AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

Salah kita bersama

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria.

Semakin lama pandemik Covid-19 ini berlaku tanpa jalan penyelesaian, semakin bertambah tekanan kepada masyarakat. Kesan yang sangat menyedihkan ialah bila berlaku kes-kes bunuh diri. Lebih pedih di hati bila kenangkan mangsa bunuh diri ini orang Islam.

BUNUH DIRI – SALAH KITA BERSAMA

STATISTIK PDRM:
18.3.2020-30.10.2020 (PKP) sebanyak 266 kes
Lebih 30 orang sebulan.
1 orang sehari
60% Melayu Islam (159 org)

SEBAB:

  1. Hilang pekerjaan menyebabkan bebanan hutang tinggi (25%)
  2. Masalah keluarga (24%)
  3. Kes rumah tangga (23%)
  4. Kes Cinta (15%)
  5. Kes bebanan kerja, halusinasi, mental, media massa & dadah (13%)

BILANGAN KES IKUT NEGERI

  1. Johor 47 kes
  2. Selangor 39 kes
  3. KL 28 kes

KES TERTINGGI IKUT TAHUN & NEGERI:

  1. 2019 & 2020
    Johor 101 kes
  2. Jan-Mei 2021
    Selangor 117 kes

BILANGAN KES DARI 2019-MEI 2021
2019 – 609 kes
2020 – 631 kes
2021 (Jan-Mei) -468 kes
Jumlah 1,708 kes
Secara purata dua kes dilaporkan berlaku setiap hari sejak 2019 hingga Mei 2021.

JANTINA:
Lelaki 281 orang (16.45%)
Wanita 1,427 orang (83.54%)

CARA:

  1. Gantung diri (75.1%)
  2. Terjun bangunan (13.6%)
  3. Minum racun (5.7%)

UMUR (2019-Mei 2021)

  1. 15-18 tahun (872 orang)
  2. 19-40 (668 orang)

Apabila mengumpul data-data berkenaan kematian akibat bunuh diri di Malaysia, apa perasaan kita? Statistik pertama sejak awal PKP hingga 30.10.2020 dengan kematian sebanyak 266 orang melibatkan 60% orang Islam. Orang Islam mati bunuh diri, kita tak rasa apa-apa ke tuan-tuan?

Ke mana hilangnya perasaan belas kasihan di hati kita? Terimalah hakikat, sebelum mangsa-mangsa itu mati membunuh diri, sebenarnya kita telah mati lebih awal, mati hati dan perasaan.

Orang Islam yang ada iman tak akan bunuh diri. Orang Islam yang yakin dengan Allah, dengan qada’ dan qadarnya tidak akan terlintas di hatinya untuk membunuh diri kerana faham dan yakin takdir Allah serta takut balasan Allah akibat dosa bunuh diri.

Bunuh diri ini dari statistik yang kita baca akibat tekanan masalah kewangan, bebanan hutang, masalah keluarga dan lain-lain hingga menjadikan seseorang itu kecewa. Akibat terlalu kecewa ia akan putus asa, di sinilah kemuncaknya, lalu terjadilah kejadian bunuh diri.

Semua itu salah siapa? Ia adalah salah kita bersama kerana abaikan dakwah dan pendidikan iman kepada seluruh masyarakat. Usaha dakwah dan mendidik masyarakat kita rasmi-rasmi sahaja dan tidak menyeluruh.

Dakwah itu untuk mengajak orang bukan Islam masuk agama Islam. Yang memang beragama Islam, kita tingkatkan keislaman mereka. Setiap kali berlaku kematian, lebih-lebih lagi bunuh diri, walaupun oleh mereka yang bukan beragama Islam sepatutnya kita sedih. Tak sempat kita islamkan mereka, syaitan telah menang menggoda mereka yang akhirnya mati dalam keadaan kufur dan bakal kekal selama-lamanya dalam neraka bersama syaitan dan kuncu-kuncunya. Tak sedih ke?

Teringat kata-kata Saiyidina Umar Al-Khattab,
لو ماتت شاة على شط الفرات ضائعة لظننت أن الله تعالى سائلي عنها يوم القيامة.
Jikalau seekor kambing biri-biri mati tersesat jalan di tebing Sungai Furat, aku bimbang Allah SWT akan bertanya daku pada Hari Kiamat.

Begitu hati orang yang benar-benar beriman, seekor binatang mati pun dia rasa bimbang. Dia sedih. Dia takut. Mungkin sahaja Allah akan mempersoalkannya, kenapa kambing ini mati? Termakan racunkah? Kehausankah? Adakah ia akibat kelalaian manusia, atau kezalimannya kerana tidak bertanggung jawab.

Dalam Islam, Allah larang kita dari berputus asa.
Firman Allah:
وَلَا تَايۡــَٔسُوۡا مِنۡ رَّوۡحِ اللّٰهِ‌ؕ اِنَّهٗ لَا يَايۡــَٔسُ مِنۡ رَّوۡحِ اللّٰهِ اِلَّا الۡقَوۡمُ الۡكٰفِرُوۡنَ
“…dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.
Yusuf: 87

Kalau benarlah kita mendidik masyarakat umat Islam, tidak mungkin mereka tergamak membunuh diri walau dalam keadaan apa sekalipun. Tetapi majoriti yang membunuh diri adalah saudara seagama kita. Allah akan tanya kita. Kita tidak akan mampu memberi alasan?

Yakinlah juga saudara-saudari sekalian, bunuh diri ini akibat lemahnya hubungan hati dengan Allah. Antara punca lemahnya ikatan hati dengan Allah ialah kerana memakan makanan yang haram dan syubhah. Samada haram usahanya seperti terlibat dengan penipuan, pecah amanah, rasuah, curi atau bahan makanan itu sendiri haram kerana terdapat najis, babi, lemak babi, ayam yang tidak disembelih ikut syarak dan lain-lain.

Terbongkar tak lama dahulu, kartel daging haram yang telah beroperasi lebih 40 tahun di Malaysia. Tiga, empat generasi kita telah makan makanan haram dan syubhah yang sangat memberi kesan pada hati. Melemahkan iman.

Pada bulan Ogos 2020, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 16,200 kilogram (kg) lemak babi yang dibawa masuk dari Belanda di pintu masuk Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) Pulau Pinang dan ia dijadikan bahan untuk membuat biskut. Sementalahan kita tahu biskut di pasaran dibuat di kilang-kilang non Muslim. Semuanya memberi kesan pada hati untuk memalapkan cahaya iman.

Ya, dalam suasana tenang tanpa cabaran, ia tidak ketara tatapi bila berlaku covid, diberhenti kerja, hutang bertimpa-timpa, anak isteri hendak makan minum dan belanja maka mereka akan sangat tersiksa, kecewa dan putus asa lantaran kekuatan iman yang sepatutnya ada di dada telah punah akibat makanan haram dan subahat.

Mana usaha kita selama ini mendidik manusia agar yakin Allah ada? Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Allah telah tetapkan rezeki kita. Allah telah takdirkan kesenangan dan kesusahan. Allah tak akan sekali-kali menzalimi kita. Allah hanya mahu kita kembali bertaubat kepadaNya. Yakinlah Allah bersama mereka yang sabar.

Mana usaha kita membangunkan Fardhu Kifayah di tengah masyarakat agar mereka terhindar dari makanan yang haram dan syubhat yang akan menghitamkan hati, melemahkan hubungan dengan Allah? Dalam ertikata yang lain melemahkan iman. Makanan ayam ada protin babi, biskut ada minyak babi, sembelihan ayam dari kilang orang kafir yang mencurigakan, daging lembu bukan Islam yang import, bercampur halal dan haram. Akhirnya melahirkan masyarakat yang lemah iman, mudah kecewa dan putus asa. Tak rasa bersalah ke kita?

Lebih dari itu, kita biarkan pendidikan anak-anak. Sembahyang tak dititik beratkan, pergaulan bebas lelaki perempuan dibiarkan, hand pone dan gajet yang penuh dengan maksiat bebas digunakan akhirnya maksiat berleluasa di tengah masyarakat. Semua maksiat ini adalah racun yang membunuh iman umat Islam. Rasakanlah kita sangat mempunyai ‘saham’ atas kejadian besar ini. Mati adalah kejadian besar.

Sabda Nabi SAW:
كفى بالموت واعظا
Cukuplah satu kematian itu menjadi pengajaran.

Sedangkan telah berlaku ribuan kematian dan ia bukan kematian biasa, BUNUH DIRI. Mayat tergantung di merata tempat. Ada yang terjun bangunan hancur berkecai tetapi kita masih tenang-tenang sahaja tanpa rasa bersalah.

Memang kepimpinan itu penting tapi bukan untuk direbut-rebutkan. Memang wang itu keperluan tetapi bukan sampai lupa jiran dan masyarakat.

Mari kita kembali kepada Allah. Bertaubat atas dosa-dosa kita selama ini yang sangat tidak bertangung jawab hingga akhirnya berlakulah kejadian menyayat hati ini. Covid-19 adalah satu tragedi tetapi mati membunuh diri akibat Covid-19 lebih dari 1000 tragedi.

Tragedi dan peristiwa bukan sekadar bahan cerita, lebih-lebih lagi bukan bahan ketawa, ia adalah bahan pendidikan dan pengajaran. Kalau hati buta, akal saja yang celik, ia akan hanya jadi bahan cerita, bukan bahan pengajaran dan didikan.

Vila GISBH Mekah
6.00 PM, Ogos 3, 2021

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

One thought on “Salah kita bersama

  • Shah nizam shariff

    Ya Allah ampunkn dosa kami..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *