50,000 pengunjung dijangka ‘berkampung’ di IITTE 2024
PAYA RUMPUT 18 Julai – Dijangka lebih 50,000 pengunjung akan hadir memeriahkan International Islamic Trade & Tourism Expo (IITTE) 2024 dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh Ogos nanti.
Ketua Pengarah Pentadbiran GISB Holdings, Mohd Shukri Mohd Noor berkata, penganjuran persidangan kali kedua itu akan berlangsung selama empat hari bermula 1 Ogos dan apa yang menarik masuk adalah percuma.
“Menerusi penganjuran IITTE 2024 ini kita amat berharap masyarakat Islam khususnya dapat lebih memahami ‘Islam’ Sebagai Cara Hidup’. Kita cuba membawa pemahaman kepada pengunjung tentang prospektif Islam.
“Bertemakan ‘Silaturahim: Ziarah – Dakwah – Tijarah’, penganjuran IITTE 2024 juga dilihat bertetapan dengan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) apabila secara tidak langsung akan turut mempromosikan pelancongan Negeri Melaka,” katanya pada sidang media di Ikhwan Cafe, Krubong Perdana.
Mohd Shukri berkata, terdapat lima program utama diatur sepanjang penganjuran IITTE 2024 yang akan membabitkan penyertaan tempatan dan luar negara.
“Antara program diatur adalah Persidangan IITTE 2024 dijangka akan mengumpulkan 1,000 peserta termasuk 160 dari luar negara antaranya Turkiye, Jordan, Arab Saudi, Filipina, Australia dan Thailand.
“Menerusi pembentangan ini, beberapa kertas kerja merangkumi isu perdagangan, pelancongan, perhubungan antarabangsa dan keterjaminan makanan di peringkat global akan dibahaskan.
“Selain isu berkaitan permasalahan dunia umat Islam dan jalan penyelesaian juga akan dikupas oleh pembentang kertas kerja,” katanya.
Menurutnya, menerusi Ekspo Pameran dan Jualan pula terdapat lebih 300 gerai yang menawarkan pelbagai produk menarik dan juga perkhidmatan daripada beberapa agensi terkemuka.
“Menariknya juga, kita menyediakan 50 gerai makanan dan minuman bagi Program Ekspo Jualan Makanan yang akan disertai beberapa buah negara seperti Turkiye dan Uzbekistan. Mereka akan membawa makanan dari negara mereka untuk dijual di sini.
“Bagi memeriahkan lagi penganjuran, turut diadakan Program Kebudayaan Islam yang akan berlangsung pada sebelah malam sepanjang empat hari IITTE 2024, termasuklah penampilan kumpul nasyid terkenal tanah air Inteam,” katanya.
Jelasnya, bagi program Pameran ‘Menghayati Sejarah Kehidupan Rasullah SAW Untuk Penghayatan Kehidupan Kini’ pihaknya akan bekerjasama dengan Muzium Dar Al Madinah.
“Menerusi pameran ini kita akan membawa pengunjung untuk lebih menghayati keperibadian Rasullah SAW dan seterusnya untuk diamalkan akhlak peribadi mulia baginda dalam ahli keluarga.
“Pameran ini akan menerangkan sejarah bermula dari kelahiran hingga wafatnya baginda selain akan dipamerkan juga model rumah Rasullah serta perkembangan Masjid Nabawi dalam beberapa era. Ini sudah pastinya akan memberikan pengalaman menarik buat setiap pengunjung terutamanya anak kecil,” katanya.
Sementara itu, mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata, mewakili Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings , Nasiruddin Mohd Ali, pihaknya berbesar hati apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan akan menyempurnakan perasmian IITTE 2024.
“Turut akan berlangsung juga beberapa perjanjian morandum persefahaman (MoU) pihaknya bersama syarikat dari luar negara,” katanya.
Kredit: Melakahariini.my
AM: Perpaduan dan kesatuan itu yang diharapkan berlaku dari program IITTE ini. GISBH belum lengkap, belum sempurna, belum kuat so, GISBH berharap dengan mengajak sama semua pihak, semua badan, NGO, peniaga-peniaga, anggota masyarakat, orang-orang kaya dan berada, orang-orang yang punya tenaga dan kemahiran bersama-sama membina kekuatan umat Islam dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Islam bukan hanya sembahyang, puasa, zakat, haji. Bukan juga hanya akad nikah, azan dan qamat serta akikah bayi, pengurusan jenazah semata-mata. Ia adalah seluruh aspek kehidupan kita dari bangun pagi hingga tidur semula malah tatacara untuk tidur pun ada dalam Islam. Mari kita bersama-sama mengamalkannya demi keselamatan dunia Akhirat.
5:02 pm
18 Jul 2024
PPIBCH, Rawang