AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

Umrah Perdana GISBH 2022

Kongsikan kepada yang lain
Share

Umrah Perdana GISBH 2022

MEKAH: GISBH di bawah pimpinan Pengerusi Eksekutifnya YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali telah menganjurkan ibadah umrah pada 25hb Januari 2022. Ia dinamakan Umrah Perdana kerana melibatkan jumlah peserta yang ramai iaitu seramai 81 staf GISBH antarabangsa.

Setelah lebih sebulan ‘berkampung’ di Dubai, terlibat dalam Expo Dubai 2020, melancarkan Kumpulan Hadrah Generasi Harapan dan membeli dua buah kenderaan ‘Motorhomes’, Tuan Nasiruddin Mohd Ali memberikan tumpuan di kota suci umat Islam, Mekah Al Mukarramah pula.

Di Mekah, selain daripada membangunkan Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah di mana terdapat haiwan-haiwan kesayangan Rasulullah SAW seperti unta, kuda, kambing dan keldai, pembangunan menyeluruh juga dilakukan seperti pembangunan chalet-chalet penginapan, pembinaan prasarana seperti tandas awam, medan niaga, lapang sasar memanah dan lain-lain, Tuan Nasir juga memastikan Restoran Nur Malaysia Mekah kembali beroperasi.

Setelah Restoran Nur Malaysia Mekah kembali beroperasi (setelah ditutup sementara kerana pengubahsuaian), YDH Tuan Nasir dan pimpinan GISBH mengorak langkah berani mengambil sebuah premis perniagaan di Bangunan Sofwah berhadapan Masjidil Haram. Walaupun saiznya agak kecil tetapi kedudukannya yang sangat strategik akan memberi nilai tambah yang tinggi dalam menarik seramai mungkin pelanggan.

Bukan mudah untuk mengembangkan perniagaan di Saudi khususnya sejak bermula wabak Covid-19. Banyak perniagaan yang rugi dan terpaksa ditutup. Ribuan, mungkin jutaan warga asing yang selama ini mencari rezeki di Saudi pulang ke negara masing-masing kerana ekonomi yang lembab dan tidak mampu menanggung cukai yang sangat tinggi.

Demi mengharapkan bantuan dan pertolongan Allah, maka YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali merancang untuk mengadakan apa yang dinamakan sebagai ‘Umrah Perdana’ dengan mengumpulkan seramai mungkin staf GISBH yang memang telah berada di luar negara untuk menyertainya.

Di saat kerajaan Malaysia menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari ini berikutan penularan jangkitan Omicron, staf GISBH pula Allah izinkan menunaikannya kerana mereka memang telah berada di luar negara lebih awal dari tarikh tersebut.

Dalam pertemuan-pertemuan sebelum ibadah umrah dilaksanakan, YDH Tuan Nasiruddin mengajak para staf GISBH gunakan peluang mengerjakan umrah ini untuk benar-benar mendekatkan diri kepada Allah dengan bersungguh-sungguh bertaubat, membanyakkan doa dan rintihan agar Allah ampunkan segala dosa, angkat segala hijab, buang perangai-perangai buruk dan tidak mengulanginya lagi, betul-betul berusaha mendapatkan redha-Nya. Jika Allah terima doa dan permintaan hamba-hamba-Nya, nanti rahmat dan berkat-Nya akan turun mencurah-curah.

Dengan menaiki dua buah bas, rombongan staf GISBH yang majoritinya adalah para remaja di bawa ke Masjidil Haram. Istimewanya program umrah kali ini ialah hadir bersama di dalamnya, dua balu pengasas GISBH, Almarhum Ustaz Ashaari Muhammad iaitu Bonda Ummi Noor dan Bonda Ummu Ain serta 8 orang anak lelaki beliau dan 4 orang anak perempuan.


Setelah selesai menunaikan ibadah umrah, Tuan Nasiruddin membawa semua ahli rombongan menjamu selera di Restoran Nur Malaysia Al Haram yang semakin hampir hari pembukaannya. Pelbagai jenis menu dicuba seperti kuih seri muka, kuih bakar, bubur pulut hitam, pengat sagu. Lauk pauk seperti rendang daging, sambal ayam, kari ayam, ikan tenggiri masak asam pedas, ayam masak kicap, daging masak merah dan lain-lain.

Selain daripada itu, Tuan Nasiruddin juga menyewa bilik-bilik hotel yang mengunjur ke Masjidil Haram dan menyusun giliran staf GISBH mengunjunginya untuk melihat Kaabah dari sebelah atas.

Memandang Kaabah itu sendiri adalah ibadah, maka para staf GISBH mendapat peluang untuk berdoa, merintih, menghampirkan diri pada Allah sambil melihat sediri ‘view’ Kaabah dari bilik hotel. Di sinilah doa dipanjatkan bukan sahaja untuk diri, keluarga dan syarikat malah untuk negara Malaysia dan umat Islam seluruhnya.

Moga Allah kabulkan segala permintaan, doa dan rintihan para staf GISBH dan pimpinannya di dalam program Umrah Perdana kali ini demi kebaikan seluruh umat Islam.

Aamin ya Rabbal ‘Alamin..

Hotel Al Marwa Rayhaan

11.29 PM, Jan 25, 2022

Sila klik untuk menonton video. Jangan lupa share, subscribe, komen dan like
  • https://www anjangmuor com/2022/01/26/umrah-perdana-gisbh-2022/ (1)

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *