AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

Kluster Ikhwan Sabak Arang

Kongsikan kepada yang lain
Share

KLUSTER IKHWAN SABAK ARANG

Salam ceria.
Kluster Sabak Arang telah menjadi realiti bila satu team di kalangan RPU dan golongan Abi-abi atau bapa-bapa dari zon YBhg Tuan Fadhil Yasin telah sampai ke tanah berkat Sabak Arang pada 6hb Mac 2021.

Kenapa anjang katakan berkat? Pada anjang, kalau bukan kerana keberkatan yang Allah beri, tak mungkin ia boleh bertahan begitu lama sedangkan kerjanya sangat lasak dan penuh cabaran. Kalau dahulu bukan sekadar, monyet, lotong, ular dan buaya ada di sekitar Sabak Arang ini, Pak Belang pun ada.

Pak Darus menceritakan, seorang pekerjanya yang menjaga api Sabak pada suatu malam terlihat seekor binatang seakan anjing yang besar. Apabila dia amati dalam kegelapan malam ia seakan-akan suatu mimpi ngeri kerana haiwan tersebut ‘confirm’ seekor harimau kerana dilihatnya mempunyai ekor yang panjang meleret ke bumi. Mujurlah harimau itu hanya masuk ke kawasan sabak dan memerhatikan api yang menyala. Kalau ia menoleh ke arah pangkin yang ada, tentu dia akan melihat penjaga api tersebut dari jarak tak sampai 3 meter. Sekali lompat sahaja, sudah cukup untuk menyerang penjaga api itu. Bau kuat dari wap kayu bakau dan kayu yang dibakar itu mungkin juga membantu menghilangkan bau pekerja yang bernasib baik itu.

Membakar kayu di pintu sabak arang selama 22 hari tanpa boleh terpadam walau sebentar, setelah itu kena tunggu ianya sejuk perlahan-lahan selama 10 hari pula adalah satu tugas yang sangat mencabar. Tuan Nasir pernah lakukan kerja itu ketika usia remajanya. Sudahlah kerja itu berat, masyarakat pula menghinanya, “Nak jadi apa anak guru besar ni, buat arang pulak!” Tetapi ia sangat membentuk peribadi Tuan Nasir menjadi lasak dengan segala ujian dan cabaran.

Ketika itu Almarhum Ustaz Ashaari selalu singgah di situ, berehat di waktu petang. Di malam harinya beliau mengisi program ceramah di merata tempat khasnya di masjid-masjid sekitar itu. Oleh kerana sayangkan gurunya, Hj Darus bukan sahaja istiqamah mengusahakan projek kayu arang yang disarankan oleh Ustaz Ashaari ini malah menamakan anak lelakinya Arqam. Alhamdulillah Arqam ini tak diharamkan oleh kerajaan.

Sekarang telah ada usahasama di antara GISBH dengan Tuan Hj Darus untuk memajukan tempat ini menjadi tempat latihan para remaja dalam pengeluaran kayu arang yang berkualiti dan menjadi tempat lawatan untuk melihat sendiri bagaimana arang diproses. Ia tempat bersejarah yang patut dikongsi bersama.

Di sini, Kluster Sabak Arang boleh menimba ilmu dan pengalaman Pak Darus juga menambah usaha lain seperti membina kolam ternakan udang kerana Sungai Linggi memang sinonim dengan udang galahnya. Nanti bila ada jamuan petang atau malam, bakar-bakar udang galah dengan arang Pak Darus, hubungilah anjang. Nak gak merasai keenakan si sepit biru yang dibakar api biru arang terbaik di Asia.

Ok, jumpa lagi.

Musolla Vila Pusat
6.48pm, Mac 31, 2021

Sila klik untuk tonton video. Jangan lupa subscribe, share, like dan komen.

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *