AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

Nelayan GISBH pergi memukat

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria. 

Sebelum wafatnya Rasulullah SAW, baginda telah melantik Saiyidina Usamah yang baru berusia 18 tahun untuk mengetuai pasukan tentera Islam ke daerah Syam sebagai membalas balik kekalahan tentera Islam dalam peperangan Muktah yang menyebabkan tiga orang jeneral tentera Islam syahid termasuk bapanya, Saiyidina Zaid bin Harithah. Allah takdirkan, Rasulullah SAW wafat ketika pasukan Islam baru bergerak lalu mereka kembali ke Madinah. 

Setelah dibai’ah Saiyidina Abu Bakar As Siddiq sebagai khalifah, beliau bertegas untuk terus menghantar pasukan tentera yang diketuai oleh Saiyidina Usamah yang masih muda sedangkan para sahabat-sahabat utama termasuk Saiyidina Umar, Saiyidina Abu Ubaidah dan lain-lain sebagai pengikut.

Demi memuliakan dan menyokong pemimpin muda yang dilantik oleh Rasulullah SAW, walaupun ada beberapa sahabat yang meminta ditukar dengan pemimpin lebih senior, Khalifah Saiyidina Abu Bakar sendiri mengiringi pasukan tentera tentera tersebut. Lebih dari itu, Saiyidina Abu Bakar berjalan kaki di sisi Saiyidina Usamah yang menunggang kuda.

Saiyidina Usamah berkata, “Wahai Khalifah Rasulullah! Silakan Tuan naik kendaraan. Biarlah saya turun dan berjalan kaki. “

Jawab Saiyidina Abu Bakar, “Demi Allah! jangan turun! Demi Allah! saya tidak mahu menunggang kuda! Biarlah kaki saya kotor, ketika menghantarmu berjuang fisabilillah! Saya kirimkan kamu, agamamu, kesetiaanmu, dan kesudahan perjuanganmu kepada Allah. Saya berwasiat kepadamu, laksanakan sebaik-baiknya segala perintah Rasulullah kepadamu!”

Bila kenang-kenangkan apa yang berlaku semalam, anjang teringat sejarah Saiyidina Abu Bakar menghantar Saiyidina Usamah dan tenteranya yang akhirnya terjadi keajaiban, tiada seorang pun di kalangan tenteranya terbunuh dalam perperangan itu dan membawa ghanimah yang sangat banyak.

Apa yang berlaku semalam?

Semalam YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali sebagai Pengerusi Eksekutif GISBH bukan sahaja menghantar rombongan nelayan-nelayan muda GISBH di jeti Tok Bali tetapi mengiringi mereka dengan bot kecil hingga ke Pulau Perhentian.

Sejak beberapa hari sebelum itu Tuan Nasir kata nak tengok mereka berlepas. Malah mengulang-ulang di pagi samalam. Kalau boleh, Tuan Nasir sebenarnya nak pergi sekali memukat. Bila dikatakan jam 1 nak gerak, Tuan Nasir dah bersiap awal di dalam bot laju GISBH: ‘Somunchu Baba’. Ketika itu awak-awak Thai pula banyak keluar. Tuan Nasir terus menunggu hinggalah Kapal Nelayan mula bergerak dengan laungan azan yang sangat sayu: Allahu Akbar Allahu Akbarrr…..

Kapal Nelayan bergerak perlahan bersama laungan azan dengan speaker tekong di atas kapal. Awak-awak muda membalas lambaian mereka yang menghantar di jeti. Ada Ibu Zura dan lain-lain. Ini perjuangan, perjuangan untuk kembalikan maruah umat Islam dalam menyediakan keperluan mereka sendiri. Membela para nelayan yang tergadai agama kerana mencari rezeki. Ini bukan soal mengata dan menghina tetapi memperkatakan realiti yang terjadi untuk di bela dan dibaiki.

Dari video dan gambar dron kelihatan perbezaan saiz yang sangat ketara antara kapal nelayan dengan bot yang kami naiki. Terasa kecil betul bot laju itu berbanding Kapal Nelayan. 

Setelah melepasi jambatan Tok Bali, Tuan Nasir minta terus memecut bot ke Pulau Perhentian kerana di sana kapal-kapal api berlabuh menunggu kapal induk. 

Tuan Adib berdiri di depan, di tingkap menghadap muncung bot. Tuan Khabab Pilot. Tuan Mad dan YBhg Tuan Nasir di seat belakang sebagai pengimbang. Anjang duduk di seat sebelah Pilot.

Sekejap je bot laju yang dibawa dalam kelajuan 15 ke 20 knot/jam itu meninggalkan kapal nelayan yang hanya berlayar dengan kelajuan 7kn/jam. Kata Khabab, tak boleh nak bawa lebih laju kerana hentakannya akan lebih kuat. Ketika air tenang dan penumpang 3 orang, bot laju ini boleh dipecut sehingga 32kn/jam. Tapi jet-ski pula boleh selamba je memotong bot laju. Barulah kita rasa, sehebat mana seseorang akan ada yang lebih hebat darinya.

Firman Allah:

وَفَوْقَ كُلِّ ذِي عِلْمٍ عَلِيمٌ 

dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui,

Yusuf: 76.

Sejam menempuh Laut China Selatan yang tidak terlalu bergelora, sampailah kami di perairan Pulau Perhentian. Dari kejauhan nampak keindahan pulau ini yang diliputi hutan hujan khatulistiwa di tengahnya dan kawasan berpenduduk di persisiran pantainya yang putih bersih. Terdapat bangunan sekolah dan masjid yang cantik. 

Pulau perhentian ini ada 2, Perhentian Besar dan Kecil. Kami pergi ke Pulau Perhentian kecil, melalui tepi Pulau Perhentian besar. Kelihatan chalet-chalet yang cantik mengunjur dari bukit ke pantai. Mujur dekat pulau Perhentian ada line Hp. Kami dapat mengesan lokasi kawan-kawan. Rupanya kedua-dua kapal api-api berlabuh di Teluk Kake. 

Setelah park bot di sebelah kapal api-api kami naik ke jeti melalui kapal tersebut. Kelihatan RPU Maratim lincah je meniti di tepi-tepi bot dan melintas antara dua bot. Mereka agak cekap dan confiden. Alhamdulillah. Dari kapal ke jeti tanpa melalui tangga agak mencabar. Akhirnya anjang dapat naik ke jeti dibantu oleh Tuan Fateh. 

Pak Ya yang memilih tempat ini kerana ada air telaga. Terdapat warung yang tidak beroperasi kerana musim tengkujuh, surau, tandas, telaga dll. Kami solat, makan tengahari dan berbual mesra dengan Pak Ya dan Pak Ghani. Di usia 66 tahun dan baru keluar dari hospital kerana serangan jantung, Pak Ya nekad keluar juga ke laut mencari rezeki. Pengalaman Pak Ya sangat berharga walaupun gigi Pak Ya banyak dah tiada.

Setelah minum dan melihat para RPU menikmati jamuan tengahari di tepi pantai, kami bergerak meninggalkan mereka. Walaupun di wajah En Wah dan En Man seperti terlukis kata-kata; “Pelawalah kami balik, ajaklah kami naik bot bersama!”, Tuan Nasir terus bergerak menitipkan doa untuk mereka. Ikutkan nak bersama tapi ramai sangat tak boleh. Kapasiti kapal nelayan dan kapal api-api ada hadnya.

Ramai tu; Tuan Mad yang masih gout di kaki dan Tuan Adib turun di sini. Orang-orang besar pun ada bersama iaitu Tuan Nik Fateh dan Tuan Qudamah. Zuhdi anak Abg Mie Dapoq pun ada.

Ketika kami bertolak balik, kapal nelayan tadi baru sampai berhampiran Pulau Perhentian. Kami hanya melambai dari kejauhan. Ya la, mereka belayar dengan kelajuan 7knot. 

1kn/h =1.85km/h. Kami teruskan perjalanan tanpa mengetahui apa ujian akan berlaku.

Allah takdirkan bot laju ini menghadapi masalah bila ada air masuk di filternya dan ia semput-semput. Terpaksalah berhenti di tengah laut yang sudah mula bergelombang untuk membersihkan filter. Tuan Khabab yang buat atas panduan Tuan Nasir. Berjalan sekejap, berhenti lagi. Wah, pengalaman baru, bot kecil di hayun gelombang laut. Bot pula mati. Rupanya minyak dah habis, lalu kami isi minyak dari tong yang tersedia. Dalam filter ada air lagi, kena cuci semula dan Alhamdulillah dapat teruskan perjalanan di kala ombak semakin besar.

Setelah sejam di atas bot yang dipandu laju oleh Tuan Nasir sendiri, menempuh gelombang yang agak besar, kami sampai di pintu air Teluk Bali. Ketika memecut, kadang-kadang percikan air dari hadapan menampar muka dan hp anjang. Boleh tahan juga keadaannya. 

Alhamdulillah kami selamat sampai, tambat bot dan menunggu Abid datang ambil. Malam dan pagi seterusnya tentulah menunggu penuh sabar, apakah misi kali ini berhasil membawa balik tangkapan yang banyak. 

Allah jadikan peristiwa Saiyidina Usamah mengetuai peperangan di zaman Saiyidina Abu Bakar, beliau pulang dengan harta ghanimah yang tersangat banyak tanpa ada seorang pun tentera Islam terbunuh. Apakah hasil tangkapan ikan kali ini sangat banyak…? Ya Allah, bantulah Islam dan umatnya.

اللهم انصر الإسلام والمسلمين….

Chalet 4, Gong Kulim

12.49 pm, Nov 12, 2020

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *