Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1442H GISBH Mekah
Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1442H GISBH Mekah
Salam ceria.
Salam Aidil Fitri, maaf zahir batin daripada Anjang kepada semua pembaca AM sempena raya tahun ni. Kita tak layak beraya. Tapi Allah rezekikan juga melepasi bulan Ramadan walaupun penghayatan amalan masih terlalu jauh. Moga Allah ampunkan kita dan izinkan kita bertemu Ramadan akan datang.
Anjang Allah izinkan bermusafir ke Saudi dengan rombongan Tuan Nasir. Sampai Mekah 1 Ramadan 1442, sebulan berpuasa di Saudi. Di Mekah, Hudaibiyah, Madinah dan Qassim. Beberapa hari sebelum Raya, Tuan Nik Hazani dan rombongan sampai. Ingatkan Saudi puasa 29 hari, rupanya 30 hari. Hari ke 29, Dato’ Lokman Hakim dan rombongan pula sampai.
Pagi raya kami solat Subuh di Vila Mekah, lepas sembahyang kami makan kudapan, itulah sunnahnya. Lepas tu dengan pakaian raya kami menaiki GMC bergerak ke Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah.
WBDIH ni terletak 26km dari Vila. Di sini terdapat ternakan haiwan kesayangan Rasulullah SAW seperti unta, kuda, keldai dan kambing. Juga terdapat ayam, itik, angsa, ikan dan burung puyuh.
Di sini terdapat asrama staf, surau, dapur, kawasan penginapan khas untuk wanita, dapur, tandas awam, kolam renang, lapang sasar untuk memanah dan gelanggang tenis.
Sampai di Wadi, kami lihat persiapan sedang giat dilakukan. Di ruang atau lapangan untuk majlis makan telah terdapat pentas persembahan, ada karpet dengan julus Arabi, terdapat beberapa buah meja dan kerusi untuk hidangan makan. Di tepi jalan pula ada tiga buah stall dengan bumbung pelepah dan daun tamar. Di stall ini dihidangkan juadah Aidil Fitri seperti rendang, nasi himpit, lemang, kuah kacang, mi hun sup tulang. Ada tempat membakar sate dan kawasan hidang air. Ada air oren dan cincau Ikhwan.
Program pertama pagi ini ialah bertakbir hari raya dan solat sunat serta mendengar khutbah. Imam Solat Raya, Tuan Abil, bilal pula, En Syidi dan Khatib Tuan Adib. Khutbah banyak mengajak kepada penghalusan diri dan perasaan dalam mengekalkan didikan Ramadan untuk menjadi orang bertakwa. Tuan Adib kelihatan bertegas dalam penyampaiannya bercampur hiba. Selepas khutbah kami sama-bersalaman dan memohon maaf.
Selepas itu bergerak ke lapangan hidangan untuk menjamu selera sambil menikmati persembahan nasyid dan berbual mesra. Amir dan kawannya ada sejak awal pagi dan seterusnya telah hadir juga, Dr Hisham dan keluarga, Saudara Ala’, Hani dan pekerja-pekerja restoran Amir dalam 5-6 orang.
Setelah itu Tuan Nasir sudi mengagih-agihkan duit raya kepada semua staf GISBH Haramain termasuk tetamu di kalangan staf GISBH dari Malaysia. Anjang pun dapat. Alhamdulillah rezeki awal Syawal. Setelah itu kami bergambar beramai-ramai dan sambung berbual dengan kenalan-kenalan tadi. Majlis bersurai dalam jam 10 lebih kerana hari telah terlalu panas.
Ok jumpa lagi.
Bilik 6, Vila GISBH Mekah.
6.11pm, Mei 14, 2021