Dapur Prihatin Bersama from GISBH
Dapur Prihatin Bersama from GISBH
Salam ceria.
Fitrah manusia suka bila orang lain mengambil berat tentang dirinya. Rasa terharu bila ada yang prihatin dengan nasibnya. Lebih-lebih lagi ketika dia di dalam kesusahan. Lebih dari itu lagi bila telah cuba meminta dari pelbagai pihak tetapi semuanya hampa.
Atas dasar prihatin inilah selama beberapa tahun ini GISBH mengadakan slot Jumaat Berkat dengan tag; ‘Makan Sepuas Hati, Bayar Ikut Rasa Hati’ atau ‘Pay As You Wish’ juga pengagihan ‘Box Jumaat Berkat’. Bila masyarakat mengetahui, ramai yang sama-sama menyertai program ini dengan bantuan kewangan.
Sabda Nabi SAW;
“Tidaklah beriman kepadaku orang yang kenyang semalaman sedangkan jirannya kelaparan di sampingnya, sedangkan ia mengetahuinya.”
(Imam At-Tobrani).
Di musim covid-19 ini, semua pihak terjejas. Samada sedikit atau banyak. Ada yang benar-benar kehabisan wang simpanan malah bekalan makanan asas di rumah. Adalah menjadi kewajipan pihak yang mampu, menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Oleh itu GISBH ingin meneruskan khidmat kepada masyarakat dengan menyediakan makanan percuma bagi mereka yang memerlukan. Ia dinamakan ‘Dapur Perihatin Bersama’. Ia akan diwujudkan di setiap cawangan restoran GISBH seluruh Malaysia.
Mereka yang memerlukan makanan perlu berhubung dengan pengurus ‘Dapur Prihatin Bersama’ di restoran-restoran tersebut dan memberi maklumat yang diperlukan agar masakan dapat di masak sesuai dengan keperluan.
InsyaAllah hidangan berupa nasi, lauk dan sayur atau seumpamanya akan disediakan mengikut kemampuan setiap restoran tersebut.
Memberi makan orang miskin dan melarat adalah tradisi para Nabi, Rasul dan orang-orang soleh.
Saiyidina Umar Al-Khattab pernah berkata:
“بئس الوالي أنا إن شبعت والناس جياع”
“Akulah seburuk-buruk pemerintah jika diriku kenyang sedangkan rakyat pula menderita kelaparan.”
Saiyidina Ali pula terkenal sebagai ‘Bapa anak-anak yatim dan janda-janda.”, kerana walaupun dalam kemiskinan, rupanya beliaulah pembela golongan anak yatim dan janda-janda.
Sultan-sultan Turki Uthmaniah bukan sahaja hebat di medan perang tetapi terkenal juga dengan sifat membela kebajikan rakyatnya dengan mewujudkan dapur-dapur bandar untuk menjamu orang-orang miskin dan para musafir yang keputusan wang.
Ada masa-masa tertentu, Sultan sendiri menyingsing lengan memasak di dapur bandar mereka demi memastikan rakyatnya tidak kelaparan. Kadang-kadang jamuannya hanyalah roti dan sup sahaja tetapi ia cukup untuk memberi tenaga kepada rakyatnya untuk meneruskan kehidupan. Malah tradisi dapur itu diteruskan sebahagiannya dan bertahan selama 224 tahun hingga sekarang.
Sabda Rasulullah SAW:
عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَبَا ذَرٍّ إِذَا طَبَخْتَ مَرَقَةً فَأَكْثِرْ مَاءَهَا وَتَعَاهَدْجِيرَانَكَ
Daripada Saiyidina Abu Zar dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Abu Zar, Apabila kamu memasak lauk berkuah, maka perbanyaklah kuahnya dan berikanlah sebahagiannya kepada jiranmu.”
Riwayat Imam Muslim.
Covid-19 ini Allah uji iman mereka yang miskin agar mereka bersabar dan redha dan bersungguh-sungguh kembali kepada Allah. Bertaubat dari segala dosa dan maksiat dan jangan berputus asa dari rahmat Allah.
اِنَّ مَعَ الۡعُسۡرِ يُسۡرًا
bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
Covid-19 juga adalah medan ujian bagi orang kaya di dalam masyarakat, adakah kamu bersyukur dengan membantu mereka yang sangat memerlukan? Atau kamu hidup mementingkan diri sendiri sahaja.
Bagi yang ingin sama-sama membantu GISBH bolehlah hubungi pihak GISBH untuk berbincang bantuan apa yang boleh mereka sumbangkan.
Moga semua yang dirancang diberkati Allah Taala dan dibantu serta dimudahkan.
Vila GISBH Mekah
10.52am, Jul 2, 2021