Kunjungan Hormat Pimpinan GISBH ke atas TYT Duta Besar Malaysia ke Qatar
Kunjungan Hormat Pimpinan GISBH ke atas TYT Duta Besar Malaysia ke Qatar
Pada 17hb November 2021, satu rombongan kepimpinan GISBH yang diketuai oleh Pengerusi Eksekutifnya, Tuan Nasiruddin Mohd Ali telah melakukan satu kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Qatar, TYT Zamshari Shaharan di lobi Kedutaan Besar Malaysia di Doha.
Ketibaan rombongan GISBH disambut oleh seorang staf kedutaan lalu mempersilakan rombongan duduk di lobi menunggu. Pegawai Komunikasi, En Mohammad Yaqoob Fazal Rashid, warga Pakistan kelahiran Qatar melayan semua ahli rombongan penuh mesra.
Menurutnya, anggaran perbelanjaan isi rumah rakyat asli Qatar ialah sebanyak 100 ribu Riyal sebulan. Rata-Raya mereka memiliki 9 buah kereta, driver, amah dan lain-lain yang memerlukan belanja yang bukan sedikit.
Menurutnya lagi, Qatar tidak mudah memberi kerakyatan kepada warga asing walaupun lahir beberapa generasi di negara itu. Beliau yang meminati jubah dan songkok Ikhwan adalah generasi ketiga tetapi tetapi tidak memperolehi kerakyatan.
Setelah itu muncul pula En Mohd Khairuddin Jasin, Penasihat di Kedutaan yang menyatakan pertemuan dengan TYT Duta tidak dapat diadakan kerana masalah teknikal dan TYT Duta sendiri sedang menerima tetamu dari Malaysia.
Setelah diterangkan serba sedikit berkaitan tujuan kedatangan, kunjungan dan hubungan baik GISBH dan Tuan Nasiruddin di banyak Kedutaan Malaysia di negara yang kami kunjungi juga perkembangan terkini Menteri Luar Negeri dengan GISBH barulah kami berpeluang bertemu TYT Duta.
Alhamdulillah TYT Duta sangat mesra dan merendah diri orangnya. Ketika bersalaman beliau memohon maaf dan menyapa mesra Tuan Ahmad Anuar Abdul Rahman, Ahli Lembaga Penasihat GISBH dengan gelaran “Abang” kerana Tuan Anuar adalah ‘senior’nya ketika belajar di Perancis.
TYT Duta sangat gembira dengan kedatangan rombongan GISBH juga mengalu-alukan hasrat GISBH untuk memulakan perniagaan di Qatar. Beliau tak lokek berkongsi pelbagai maklumat berkaitan Qatar.
Menurutnya rakyat Qatar yang berjumlah 2.8 juta itu, yang benar-benar asli Qatari hanya 300 ribu lebih sahaja. Mereka pula terdiri dari kabilah-kabilah yang paling dominan dan memegang kekuasaan ialah keluarga Ath Thani. Selain itu adalah warga asing dari India, Pakistan, Nepal dll. Rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan adalah seramai 5000 orang. Kebanyakan rakyat Malaysia bekerja di bidang Oil & Gas dan lain-lain bidang professional.
Qatar hampir lumpuh ketika berlaku sekatan ke atasnya beberapa tahun lalu kerana selama ini banyak bergantung kepada negara-negara jiran. Apabila Saudi, Bahrin, UAE, Mesir memboikot Qatar dengan menuduhnya menyokong keganasan Turki berdiri teguh menyokongnya dengan bantuan ketenteraan. Kalau bukan kerana bantuan Turki, Qatar mungkin telah menjadi salah satu dari wilayah Saudi.
Selain Turki, Malaysia dan Pakistan juga antara negara yang membantu dan menyokong Qatar ketika kesusahan. Oleh kerana itulah rakyat Qatar sangat menghormati orang Malaysia.
Sekatan dan boikot menjadikan Qatar lebih kuat dan kenal kawan dan lawan. Apabila bekalan susu hampir putus di pasaran, Qatar bukan mengeksport susu tetapi membawa lembu susu menaiki pesawat dan membuka ladang ternak lembu susu dan sekarang bukan sahaja memenuhi keperluan tempatan malah mampu mengeksportnya.
Begitulah Qatar bangun dan menjadi lebih kuat di bidang pertanian, penternakan, pendidikan dan ketenteraan belajar dari peristiwa sekatan ini.
TYT Duta berpeluang mendapat gambaran ringkas yang menyeluruh berkaitan perjuangan GISBH dengan
menonton Video Profile GISBH dan juga melalui perbualan bersama pimpinan GISBH. Beliau berterima kasih atas kunjungan para pimpinan GISBH dan bersedia membantu apa yang patut dalam usaha GISBH beratapak di bumi Qatar.
Pertemuan diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai. Moga hubungan baik antara GISBH dengan Kedutaan Besar Malaysia di Qatar akan berterusan dan memberi faedah kepada kedua pihak untuk memperlihatkan pengamalan Islam contoh dari negara sebelah Timur setelah negara-negara Timur Tengah sentiasa bergelora dengan krisis dan peperangan.
Terminal 2, Dubai International Airport
12.11 am, Nov 21, 2021