GISBH telah sampai ke Afghanistan bersama Delegasi Misi Kemanusiaan Malaysia
GISBH telah sampai ke Afghanistan bersama Delegasi Misi Kemanusiaan Malaysia
KABUL: Setelah 8 bulan melancarkan ‘Dapur Prihatin Bersama’ dengan mengagih-agihkan bantuan makanan kepada mereka yang terkesan dengan pendemik Covid-19 dengan nilian bantuan lebih RM500,000.00 sebulan, GISBH mengorak langkah untuk bekerjasama dengan NGO lain untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat di negara yang berkonflik pula iaitu Afghanistan.
Bukan tiada bantuan GISBH berikan kepada masyarakat sebelum ini di luar Malaysia terutama di negara yang terdapat cawangan GISBH di 16 buah negara selain Malaysia seperti di Indonesia, Thailand, Singapura, Jordan, Mesir, Saudi, Turki dan lain-lain tetapi inilah kali pertama wakil GISBH pergi secara rasmi bersama delegasi misi kemanusiaan Malaysia untuk rakyat Afhanistan.
Sejumlah lima tan barangan bantuan misi kemanusiaan Malaysia untuk Afghanistan selamat tiba di ibu negara semalam 23hb Februari 2022.
Kesemua barangan keperluan asas itu tiba di sini menerusi pesawat khas yang turut menerbangkan 12 delegasi termasuk pegawai dari Wisma Putra, perwakilan dari NGO termasuk dua orang perwakilan dari GISBH Tuan Hasnan Abdul Hamid dan Tuan Ahmad Anuar Abdul Rahman.
Antara kelengkapan yang disumbangkan dalam misi kali ini termasuk susu tepung untuk bayi, set pakaian musim sejuk, set alat tulis dan makanan kering.
Di Kabul, ketibaan delegasi Malaysia disambut Penasihat Khas Hal Ehwal Afghanistan di Wisma Putra, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman bersama Jurucakap Kementerian Luar Afghanistan, Abdul Qahar Balkhi.
“Ini merupakan satu mesej daripada rakyat Malaysia menerusi NGO terkesan dengan apa yang berlaku di Afghanistan.
“Jelas ini memberi impak kepada kerajaan Afghanistan bahawa kita sangat prihatin dengan situasi di sini,” kata Ahmad Azam semasa ditemui selepas sesi penyerahan bantuan kemanusiaan Malaysia kepada pemimpin Afghanistan.
Sementara itu, Abdul Qahar menyifatkan bantuan ini tiba tepat pada masanya di saat dunia ‘merampas’ hak asasi mereka untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Oleh itu, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas jasa baik ini,” katanya.
Sumbangan keseluruhan bernilai RM1.012 juta ini akan diedarkan kepada pelbagai NGO tempatan seperti Ehsas Welfare and Social Service Organisation (EWSSO), Humanitarian Assistance Society (HAS), Afghan Welfare Society (AWS) dan Just for Afghan Capacity and Knowledge (JACK).