangkan rumah-rumah nelayan kekal usang lebih puluhan tahun.

Semoga Allah bantu usaha ini yang bukannya mudah se’simple’ lontaran komen di media sosial. Ia perlukan kesatuan hati, pengorbanan, komitmen, pimpinan yang berterusan dan yang paling utama pertolongan dari Allah Taala. Kalau umat Islam tidak buat sesuatu, tidak mustahil sedikit masa lagi semua makanan kita disiapkan oleh orang bukan Islam. 

Data tentang ketinggalannya pengusaha dan pengeluar Muslim berbanding bangsa lain di negara kita ini terlalu membimbangkan. Ia perlukan tindak balas segera daripada kita semua. Bukan sedikit di kalangan kita yang sebenarnya mempunyai simpanan peribadi yang sepatutnya dikorbankan demi menjayakan cita-cita ini. Mana ada kejayaan tanpa pengorbanan? Juga, mana ada kejayaan dengan hanya mengharapkan orang lain berbuat sedangkan kita berpeluk tubuh.

Itulah sedikit perkongsian untuk semua kita melihat, apakah yang boleh diusahakan bersama oleh umat Islam demi membela nasib kita di dunia dan di hadapan Tuhan kelak di akhirat. Ini adalah masa untuk kita semua bertindak dan berbuat. 

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan

Semoga Allah membantu kita semua.

Bilik atas Kafe Ikhwan Krubong, Melaka.

2.28pm, Nov 1, 2020


anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *