AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

Gua Ashabul Kahfi (CAVE OF THE SEVEN SLEEPERS)

Kongsikan kepada yang lain
Share

Gua Ashabul Kahfi

Apabila kita keluar sedikit daripada Bandar Amman menuju ke selatan Amman, kita akan lalui kawasan Abu Alanda atau Raqim, di situ terdapat  Gua Ashabul Kahfi yang masyhur dalam Al-Quran. Kisahnya diceritakan di dalam surah Al-Kahfi sendiri dari ayat ke- 9 hingga ke-21.

Pada 27.12.2021, anjang sempat mengikuti rombongan YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali ke sini. Tak tau la, ini kali ke berapa anjang ke sini. Dah banyak kali. Dulu pernah datang ke sini dengan Almarhum Ustaz Ashaari sendiri. Kali ini, kami beruntung kerana dapat mendengar penjelasan yang detail daripada penjaga Gua tersebut yang telah berkhidmat 20 tahun di situ malah datuk moyangnya telah berjasa menjaga gua tersebut sejak 400 tahun yang lampau. 

Sila tonton video yang dirakam hasil penerangan Saudara Mahmud Hunaiti dan jawapan kepada soalan-soalan yang dikemukakan oleh Tuan Nasir dan Tuan Anuar sendiri. Ia sangat mahal dan berharga. Walaupun ramai yang belum berpeluang ke sini, maklumlah ia terletak ribuan km dari negara kita, memerlukan kos dan masa yang bukan sedikit, tapi percayalah menonton penerangan dari video lawatan kami bersama Tuan Nasir sangat memberi kepuasan mengenai maklumat berkaitan gua Ashabul Kahfi ini.

YDH Tuan Nasir di pintu gua yang masih berkunci

Di dalam Al-Quran di sebut Ar-Raqim, iaitu nama batu tersurat yang terdapat di gua ini, atau nama daerah ini. Ia terletak lebih kurang 10km ke (Barat Daya) Amman. Ashabul kahfi ini terdiri daripada 7 orang pemuda yang beriman dan bertaqwa kepada Allah, yang mana mereka menderita kerana penindasan kerajaan dan Raja Tarajan di zaman Al-Yunani yang memerintah di waktu itu, maka mereka menyembunyikan diri di gua ini lalu Allah menyelamatkan mereka dengan  ditidurkan selama 309 tahun lamanya di dalam gua ini.

Tentang Raja yang memerintah  pula, ada yang berpendapat raja pada waktu itu Raja Tarajan dan ada yang mengatakan Raja Dakyunus.

Apabila mereka sedar dari tidurnya, mereka menyangka mereka hanya tertidur satu hari atau setengah hari sahaja. Pada waktu mereka tersedar ketika itu ajaran Nabi Isa sudah pun tersebar luas dan pada masa itu juga Raja yang memerintah ketika itu terdapat perselisihan pendapat tentang manusia dibangkitkan di hari kiamat. Samada di bangkitkan dengan jasad dan roh atau roh sahaja. Maka Allah datangkan kepada mereka dengan pemuda-pemuda (Ahli Kahfi) ini untuk memperjelaskan bahwa hari kiamat itu pasti datang, dan dibangkitkan manusia itu dengan jasad dan roh.

Setelah itu mereka ditidurkan kembali untuk membantu perjuangan Imam Mahdi di Akhir Zaman.

Suasana di dalam gua bahagian hadapan

Ada beberapa pendapat yang mengatakan Gua Ashabul Kahfi ini ada terdapat di Turki, Syria, Yaman dll (malah ada 33 tempat yang didakwa sebagai gua Ashabul Kahfi) tetapi yang paling tepat dan menepati ciri-ciri yang dinyatakan di dalam Al-Quran adalah di Jordan.

Sila lihat surah Al-Kahfi ayat 17 dan 21 yang bermaksud :

– Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya. (Al-Kahfi :17)

– Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka. (Al-Kahfi :18)

Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” (sebahagian dari) mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: “Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu. (Al-Kahfi :19)

YDH Tuan Nasir dan YDH Tuan Anuar di hadapan batu peringatan Gua Ashabul Kahfi

– “Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada agama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya”.       (Al-Kahfi :20)

– Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”. (Al-Kahfi :21)

Bersama Saudara Mahmud Hunaiti

Beberapa bukti telah di kenal pasti dari kesan-kesan tinggalan sejarah dan arkeologi bahawa gua Ashabul Kahfi di Abu Alanda atau Roqim adalah yang sebenarnya, kerana:

  1. Terdapat tulisan pada lengkungan pintu di dinding sebelah timur yang menyatakan masjid diperbaharui pada tahun 117 hijrah iaitu di zaman pemerintahan Umawiah yang mana sebelum ini masjid ini dikatakan merupakan rumah ibadat Nasrani. Kesannya boleh dilihat pada binaan mihrab (penunjuk arah kiblat) yang terdapat di atas gua.
  2. Tulisan khat Kufi turut ditemui menunjukkan kepada zaman Khomarumiah bin Ahmad Tholun (kerajaan Abbasiah) yang mana masjid kedua di Ashabul Kahfi dibina berhadapan dengan gua ini setelah masjid pertama di bina di atas gua ini musnah.
  3. Wujudnya nawawis yang bermakna kubur bagi orang nasrani. Mereka ini menguburkan mayat di dalam bekas batu. Seperti yang dapat kita lihat di kawasan ini.

Di gua Ashabul Kahfi ini juga, masih lagi terdapat kesan-kesan binaan peninggalan Zaman Byzantine dan Rom dan tambahan masjid yang dibina di zaman pemerintahan Umawi.

Saudara Mahmud Hunaiti sebelum Diet
selepas diet. Macam tak percaya.

Kami keluar dari Gua Ashabul Kahfi dengan perasaan puas hati kerana mendapat penerangan yang cukup jelas dari saudara Mahmud Hunaiti. Di luar gua kami bergambar kenangan juga di batu peringatan yang tertulis: CAVE OF THE SEVEN SLEEPERS

Bilik 20, Vila GISBH Mekah 

11.05pm, Jan 10, 2022

Sila klik untuk menonton video. Jangan lepaskan peluang.
  • https://www anjangmuor com/2022/01/10/gua-ashabul-kahfi-cave-of-the-seven-sleepers/ (70)

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *