LAWATAN KE KILANG PEMBUNGKUSAN ROZEL
LAWATAN KE KILANG PEMBUNGKUSAN ROZEL
Salam ceria. Korang buka apa hari ni? Banyak kali tanya, tak ada sapa nak jawab. Hehehe. Lupa kawan bila buka sedap-sedap tu.
Hari ini anjang ikut Tuan Nasir ke Jeddah. Bukan nak ke AirPort terbang, tapi ziarah kilang yang buat Rozel untuk GISBH. Mekah ke Jeddah dalam sejam perjalanan. Jeddah ni banyak kilang, kami pergi ke sebuah kilang lama namanya Masna’ Zahratus Syaie. مصنع زهرة الشاي. Di sini dibungkus pelbagai jenis teh samada tanpa sachet yang kasar atau yang telah dikisar halus dan dimasukkan dalam uncang. Bukan teh sahaja dibungkus di sini tetapi ada juga teh dan pudina, moringa dan Roselle atau Rozel.
Kilang ini adalah kilang kedua tertua di Jeddah. Pemiliknya Hj Adnan telah berusia lebih 80 tahun. Keluarganya berasal dari Tabuk. Pernah berguru dengan Syeikh Alwi Al Maliki tetapi beliau bermazhab Hanafi. Melaluinya kami dapat mendengar kisah-kisah lama Mekah di zaman Syarif Husin.
Katanya, ketika itu kehidupan di Mekah sangat indah. Ada kelas-kelas Agama di Masjidil Haram. Hotel tiada lagi. Yang ada rumah-rumah penduduk Mekah yang pemurah. Ketika itu penduduk Mekah hidup kemiskinan. Sepanjang tahun jarang mereka makan daging tetapi apabila masuk musim haji rezeki mereka terbuka. Dari pertengahan bulan Syaaban, jemaah haji telah mula sampai.
Antara yang Hj Adnan ceritakan, jemaah haji Indonesia akan buka talipinggang atau ikatan di pinggang mereka dan keluarkan emas-emas yang dibawa dari Indonesia. Mereka akan serahkan emas-emas itu kepada Syeikh-Syeikh haji sambil berkata, ini kiriman si polan untuk aqiqah, atau kenduri dll. Syeikh-Syeikh haji pula akan berkumpul sesama mereka dan menyusun giliran dan bilangan sembelihan lalu daging-daging itu diagihkan kepada penduduk Mekah.
Kaum wanita pula bergotong royong menguruskan daging tersebut di potong kecil dan dikeringkan. Maklumlah ketika itu tiada peti ais. Di musim hajilah penduduk Mekah berpeluang menikmati makanan yang agak mewah. Sebab itu Hj Adnan berpesan kepada anak-anaknya, muliakan orang Indonesia, walaupun sekarang mereka jadi amah dan driver di Mekah, kerana dahulu merekalah yang beri kita makan.
Ketika itu hidup berkasih sayang. Saling bantu membantu. Tanpa membezakan antara negara. Kadang-kadang orang Indonesia memasak makanan Indonesia di rumahnya, ada masanya ibunya mengajar mereka masakan Arab. Sekarang orang Saudi semua bangga dengan duit duit katanya.
Tuan Nasir ingin sangat Hj Adnan dapat ceritakan semula pengalaman beliau untuk dirakam sebagai bahan di Ikhwan TV. Ceritanya sangat memberi kesan di hati kami…
Tuan Nasir ingin menempah rozel uncang, teh hijau uncang dll. Lepas itu kami bergerak ke sebuah kilang print.
Terasa lapar hari ni. Buka dalam sejam lagi…. Bacaan gula petang ni 4.7, Alhamdulillah.
Bilik 6, Vila GISBH Mekah
5.50 pm, Mei 6, 2021