Cerita GISBH di UTUSAN MALAYSIA
UTUSAN MALAYSIA
ISNIN • 1 MAC 2021
‘Warung’ kita di Paris, London
Oleh THAQIB SHAKER
SEWAKTU menuntut di Turki beberapa tahun lalu, saya tertanya- tanya tentang sebuah syarikat dari Malaysia, GISBH atau Global Ikhwan Service and Business Holdings. Mana tidaknya, di negara-negara yang saya lawati pasti kelihatan restoran milik GISBH berdiri megah. Antaranya Istanbul, Turki dan London, England.
Restoran-restoran tersebut besar, bersih dan layanan krew sangat memuaskan dengan pakaian kemas dan rapi. Kewujudan restoran GISBH di seluruh dunia secara tidak langsung membuka peluang kepada warga asing untuk menikmati makanan popular kita seperti nasi lemak, teh tarik dan bihun goreng.
Saya sendiri beberapa kali mengunjungi restoran GISBH di Istanbul. Restorannya besar, penuh dengan pelanggan manakala lokasinya begitu strategik, hanya beberapa meter dari masjid bersejarah Turki iaitu Masjid Sultan Ahmad. Saya lihat restoran GISBH ini kadangkala berfungsi sebagai pusat komuniti rakyat Malaysia. Di situlah kita dapat bertemu ramai warga Malaysia yang menuntut, mengembara atau bekerja.
Sejak dari itu, saya mula mendekati pihak pengurusan GISBH bagi menimba ilmu perniagaan. Bagi yang ingin berurusan atau menjalin hubungan perniagaan dengan mereka, boleh sahaja berhubung dengan mana- mana pegawai perhubungan GISBH yang terdapat di setiap cawangan di dalam dan luar negara.
Menurut Pengarah Ekspo dan Pameran GISBH, Mokhtar Tajuddin, terdapat 117 buah restoran milik syarikat itu bertapak di seluruh dunia. Antaranya Nur Muhammad Restaurant, Nur Malaysia Restaurant, Ikhwan Cafe, GH Corner, Ikhwan Delights, Ikhwan Fried Chicken dan Ikhwan Coffee House.
Bagi anda yang sering mengembara ke luar negara, mungkin pernah singgah di restoran milik mereka yang ada di kota-kota besar iaitu Istanbul, London dan Manchester (England), Maintal (Jerman), Sarajevo (Bosnia-Herzegovina), Kaherah (Mesir), Paris (Perancis), Perth dan Sydney (Australia), Tashkent (Uzbekistan), Dubai (Emiriyah Arab Bersatu) serta Amman dan Irbid di Jordan.
Di negara-negara jiran kita pula seperti Singapura, Satun, Bangkok dan Chiangmai (Thailand), Jakarta, Bogor, Jogjakarta, Semarang, Wonosobo, Papua, Makassar, Pekan Baru, Padang, Medan, Pontianak, Bandung dan Acheh di Indonesia.
UKHUWAH
Saya percaya, ramai pembaca sudah pun tahu tentang GISBH tetapi mungkin sekadar dengar cakap orang atau tanpa pengkajian yang lebih menyeluruh. Biarlah saya bercerita tentang mereka dan menyelusur sejarah kejayaan dan mencontohi cara bekerja GISBH yang begitu sistematik dan teratur.
GISBH merupakan sebuah syarikat bumiputera Islam. Ia diasaskan oleh Ashaari Muhammad yang berobjektif membangunkan cara hidup Islam dalam seluruh aspek kehidupan mencakupi pendidikan, kebudayaan, ekonomi, penternakan, pertanian dan sebagainya.
Jelas Mokhtar, asas dalam membangunkan sistem kehidupan Islam adalah dengan menjadikan Allah SWT sebagai cinta agung dan pendorong dalam menjalankan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada umat manusia.
Kini GISBH diterajui Nasiruddin Mohd. Ali sebagai Pengerusi Eksekutif dibantu Datuk Lokman Hakim Pfordten selaku Ketua Pegawai Eksekutif.
GISBH membuktikan kekuatan ekonomi umat Islam mampu menguasai pasaran dunia dengan usaha dan amanah serta sokongan jitu daripada masyarakat setempat.
Mokhtar turut berkongsi rahsia kejayaan GISBH sebagai antara syarikat bumiputera Islam yang menempa nama di seluruh dunia.
“Kekuatan utama GISBH adalah iman, ukhuwah dan keselarasan. Ia mampu melahirkan satu usaha dan kerjasama kepada setiap individu.
“Dengan tiga asas kekuatan inilah kami bangunkan dan zahirkan Islam dalam kehidupan untuk menjadi model bagi masyarakat,” ujarnya.
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.
AM: Moga masyarakat akan terus memberi sokongan kepada usaha-usaha GISBH dalam menjadikan Islam sebagai cara hidup melalui aktiviti-aktiviti perniagaan. Beberapa hari lepas GISBH baru merasmikan sebuah Ikhwan Mart dengan keluasan 2 pintu di Alor Gajah. Ia adalah satu lagi projek Fatdhu Kifayah oleh GISBH kepada masyarakat Islam.
Rumah Tetamu GISBH Muar
9.11am, Mac 1, 2021
- https://www anjangmuor com/2021/03/01/cerita-gisbh-di-utusan-malaysia/ (47)
- pekan baru global ikhwan (1)
- pusat global ikhwan di sungai penchala (1)