Mr. Muhammad Adnan Qadiri, kenalan baru GISBH di Manila
Mr. Muhammad Adnan Qadiri, kenalan baru GISBH di Manila
MANILA, 02.07.2023
Hari ini GISBH melalui YDH Tuan Ahmad Anuar Abdul Rahman berkenalan dengan Mr. Muhammad Adnan Qadiri seorang warga Pakistan yang telah 23 tahun tinggal di Filipina dan berkahwin dengan warga tempatan di sini.
Memandangkan sukar mendapatkan restoran halal di Manila, rombongan GISBH dipelawa ke rumahnya oleh kenalan GISBH, Aleem Guiapal untuk menikmati sarapan pagi.
Sementara menunggu hidangan sarapan, pihak GISBH mengambil peluang menayangkan video profil GISBH di TV rumahnya dan Mr. Adnan yang berasal dari Lahore, Pakistan kelihatan memberi perhatian penuh ketika video ditayangkan.
Rombongan GISBH dijamu sarapan pagi Nasi Biriani Sindhi, karakhi kambing, pan cake, keju, kismis, kekacang, buah ceri, epal, oren dan kopi O sambil membincangkan masalah umat Islam di Filipina khasnya mengenai makanan halal.
“Saya melihat kesedaran mengenai makanan halal di kalangan orang Thailand yang bukan Islam lebih kehadapan daripada orang-orang Filipina,” ujar Mr. Adnan.
“Ramai orang hatta di kalangan orang Islam sendiri menganggap jika tiada kandungan babi dalam makanan sudah cukup dikira halal,” kata Tuan Anuar.
Mr. Adnan mengiakan dan berpendapat ia adalah kerana pengaruh fatwa dari sebuah negara di Timur Tengah yang mengharuskan makan babi yang kesannya merosakkan sistem Islam dalam masyarakat.
Mr. Adnan sendiri mengimport ayam dari Amerika Syarikat yang diyakini halal dengan pengesahan cop halal daripada badan Islam bertauliah di sana untuk kegunaan keluarganya.
Respons beliau terhadap video profil GISBH, ada bidang di dalam GISBH yang berkaitan dengan bidang beliau iaitu farmasi dan kosmetik.
Mr. Dimnatang Radia pula mengatakan hari ini ramai yang memakan ubat-ubatan tanpa memastikan adakah kandungan ubat itu atau kapsulnya 100% halal atau tidak.
Semuanya bersetuju kefahaman dan kesedaran tentang erti halal yang sebenar itulah yang paling penting di betulkan di tengah masyarakat Islam di Filipina.
Tuan Ahmad Anuar menjelaskan bahawa Islam meminta kita menyediakan sesuatu yang terbaik untuk semua iaitu apa yang disebut Halalan Toiyiban. Bukan semata-mata halal tetapi bersih, premium, berkualiti yang semua orang tanpa mengira agama dan bangsa suka dengan produk yang berkualiti.
Kesediaan GISBH untuk bertapak di Filipina dengan projek ayam halal amat dialu-alukan oleh banyak pihak termasuk Mr. Adnan yang baru berkenalan pagi ini.
Moga hasrat YDH Pengerusi Eksekutif GISBH agar projek ternakan ayam halal di Mindanao dapat disegerakan demi menyelamatkan umat Islam dari makanan yang haram dan syubhat.
kredit: Ikhwanews.com