ALP GISBH ke Riyadh
Salam ceria.
Apa khabar semua? Moga sihat belaka. Pejam celik, pejam celik dah 10 tahun anjang tulis blog. Walaupun pembacanya tak puluhan ribu orang, anjang bersyukur ada yang sudi membaca. Hari ni anjang nak coretkan perjalanan kami ke Riyadh. Semalam habis Meeting Ikhwan, moga sepanjang 11 bulan ini kita berjaya membenteng diri agar jadi hamba Allah, Ummat Rasulullah dan khadam kepada mursyid yang jujur demi melaksanakan tanggung jawab sebagai khalifah Allah untuk keselamatan dunia akhirat. Yang bestnya walaupun di Mekah, jauh dari tanah air, jamuan makan malam kami lemang Dino dan rendang cukup rempah. Terima kasih Tuan Nasir dan team.
Dalam kegawatan krisis peperangan antara penjajah Zionis dengan pejuang Palestin, dalam huru hara meningkatnya bilangan positif Covid-19 di Malaysia yang mencapai lebih 7K ditambah dengan accident tren LRT di Kuala Lumpur, para ALP GISBH meneruskan program Ziarah-Dakwah-Tijarah dengan kembara dari Kota Mekah ke Kota Riyadh, Ibu Negara Saudi Arabia. Di Riyadh para ALP ingin bertemu dengan TYT Duta Besar. Beliau pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Turki. Oleh itu memang telah lama menjadi kawan mesra. Para ALP juga bercadang melawat sebuah kilang biskut di Riyadh dan seterusnya akan meneruskan kembara Ziarah•Dakwah•Tijarah ke Qassim untuk melihat Kilang Pembungkusan Kurma dan terus Madinah.
Di permulaan perjalanan lagi, Allah dah beri nikmat dapat bertemu dengan kawanan unta pelbagai warna; putih, coklat dan hitam yang jinak. Pengembalanya pula mengizinkan kami memberinya makanan dan bergambar. Tuan Nasir dan para ALP turun menyantuni unta dengan memberi makan jajan kami. Pop Corn.
Sebelum terlupa, Tuan Nik Hazani tak dapat bersama kami kerana beliau uzur sakit kaki dan telapak kaki. Oleh itu beliau tinggal berehat di vila GISBH Mekah. Walaupun telah mendapat satu suntikan dari Dr Hisham malam tadi, nampaknya Tuan Nik masih belum pulih lagi. Moga Allah sihatkan beliau.
AL-GHADA’
Dari Mekah ke Riyadh kalau ikut Google Map (yg khabarnya dah buang peta Palestin) jaraknya 866.3 km. Menaiki kenderaan seperti kereta memakan masa selama 8 jam 23 minit. Itu kalau direct drive. Tak mungkin. Kita pasti akan berhenti buang air. Makan-makan. Isi minyak. Tambah kalau menyantuni unta putih, coklat dan hitam yang jinak. Beri makan jajan. Makanan yang seumur hidup mereka makan sekali tu agaknya-Pop Corn. Semuanya mencuri sedikit masa. Apalagi kalau berhenti makan tengahari.
Al-Ghada’ tu makan tengahari. Kami berhenti makan tengahari di sebuah restoran. Masuk je ada alat imbas suhu. Ada 3 meja kecil dengan 2 bangku yang boleh memuatkan 4 orang tanpa penjarakan sosial. Ada tempat duduk untuk makan guna dulang. Duduk beramai-ramai.
Anjang duduk di bangku dengan Tuan PE, CEO dan COO. Kami makan guna dulang juga. Nasi mandy lauk kambing dan ayam. Anjang prefer ayam panggang sebab lembut. Gusi masih belum sihat. Nasi beras basmatinya lembut walaupun hapak sikit. Ada sambal cili tomato. Bawang besar, cili dan lemon. Kalau muak, minum seteguk air gas. Tapi tetap tak boleh dihabiskan kerana nasinya full 1 talam. Bungkus.
Lepas makan kami tunaikan solat. Al maklum kalau teruskan perjalanan, takut nak solat jamak taakhir kesuntukan waktu. Suraunya agak sempit begitu juga tandas kerana bangunan sementara dibuat dari kontena. Doakanlah GISBH berjaya membawa air-air minuman dari Mekah berkontena ke Malaysia. GISBH ingin membina rangkaian kedai 24 jam yang dinamakan ‘Aielah Mart’ di seluruh negara sebab itu perlu menambahkan produk-produk baru. Siapa tahu berkat ziarah, dakwah & Tijarah pimpinan GISBH kali ini, mereka berjaya membuka atau JV dengan beberapa pengusaha di sini untuk produk minuman Ikhwan, mi segera ikhwan dan biskut Ikhwan.
Menurut CEO GISBH, biskut ni daripada Raja, menteri, jutawan, hartawan, artis, atlit, penjawat awam dan swasta, peniaga dan petani, kecil besar, tua muda, lelaki perempuan semua makan biskut tapi malangnya tiada biskut keluaran Melayu Islam. Pakat cicah kopi biskut bukan Muslim pagi dan petang.
Lepas solat kami sambung perjalanan ke Riyadh. Dalam bahang 44° C kami terus bergerak tapi dalam kenderaan tentulah sejuk ber ‘air cond’. Di luar, MasyaAllah… panas yang amat. Langit membiru dengan awan nipis setompok setompok. Bayangkanlah bagaimana kehidupan Rasulullah dan para sahabat dahulu. Dalam keadaan begitu, mereka tetap berjuang, berkorban, membela, menagih kemenangan, bersatu, berpakat, gotong royong, sampai menyampaikan, menegur, menasihat, menerima teguran, menghargai nasihat, panduan dan tunjuk ajar.
Tiada merajuk, tiada tak merujuk, tiada celupar, tiada bangga dan rasa berbuat, tiada malas dan menangguh-nangguh, tiada pengotor, tiada cuai, lalai dan santai, tiada gebang dan kata-kata memedihkan, tiada senget-senget hati, tak ada rosak hubungan dengan Allah dan manusia kecuali sedikit sangat, dalam Al Quran sebut illa lamam. Tak sengaja, bukan dosa yang dirancang dan cepat-cepat bertaubat, mengaku salah angkat tangan.
Itu dalam keadaan yang serba serbi daif. Kita yang serba selesa begini jika tidak membela Allah, Rasul dan pemimpin, apa yang kita akan jawab depan Allah kelak di akhirat?
Doakan kami selamat sampai…
Otw Riyadh
3.18 PM, Mei 25, 2021